Selasa, 20 November 2012

GPM Hantar Misi Bantuan Kilat Ke Gaza Mulai 26 November Ini



16 November 2012:- Global Peace Mission (GPM) Malaysia akan melancarkan misi bantuan kilat untuk penduduk Gaza di Palestin bermula 26 November ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azlan Muhammad Sharif berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain di bawah Kesatuan NGO Dunia Islam (UNIW) untuk tujuan tersebut. “GPM Malaysia mengutuk serangan terbaharu rejim zionis ke atas rakyat Gaza dengan hanya menggunakan alasan untuk memelihara keselamatan rakyat mereka dari serangan pengganas Palestin. “Maka GPM Malaysia akan bekerjasama dengan NGO yang bernaung di bawah UNIW untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa serangan ini,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.


Azlan berkata, pihaknya telah berhubung dengan rangkaian NGO di Gaza dan telah mengenal pasti beberapa bantuan utama yang diperlukan penduduk Gaza pada waktu ini iaitu rumah perlindungan, keperluan dapur, selimut serta perubatan. Justeru, katanya, GPM Malaysia melancarkan Tabung Bantuan Kecemasan Gaza yang menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta untuk menampung kos bantuan berkenaan. Menurutnya, orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Ibu Pejabat GPM Malaysia ditalian 03-6188 3230 atau 019-354 2176.