ULASAN Pada
22 Oktober lalu, kita menyaksikan debat pusingan ketiga calon presiden
Amerika Syarikat di Universiti Lynn Florida yang bertemakan dasar luar
Amerika.
Debat merupakan mekanisme yang penting di sana untuk menentukan presiden yang seterusnya. Seperti yang dijangka tajuk-tajuk tipikal mendominasi perdebatan meliputi Asia Barat, konflik di Syria, perang di Afghanistan, isu nuklear Iran, pembunuhan di Benghazi dan China.
Bagaimanapun, tajuk dasar luar tidak berapa diendahkan oleh pengundi Amerika kerana ia tidak memberikan keuntungan ekonomi langsung dan pekerjaan kepada mereka. Amerika sedang bergelut dengan kadar pengangguran yang tinggi iaitu 7.8 peratus.
Justeru kerap kita melihat perdebatan yang bermula dengan isu dasar-dasar luar berakhir dengan dengan isu ekonomi dan pekerjaan.
Rakyat Amerika juga sudah muak dengan perang yang menelan belanja berbilion dolar di Iraq dan Afghanistan. Sudah tentu kedua-dua calon khususnya Romney cuba sedaya upaya mengelak daripada menjebakkan Amerika ke satu lagi kancah peperangan bersama Iran.
Langkah itu bukan sahaja membazirkan jutaan dolar tapi menyebabkan mereka menerima nasib yang sama seperti kemeruduman populariti George W Bush dan Republikan yang berlatar belakang neoconservatif pada 2008.
Kelihatan tidak banyak perbezaan dasar luar antara Obama dan Romney, seolah-olah Romney banyak memberikan ‘restu' secara tidak langsung kepada dasar luar Obama yang dilaksanakan.
Balz dan Nakamura dalam Washington Post bertarikh 23 Oktober lalu melaporkan, "Although the two laid out differences, Romney was less assertive in making distinctions with the president than he has been in some of his more robust and assertive foreign policy speeches along the campaign trail.
Saya tertarik untuk memberikan komen kepada beberapa isu seperti Iran, Syria dan Israel memandangkan isu-isu evergreen seperti ini menjadi perhatian umat Islam dan saling terkait antara satu sama lain.
Seperti yang sudah dijangka, isu Israel dijadikan ‘isu perlu' bagi memenangi hati pengundi Yahudi dan pengundi kumpulan Kristian Kanan (Christian Right).
Kenyataan proaktif Obama bahawa Israel sahabat sejati dan "sekutu hebat" tidaklah mengejutkan bahkan kedua-dua calon - dan mana-mana calon presiden Amerika - sepakat memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Israel.
Cuma bezanya, siapa yang lebih hebat sokongannya.
Pendirian ini jelas kelihatan apabila Romney menyifatkan apology tour yang dilakukan Obama ketika tahun pertama memegang Rumah Putih ke negara-negara Islam tanpa menjadikan Israel antara destinasi persinggahannya merupakan satu kelemahan.
Sedangkan Romney melakukan lawatan ke Israel pada musim panas yang lepas. Obama pantas menjawab bahawa beliau telah melawat Israel semasa menjadi calon presiden pada 2008.
Beliau lantas menghimbau lawatan beliau ke Muzium Holocaust di Yad Vashem untuk "remind myself the nature of evil and why our bond with Israel will be unbreakable".
Saya mencari jawapan yang pasti mengapa isu sokongan kepada Israel menjadi faktor penting untuk menjadi Presiden Amerika. Sedangkan jumlah penduduk Yahudi di Amerika menurut bancian 2010 hanyalah 6 543 820 jiwa, hanya 2 peratus daripada jumlah 312 juta penduduk Amerika.
Adakah enam juta Yahudi ini jumlah yang besar bagi menentukan kemenangan calon presiden? atau adakah kerana kekuatan lobi Yahudi seperti AIPAC dan yang sewaktu dengannya?
Menurut kepercayaan hari kiamat atau eskatologi Kristian, golongan Kristian mazhab Evengelis memang mempercayai bahawa dengan cepatnya tertubuh negara Israel maka akan cepatnya turun Jesus untuk memenangkan Kristian.
Data daripada Pew Research Centre 2012 menunjukkan White Evangelical Protestant merupakan mazhab majoriti di Amerika, yang mewakili 19 peratus daripada penganut Kristian dan agama-agama lain.
Justeru tidak hairanlah mengapa mereka begitu bersungguh-sungguh mempertahankan Israel walaupun seganas mana pun mereka kepada penduduk Palestin.
Keabsahan fakta ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan Dr Gary Nordlinger, seorang konsultan media aliran Demokrat terkenal baru-baru ini, yang menyatakan bahawa kepercayaan tentang Israel ini terkandung dalam Bible.
Dan, tambahnya, masyarakat Kristian merupakan masyarakat yang religious dan menghadiri upacara di gereja secara mingguan. Menurut Dr Gary, tujuh daripada 10 penganut Kristian hadir secara tetap.
Oleh itu kita harus jelas mengapa selama ini Amerika begitu tegar menjadi penyokong Israel dan sebagai aktivis kemanusiaan kita harus terus bersatu hati memperjuangkan nasib penduduk Palestin sehingga mereka mendapat pembelaan.
Jangan harapkan lagi Amerika sebagai broker perdamaian tetapi umat Islam harus terus mempersiapkan kepimpinan dan generasi Salahuddin al-Ayyubi bagi membuka semula Baitulmaqdis.
Berkaitan isu nuklear Iran, Romney cuba ‘membelasah' Obama kerana presiden kelihatan agak sedikit berlembut dengan Iran.
Romney mendakwa, "Now there are some 10 000 centrifuges spinning uranium, preparing to create a nuclear threat to the USA and to the world."
Saya tidak pasti di mana fakta ini Romney jadikan sandaran, walhal Dr Mohammad El-Baradei, pengarah IAEA ketika 2007, sudah mengesahkan bahawa tiada aktiviti berkaitan pembangunan senjata nuklear yang cuba disembunyikan oleh Iran.
Mengapa nyawa rakyat Iran dijadikan pertaruhan? Dalam isu ini kita jelas dengan mesej bahawa tiada perang dan tiada sekatan terhadap Iran kerana tiada bukti jelas tentang penguraian uranium untuk pembangunan senjata nuklear. Kita bimbang kesilapan di Iraq akan berulang kembali.
Isu sokongan umat Islam terhadap perjuangan tentera pembebasan rakyat Syria Al-Jaisyul Hurr menjadi bertambah rumit apabila Romney terang-terangan menyatakan bahawa Amerika harus campur tangan membantu perjuangan rakyat Syria menumbangkan Assad.
Kenyataan sebegini dikhuatiri dijadikan bahan bukti kepada sesiapa yang menyokong Assad bahawa perjuangan rakyat Syria yang tulen itu sudah pun terang-terangan dicemari atau didalangi oleh Amerika.
Harus dipertegaskan bahawa perjuangan rakyat Syria adalah tulen walaupun kita tidak menafikan Amerika dan Israel tidak akan senang akan perkembangan ini selagi tidak dapat menaja seorang yang pro-Amerika dan Israel untuk menggantikan Assad.
Amerika bawah Obama boleh bila-bila masa menumbangkan Assad sebagaimana yang dilakukan di Libya ketika menumbangkan Gaddafi tetapi mereka sehingga saat ini mengambil sikap seolah-olah tunggu dan lihat.
Rakyat sudah muak dengan Assad dan mahu melihat sinar dan landskap baru politik Syria. Bukan sahaja rakyat Syria mahukan Assad berundur bahkan dunia dan negara-negara jiran Syria mahukan Assad berundur.
Kajian sikap Pew Research Centre 2012 bertajuk "Widespread Condemnation for Assad in Neighboring Countries" jelas menunjukkan majoriti penduduk di negara kejiranan Syria seperti Jordan, Mesir, Tunisia, Turki dan Lubanan mahukan Assad berundur.
Kita mahukan majoriti suara rakyat Syria diangkat dan sebarang campur tangan asing khususnya Amerika harus ditolak. Biarlah rakyat Syria menentukan masa kini dan masa depan negara mereka dengan sebaiknya.
Secara keseluruhan walaupun pilihan raya presiden Amerika berlangsung jauh di benua sana, ia memberikan kesan langsung kepada geopolitik dunia khususnya kepada negara Islam dan rantau Asia.
Bawaan dasar luar negeri seseorang presiden kepada sebuah negara kuasa besar dunia seperti Amerika akan banyak mencorakkan landskap politik dunia khususnya 4 tahun yang akan datang.
Sesetengah pemerhati melihat kemenangan Obama akan memberikan sedikit kelegaan kepada dunia berbanding Romney.
Romney mengekalkan 17 daripada 24 penasihat dasar luarnya, yang juga penasihat kepada tim neocon Bush-Cheney yang memporak-perandakan dunia dengan perang di Afghanistan dan Iraq.
JUFITRI JOHA naib presiden antarabangsa, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.