Khamis, 26 April 2012

Kikis Sikap Tak Apa Untuk Cegah Jenayah!



19 April 2012:- Naib Presiden HELWA, Puan Fadhlina Siddiq, meminta masyarakat untuk mengikis sikap "tak apa!" untuk menghadapi peningkatan kes jenayah yang semakin berleluasa kebelakangan ini. Gesaan ini dibuat ketika menjadi panelis Forum Anti Jenayah "Sikap Tidak Mengapa: Salah Siapa?" Anjuran WAFA UIA malam tadi. Forum ini diadakan sebagai respon terhadap peningkatan jenayah seksual sepertimana yang dinyatakan oleh akhbar-akhbar harian kebelakangan ini.

Puan Fadhlina Siddiq berserta wakil PDRM, Cif Inspektor Adssi Ismail, pegawai bahagian perhubungan awam, TV & Radio Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sepakat menegaskan bahawa keprihatinan masyarakat sangat ditagih untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa terutama sekali dalam era di mana para penjenayah mengambil pendekatan serta menggunakan peralatan yang sofistikated.

"Anak-anak perlu dididik mengenai asas-asas keselamatan diri. Mereka perlu dididik untuk mengenal siapa mahram mereka (untuk mengelakkan menjadi mangsa sumbang mahram) di samping mengenal orang-orang di sekeliling mereka (untuk mengelakkan menjadi mangsa culik serta bunuh). Kaum wanita juga perlu mempunyai kesedaran mengenai hak-hak mereka terutama sekali sepertimana yang ditetapkan dalam lafaz ta'aliq pernikahan mereka!"