Mengamati lirik lagu Warisan “ Anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi, air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang”, cuba membawa kita kepada satu rasa keinsafan yang mendalam sebuah bangsa iaitu bangsa Melayu yang terleka dengan pelbagai kerosakan dan seterusnya mahu bangkit berubah membela masa depan. Lagu yang merenggut perasaan mereka yang mempunyai semangat kebangsaan Melayu yang mendalam. Dalam deraian air mata bangsa yang menyesali perbuatan khianat sehingga tergadai maruah dan tanah, wujud kesangsian terhadap realiti semasa.
Sejauh mana bangsa ini mahu berubah? Persengketaan yang bermatlamatkan perebutan harta dan kuasa, yang melingkari persaingan melahirkan kedengkian yang fatal, yang menjerumuskan orang Melayu ke arah kemusnahan. Ketamakan yang bersarang di lubuk nurani melahirkan pegangan untuk mempersetankan segala nilai kemuliaan dan kebenaran. Tanpa rasa malu segenap cara di teroka dengan melempar jauh neraca halal dan haram bagi memenangi persaingan. Maka senjata rasuah dijadikan pilihan utama.
Rasuah terus membelenggu masyarakat Malaysia. Ia seolah-olah barah yang tidak mungkin dapat diubati. Semakin banyak usaha yang diambil oleh agensi berkenaan (SPRM) semakin pelbagai pula jelmaan jembalang rasuah ini. Pendidikan, kempen secara langsung ke sekolah, masjid, khutbah dan pelbagai saluran media masih belum mampu mengekang gejala ini dari terus merebak. Masyarakat masih lagi memandang sinis laungan memerangi rasuah oleh pihak wewenang.
Terbaru keputusan kaji selidik yang dikemukakan oleh Presiden Transparency International-Malaysia, Datuk Paul Liow. Kajiselidik itu antaranya meninjau pandangan syarikat-syarikat yang beroperasi di Malaysia terhadap kehilangan kontrak atau peluang perniagaan terhadap pesaing, adalah disebabkan rasuah. Kira-kira 50 % menjawab ‘ya’. Ini bermaksud separuh daripada syarikat yang beroperasi di Malaysia percaya bahawa kehilangan peluang adalah disebabkan pesaing mereka merasuah pihak tertentu untuk mendapatkan ‘projek’.
Dibandingkan dengan jiran kita Indonesia (47 %) dan Singapura hanya 9%. Selain dari itu beliau turut mendedahkan kira-kira 75 % daripada syarikat di Malaysia percaya bahawa usaha anti-rasuah kerajaan di sektor swasta tidak berkesan. Perkara ini memberikan gambaran buruk untuk suasana perniagaan di negara kita. Hanya separuh sahaja persaingan mendapatkan peluang perniagaan yang benar-benar sihat. Selebihnya dikotori oleh najis rasuah yang membusuk.
Kita terima anggapan bahawa perniagaan adalah persaingan. Namun kita tidak mahu separuh daripada persaingan ini hanya diselaputi kepura-puraan. Jaluran rekod bukan jaminan memenangi persaingan. Persaingan bukan gelanggang ‘know how’ tetapi ‘know who’. Malangnya ‘who’ yang dimaksudkan bukanlah pihak oposisi tetapi wasit yang senget. Inilah suasana yang boleh menggugat perubahan bangsa. Kehilangan rasa malu untuk mengenepikan segala batas perlakuan bererti kehilangan maruah. Maruah adalah rasa malu. Malu untuk melakukan kesalahan, malu untuk melakukan maksiat, malu untuk menikam rakan, malu untuk mengkhianati jiran, malu untuk menzalimi pesaing dan malu untuk mengaibkan peribadi musuh.
Hilangnya ‘malu’ maka hilanglah maruah. Maruah adalah sesuatu yang berharga dan tidak dapat dibeli dengan harta setinggi gunung. Perbuatan rasuah adalah perbuatan menggadai maruah bangsa. Sesuatu perlu dilakukan bagi memulihkan suasana perniagaan yang tidak sihat ini. Ia boleh menghancurkan ekonomi negara. Teras kepada ekonomi adalah kepercayaan dan keyakinan. Kedua-dua ini hanya akan wujud apabila ketelusan dan keadilan persaingan, untuk mendapatkan peluang perniagaan, dapat tumbuh dengan subur.
Saranan untuk para pemimpin politik mengisytiharkan harta sebelum memasuki medan pertempuran PRU 13 adalah sesuatu yang wajar. Ia memberi isyarat bahawa lanskap perniagaan akan berubah sama sekali. Ia bukan lagi satu kawah yang kotor tetapi ia adalah satu ruang yang dihiasi dengan semangat tasammuh (toleransi), qanaah (berpada-pada), itqan (tekun dan cemerlang) dan perlumbaan melakukan kebajikan (fastabik al-khayrat). Dan kita percaya mimpi ngeri hari semalam dalam lirik lagu Warisan “Indahnya bumi kita ini, warisan berkurun lamanya, hasil mengalir ke tangan yang lain, peribumi merintih sendiri”, akan ditelan oleh gelaran khayriyat ul-ummah (ummah terbaik) yang berdiri megah di atas karamah insaniah dan ketinggian maruah.
Rabu, 26 Disember 2012
Gejala Rasuah Cemarkan Maruah Bangsa & Negara
11:05 PG
Unknown