Selasa, 1 Januari 2013

Ambang Tahun Baru, Antara Dosa & Pahala?

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين

صلى الله على محمد

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 


Sumber: Google

Ambang tahun baru 2013 telah pun bermula, maka bermulalah lembaran baru mengikut perkiraan kalendar Masihi. Mungkin malam tadi ada yang gembira terkinja-kinja dengan pesta percampuran antara lelaki dan perempuan (tanpa batas), pesta hedonisme (hiburan melampau) sempena 'countdown' tahun baru. Dalam surah Al-Baqarah ayat 120 telah dinyatakan,

"Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka."


Maka, dikhuatiri sambutan tahun baru sebegini adalah racun kepada krisis dan keruntuhan akhlak remaja Muslim. Dari situ juga mungkin berpunca kepada lahirnya anak-anak tidak sah taraf yang semakin berleluasa. Dalam sebuah hadith sahih Bukhari ada dinyatakan,

"Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu."

Kerana itulah Islam meletakkan garis-garis panduan dalam kehidupan dan batas-batas dalam pergaulan. Dalam surah Al-Isra' ayat 32 telah dinyatakan,

"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk."

Peraturan yang ada dalam Islam bukanlah bertujuan menyusahkan insan, tetapi ianya demi memelihara kehormatan dan peribadi insan. Namun pada malam tadi ada juga yang mematuhi akhlak dan adab Islam, dengan sambutan tahun baru yang diisi dengan majlis-majlis 'ilmu. Ianya tidak salah, dan suatu perkara yang harus. Dengan syarat, tiadanya perkara-perkara maksiat serta segala yang bercanggah dengan akidah dan syari'at. Dan diisi dengan program-program yang mendidik masyarakat. Kemudian tidak menjadikan dan menganggap sambutan berkenaan sebagai suatu perkara ritual/keagamaan dalam Islam. Kerana sambutan tahun baru Masihi bukanlah berasal dari Islam.

Apabila ia tiada dalam Islam, maka tidaklah boleh ditokok tambah dengan amalan mahu pun ibadah khusus tertentu yang Islam sendiri tidak tetapkan. Sepertimana yang disebut dalam surah Al-Maidah ayat 3,

"Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu ni'mat-Ku, dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu."

Walau bagaimana pun, apabila waktu semakin bertambah, hari semakin berlalu dan tahun demi tahun pergi meninggalkan kita, bermakna semakin meningkatnya usia kita. Maka semakin hampirnya kita dengan hari kemudian (kematian). Persoalan masa ada disebutkan dalam surah Al-Asr,

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan melakukan amal soleh, serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran."

Justeru itu, marilah kita periksa dan teliti dengan diri kita. Apakah telah cukup bekalan kita untuk menuju ke alam akhirat? Hidup ini bukan sekadar untuk suka-suka, tetapi ianya ladang untuk mengumpul bekalan demi hari akhirat dengan hidup berpandukan syari'at. 'In shaa Allah', selamat dunia akhirat.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
1hb Januari 2013