Oleh: Hasri Harun (Ketua Biro Dakwah ABIM)
Eidul-Adha menjadi saksi kepada beberapa ibadah istimewa yang
dikhususkan di dalam bulan yang mulia ini. Di antara ibadah yang
istimewa ini adalah ibadah korban. Ibadah yang melambangkan pengorbanan
umat manusia bagi Tuhan Maha Pencipta. Pada Eidul-Adha ini juga, umat
Islam seluruh dunia berhimpun di tanah suci untuk menegakkan rukun Islam
kelima, iaitu ibadah haji. Di samping mendidik umat Islam untuk sanggup
berkorban dengan meninggalkan keluarga dan harta demi Allah S.W.T dan
Rasul-Nya, ibadah haji juga bertujuan mendidik umat Islam untuk bersatu
demi mencapai kebaikan bersama dan matlamat yang mulia. Ibadah haji
merupakan lambang puncak kesatuan umat Islam, sesuai dengan firman Allah
di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 92:
“Sesungguhnya umatmu ini adalah ummat yang satu dan aku adalah Tuhanmu maka sembahlah aku.”
Begitulah kehidupan kita di dunia ini, kita dituntut oleh Allah
S.W.T. untuk menyembah-Nya dan mengagungkan-Nya. Dan kewujudan kita
dimuka bumi ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengabdikan
dan menyerahkan diri pada-Nya. Pastinya segala amal ibadah yang
dilakukan tidak kira apa jua rupa dan bentuknya adalah untuk kita
mendapat keredhaan dan pahala dari Allah S.W.T.
Di musim haji ini, saudara-saudara kita mengorbankan masa, tenaga dan
keselesaan hidup bersama keluarga, untuk menunaikan kewajipan haji.
Semoga tercapai cita-cita mereka untuk mendapat haji yang mabrur, yang
mana tiada ganjarannya melainkan dikurniakan syurga. Bagi sebahagian
dari kita yang sebentar lagi akan mengerjakan ibadah korban, pastinya
kita juga ingin mendapatkan pahala dari ibadah ini dan dihapuskan segala
dosa. Tujuan untuk mendapat pahala dalam mengamalkan ibadah adalah satu
tujuan yang murni.
Tetapi selain dari mencari pahala, ada tujuan yang lebih besar
disebalik melakukan amal ibadah. Tujuan ini ialah untuk kita mengukuhkan
lagi keimanan pada Allah S.W.T. dan menambahkan lagi kecintaan pada
Baginda Rasulullah S.A.W. Inilah yang dimaksudkan dengan kemanisan iman.
Iman yang tidak dapat digugat walau apapun dugaan dan cabaran yang
dihadapi.
Untuk kita mencapai kemuncak keimanan ini, tidak cukup dengan kita
melakukan amal ibadah lahiriah sahaja. Tetapi amal ibadah yang dilakukan
perlu memberi kesan pada diri dan kehidupan kita. Amal ibadah yang kita
lakukan perlu melahirkan nilai-nilai yang mulia dalam diri kita. Di
antara nilai-nilai ini yang dapat kita pelajari dari Eidul-Adha adalah
pengorbanan dan perpaduan. Bersempena hari yang mulia ini sama-samalah
kita pelajari kepentingan nilai-nilai ini serta menerapkannya di dalam
kehidupan kita
Di dalam sejarah ibadah korban, kita lihat bagaimana Nabi Ibrahim
A.S. bersedia mengorbankan anak kesayangannya demi mentaati perintah
Allah. Pengorbanan pertama yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S. ialah
apabila Baginda meninggalkan anaknya Nabi Ismail A.S. yang masih kecil
bersama ibunya di sebuah lembah yang gersang dan kering kuntang.
Pengorbanan yang kedua pula, kita lihat bagaimana Nabi Ibrahim
A.S. sanggup menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail A.S., yang
sudah meningkat dewasa. Nabi Ismail A.S. pula sanggup dikorbankan kerana
mentaati perintah Allah S.W.T. Cerita ini diabadikan oleh Allah S.W.T.
untuk pelajaran kita semua melalui firmannya di dalam surah As-Saffat
ayat 102-105:
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang
membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata:
"Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi(sebagai
satu perintah) bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa
pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang
diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari
orang-orang yang sabar. Setelah keduanya berserah bulat-bulat
(menjunjung perintah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan
meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah (untuk disembelih) serta
kami menyerunya: Wahai Ibrahim, “Engkau telah menyempurnakan maksud
mimpi yang engkau lihat itu,” demikianlah sebenarnya kami membalas
orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan”.
Peristiwa-peristiwa ini bukanlah hanya untuk kita kembalikan syiarnya
sahaja. Tetapi yang lebih utama dan yang perlu dihayati, ialah nilai
pengorbanan di dalam kehidupan. Untuk menjadi seorang yang berjaya di
dunia dan di akhirat, kita perlu ada pengorbanan. Kita perlu sanggup
berkorban sesuatu perkara yang kita sayangi dan cintai demi untuk
mencapai matlamat yang lebih penting dan utama.
Sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S., apabila Baginda
meninggalkan anaknya di tanah yang gersang, tujuan Baginda, di samping
menuruti perintah Allah S.W.T. ialah kerana di lembah itulah Allah
S.W.T. telah menetapkan tapak bagi Baitullah al-Haram yang menjadi
qiblat bagi orang yang beriman. Sepertimana firman Allah dalam surah
Ibrahim ayat 37:
Bermaksud "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Aku telah menempatkan
sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah suci Makkah)
yang tidak subur dengan tanaman, di sisi rumahmu yang suci yang
diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami! (Mereka ditempatkan di
situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan
ibadah). oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik
gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan
kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan
hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”
Cuba kita lihat dalam
kehidupan seharian kita pula. Untuk mencapai sesuatu kejayaan, sudah
pasti memerlukan pengorbanan. Sebagai contoh, kita inginkan anak-anak
Islam kita berjaya. Impian ini pasti memerlukan pengorbanan. Pengorbanan
kewangan, pengorbanan masa, pengorbanan memberi kasih sayang dan
sokongan.
Dewasa kini, Alhamdulillah kita dapat lihat hasil pengorbanan
masyarakat Islam Singapura. Kita dapati semakin ramai masyarakat Islam
yang berjaya khususnya dalam bidang pelajaran. Dan pastinya
kejayaan-kejayaan mereka antara sebabnya adalah pengorbanan dan
usahasama masyarakat Islam Singapura. Pada hari ini juga, umat Islam
seluruh dunia berhimpun di tanah suci untuk menunaikan ibadah haji.
Selain dari nilai pengorbanan yang terpancar dalam ibadah haji, ia juga
mengajar akan nilai kesatuan, perpaduan dan kasih sayang dalam
kehidupan.
Pada saat inilah, saudara mara kita di Tanah Suci
sedang bersama umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Pada saat ini
juga, umat Islam di merata dunia sedang melaungkan takbir, tahmid dan
tasbih mengagungkan Allah S.W.T. Inilah keistimewaan yang ada pada umat
Islam. Umat Islam adalah umat yang satu, umat Islam adalah ummah
persaudaraan dan umat Islam adalah umat yang berkasih sayang.
Baginda
Rasulullah S.A.W. telah banyak mengajar kita tentang perpaduan. Marilah
kita renungkan nasihat-nasihat Baginda Rasulullah S.A.W (Riwayat Imam
muslim)
Maksudnya: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam keadaan
mereka berkasih-sayang, rahmat-merahmati dan bersikap lemah lembut
sesama mereka, adalah seperti sebuah jasad, jika salah satu anggota
merasakan kesakitan, anggota lain juga akan mengadu kesakitan.
Baginda bersabda lagi:
(Riwayat Imam Al-Bukhari)
Maksudnya:
Seorang muslim adalah saudara kepada orang muslim lain. Janganlah ia
menzaliminya, dan janganlah ia menolak dari memberi pertolongan
kepadanya. Barangsiapa yang membantu saudaranya, Allah akan membantunya.
Barangsiapa yang melepaskan dari saudaranya kesusahan, Allah s.w.t akan
melepaskannya satu kesusahan dari banyak kesusahan pada hari Kiamat.
Dan barangsiapa yang sembunyikan aib saudaranya, Allah akan sembunyikan
aibnya pada Hari Kiamat.
Sabda Nabi s.a.w. lagi:
(Riwayat Imam Ahmad)
Maksudnya:
“Hubungkan (ikatan persaudaraan) dengan sesiapa yang memutuskannya dan
berilah bantuan pada sesiapa yang enggan memberi bantuan kepadamu, dan
ma’afkanlah sesiapa jua yang telah menzalimimu.”
Begitulah
pengajaran Baginda Rasulullah S.A.W. mengenai persaudaraan dan
perpaduan. Hubungan di antara manusia adalah berlandaskan rahmat,
kesejahteraan dan kasih sayang. Dalam kehidupan seharian kita, nilai
perpaduan dan persaudaraan amat penting demi untuk memastikan kerukunan,
kejayaan dan kesejahteraan terus kekal.
Kita tidak mampu
bergerak sendiri sebagai individu, di dalam menangani cabaran-cabaran
besar di dalam masyarakat. Seharusnya kita saling memperlengkap
kekurangan yang terdapat pada saudara dan masyarakat kita.
Kita
kini mengalami pelbagai cabaran sosial seperti keluarga pincang dan
berpendapatan rendah dan gejala sosial yang semakin meruncing. Di
samping itu, dengan saluran maklumat yang tidak terbatas, kita juga
terdedah kepada pelbagai pola fikir samada yang baik ataupun yang tidak
sihat. Bukan sahaja emosi bahkan minda kita turut tercabar untuk terus
kekal relevan dan selesa beragama di dalam konteks global hari ini.
Untuk
menghadapi cabaran demikian, selain pembangunan daya tahan individu,
masyarakat perlu menggembling tenaga bersatu dan bekerjasama untuk
mengatasinya dengan berkesan.
Kita tidak boleh berhenti setakat
mengetahui masalah dan cabaran atau memberikan komen kosong semata,
kerana semua ini tidak akan mendatangkan perubahan. Kita tidak boleh
hanya berpeluk tubuh dan memikirkan untuk diri kita sahaja. Sebagai
salah seorang anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita harus
bergerak sebagai satu badan, jika satu bahagian dari badan itu sakit
pastinya kesakitan itu akan dirasai oleh seluruh tubuh badan kita.
Begitulah dua nilai yang dapat kita pelajari dari dua ibadah penting
yang dilakukan dalam kita menyambut Eidul-Adha.
Semoga dengan
menghayati semangat pengorbanan dan kesatuan di hari yang mulia ini,
masyarakat Islamdapat menjadi contoh yang baik buat masyarakat lain.
Dengan penghayatan nilai pengorbanan dan perpaduan, kita akan mencapai
kemuncak keimanan dan kemanisannya. Sabda Baginda Rasulullah S.A.W.
(Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Maksudnya:
“Tiga perkara jika terdapat dalam diri seseorang, maka dia akan dapat
merasa kemanisan iman: (Pertama) Apabila dia mencintai Allah dan
Rasulnya lebih dari semua perkara yang lain, (Kedua) Apabila dia
mencintai orang lain semata-mata kerana Allah, (dan yang Ketiga) Apabila
dia benci dan tidak ingin saudaranya kembali ke dalam kekufuran,
sebagaimana dia benci untuk dilemparkan di dalam api neraka."
Sabtu, 27 Oktober 2012
Pengorbanan Perkukuh Keimanan Kita
8:11 PTG
Unknown