Jumaat, 19 Oktober 2012

ABIM Sambut Baik Perjanjian Damai Bangsa Moro-Filipina


19 Oktober 2012:- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik perjanjian pelan damai Kerajaan Filipina-MILF yang ditandatangani di Manila baru-baru ini. Ia merupakan satu perkembangan yang baik bagi menamatkan konflik yang sudah mengorbankan lebih 120 000 nyawa semenjak 1980. Pendirian MILF yang sanggup menerima perdamaian merupakan satu tindakan yang bijak bertepatan dengan semangat al-Quran dalam surah al-Anfal ayat 61, Firman Allah taala, “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Walaubagaimanapun, ABIM ingin menyatakan sedikit kebimbingan tentang perlaksanaan dan kesan perjanjian pelan damai ini. Berdasarkan pengalaman lepas, perjanjian pelan damai seumpama ini mempunyai kesan tersembunyi dalam melemahkan pihak yang berdamai dengan Kerajaan Filipina iaitu MNLF. Namun begitu, peranan berterusan Kerajaan Malaysia sebagai perantara rundingan penting dalam memastikan perjanjian ini ditepati oleh kedua-dua pihak.
Kerajaan Malaysia diminta agar terus menerus memantau perkembangan kedua-dua pihak dalam menunaikan dan mematuhi perjanjian di samping membantu daripada aspek latihan dan pendidikan anak-anak Bangsamoro. Selain itu juga Kerajaan Malaysia juga harus terus memainkan peranan dalam menyatukan Bangsamoro agar perpaduan dan kesatuan mereka akan menjadi teras kepada keamanan,kekuatan dan kemajuan umat Islam di Selatan Filipina.
Pihak ABIM juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Malaysia atas peranan proaktif dalam membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan sekaligus menandatangai perjanjian pelan damai. Berdasarkan reputasi yang baik ini, pihak ABIM yakin Malaysia akan terus memainkan penting proaktif dan pantas dalam menangani isu-isu umat yang lain seperti konflik di Syria, Kashmir dan Arakan. ABIM juga akan terus memantau perkembangan perjanjian ini seperti mana peranan yang telah dimainkan sejak 40 tahun yang lepas.

AMIDI ABDUL MANAN
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)