Rabu, 27 Februari 2013

Al-Quwwah Dan Amanah Teras Kepimpinan Islam Masa Kini



Oleh: Hasri bin Harun (Exco Dakwah ABIM)

Artikel ini disiarkan di Harakahdaily.

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.” (Surah an-Nisa’ : ayat 58)

Memilih pemimpin yang benar-benar layak sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas merupakan suatu tanggungjawab yang sangat besar dan mulia disisi Allah SWT. Hal ini penting kerana kelayakan dalam kepimpinan menjadi teras utama dalam mengemudi sesebuah jemaah atau harakah Islam. Jika baik pemimpinnya, maka akan membentuk pengikut yang baik. Jika kita menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang tidak berkelayakan ia boleh menjerumus kepada kezaliman dan kehancuran.

Pemimpin yang adil menurut perspektif al-Quran adalah mereka yang mampu membawa wadah perjuangan ini ke arah keredaan Allah serta dapat menjana al-falah di dunia dan akhirat. Justeru, implikasi melantik kepimpinan dalam kalangan mereka yang tidak layak bakal membawa kepada kebinasaan bukan sahaja dari segi fizikal malah spiritual. Hal ini selaras dengan peringatan besar Junjungan Rasulullah SAW yang mengingatkan kita tentang kesan melantik pemimpin yang tidak layak sebagaimana sabdanya, yang bermaksud:

“Apabila sesuatu amanah itu disalahgunakan (disia-siakan), maka tunggulah saat kehancuran. Para sahabat bertanya: Bagaimana amanah itu disalah gunakan wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Iaitu apabila tugas atau tanggungjawab sebagai pemimpin itu diberikan (diserahkan) kepada bukan ahlinya atau bukan orang yang layak, maka tunggulah saat kehancuran.”

Jika kita mengkaji sejarah awal Islam, bagaimana pelantikan seorang pemimpin bukan daripada mereka yang benar-benar layak akan memberi impak yang cukup besar kepada organisasi mahupun sebuah negara. Perbincangan tentang kelayakan atau pemimpin ini telah berlaku sejak zaman sahabat RA terutamanya dalam membincangkan tertib afdhal (layak) para Khulafa’ Rasyidun. Dr Muhammad ‘Imarah dalam bukunya al-Islam wa Falsafatu al-Hukm menyatakan:

Ia bersempena dengan dakwaan golongan Syi’ah yang menuduh para sahabat menafikan Ali daripada kepimpinan yang menurut mereka dia lebih afdhal daripada yang lain, maka berlakulah perbincangan tentang afdhal dan susunan tertibnya dalam kalangan sahabat, begitu juga keharusan pemimpin mafdhul ketika wujudnya yang lebih afdhal.

Imam al-Haramain al-Juwaini menegaskan bahawa maksud:

“Al-fadhil dan al-mafdhul bukannya yang lebih tinggi darjatnya dan lebih dekat taqarrub kepada Allah dalam amalannya. Boleh jadi seorang wali Allah yang menjadi tonggak dan rujukan seluruh alam yang jika dia bersumpah dengan nama Allah pasti akan terjadi, tetapi pada zamannya terdapat seorang yang lebih sesuai dan layak daripadanya untuk menguruskan urusan umat Islam."

Justeru, urusan kelayakan ini adalah suatu amanah dan perintah yang sangat penting dalam konteks sebuah kepimpinan dalam Islam. Menentukan mereka yang layak wajar diletakkan dari segi kefahaman erti layak sebagaimana takrifan para ulama muktabar namun dalam masa yang sama pengertian itu harus diserasikan dengan realiti dan keupayaan pemimpin dalam mengurus dan mentadbir alam tersebut.

Keadilan menuntut kebijaksanaan

Ciri utama pemimpin yang dinyatakan oleh Allah dalam surah an-Nisa tersebut adalah mereka yang adil. Keadilan adalah suatu istilah yang cukup besar maknanya dan mengikut pengertian ia harus difahami secara maknawi. Keadilan dalam jiwa pemimpin bukan sahaja mampu memberi kesamarataan dan membuat suatu keputusan yang disukai namun adalah lebih utama adalah kekuatan ilmu dan kebijaksanaan dalam mengemudi kepimpinan. Sejarah Islam telah menunjukkan bagaimana pemimpin yang adil bermula dari zaman baginda SAW dan para sahabat sehingga kepada para tabiin sehingga zaman ulama mutaakhirin. Sebagai contoh kepimpinan Umar Abdul Aziz, yang memerintah dalam satu tempoh yang pendek namun mempunyai jasa dan kualiti kepimpinan yang hebat dan menonjol. Sifat adil dalam konteks mengurus negara, serta mampu membina satu tamadun manusia telah memberi satu contoh bahawa kepimpinan yang baik bakal memberi kesan yang baik kepada tamadun manusia. Apakah kita generasi pemimpin masa kini mampu meneruskan tradisi kepimpinan sebegini?

Semua ini boleh kita jadikan sandaran kekuatan bagaimana memilih mereka yang benar-benar adil dalam memimpin. Istilah keadilan sememangnya mudah diguna pakai oleh mana-mana pemimpin sebagai senjata untuk membuktikan kepemimpinan mereka. Namun apakah kayu ukur kepada keadilan yang diwar-warkan? Apakah dengan memberi sesuatu hasil daripada khazanah rakyat yang dikumpul untuk diberikan kepada rakyat semula diangkat sebagai tema adil atau mempunyai niat tertentu untuk menaikkan nama dan kehebatan mereka dimata rakyat. Justeru bukan mudah untuk menobatkan keadilan pada mata masyarakat melainkan kayu ukur keadilan itu harus dipantau daripada kaca mata hukum syariat Islam.

Konsep al-‘Adalah dibicarakan menurut Islam memberi pengertian dan istilah yang mempunyai kekuatan iman dan keupayaan menterjemah iman kepada amal soleh secara tersusun dalam kepemimpinannya. Keadilan yang digambarkan dalam ayat ini memberi satu peringatan bahawa hanya mereka yang adil dalam memimpin mampu membawa organisasi ke arah yang lebih baik. Keadilan dari perspektif sebuah pemerintahan menurut menurut al-Mawardi dalam kitabnya al-ahkam al-Sultaniyah menyatakan bahawa keadilan dalam pemerintahan sangat penting kerana matlamat kepimpinan adalah untuk menjaga kemaslahatan agama dan dunia.

Keadilan menurut al-Mawardi keadilan adalah satu sifat universal. Justeru mengabaikan keadilan bererti mengabaikan sifat kemanusiaan, justeru pemimpin harus menegakkan keadilan dari semua sudut, ekonomi, politik dan sosial. Jika seorang pemimpin mengabaikan keadilan yang sepatutnya mereka nobatkan, ini merupakan petanda bahawa kehancuran bakal menimpa ke atas umat di zamannya. Bahkan jika diteliti secara mendalam bahawa Allah SWT amar murka terhadap mereka yang diberi amanah tetapi khianat dengan amanah mereka.

Materialisme cabaran Hawa Nafsu sang pemimpin

Antara cabaran besar yang bakal dilalui oleh manusia yang bergelar termasuk materialisme adalah cabaran hawa nafsu. Hawa nafsu yang sentiasa bertenggek dalam jiwa ini sentiasa akan menakluki hati dan jiwa jika dibiarkan lalai dengan perintah Allah SWT. Ketika mereka belum menjadi pemimpin dan sesudah dianugerahkan amanah ini, antara cabaran dalaman yang bakal dihadapi adalah cabaran kebendaan, fitnah dunia dan hawa nafsu yang bergejolak dalam apa jua keadaan. Hakikat ini tidak mampu diatasi jika seseorang pemimpin tidak benar-benar mempunyai jati diri dan kefahaman mendalam hakikat iman dan akidah yang jelas. Apatah lagi jika seorang pemimpin mengabaikan kefahaman mereka maka diri mereka mudah dikuasai dengan hawa nafsu. Apabila datang sahaja kemewahan khususnya dalam apa juga keadaan maka diri mereka muda dikuasai hawa nafsu.

Allah SWT mengingatkan pemimpin kita tentang kepentingan memelihara hawa nafsu sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran,bermaksud:

“Hai Daud, Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) dimuka bumi, maka berilah keputusan diantara manusia dengan adil dan jangalah kamu mengikuti hawa nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah dan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surat as-Sad : ayat 26)

Berapa ramai dalam kalangan para pemimpin yang tenggelam dengan fitnah hawa nafsu mereka apabila berhadapan dengan kebendaan dan kemewahan dunia. Tatkala itulah segala khazanah dunia ini sudah tidak lagi dianggap sebagai aturan daripada Allah Taala dan amanah yang harus dilakukan. Namun yang menjadi keutamaan ialah keselesaan hidup dan kemewahan yang tidak ada penghujungnya. Maka dengan itulah timbulnya rasuah, dan penyelewengan yang membawa kepada ketidakstabilan ekonomi dan kemasyarakatan.

Gejala seperti membolot kemewahan negara, khazanah yang disimpan dengan mengambil kesempatan meluluskan projek untuk diri dan keluarga seseorang pemimpin adalah contoh yang paling hampir diperlihatkan bagaimana seorang pemimpin dikuasai oleh nafsu. Hakikat yang wajar dilihat adalah bagaimana cabaran dalam kepimpinan bukan sahaja untuk menduduki kepimpinan yang sememangnya besar amanahnya namun cabaran besar seorang pemimpin adalah memelihara hawa nafsunya agar tidak terjerumus dengan rasuah, penyelewengan, kronisme dan nepotisme.

Oleh hal yang demikian kepimpinan adalah amanah besar yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya bagi melaksanakan memakmurkan bumi ini mengikut kehendak dan aturan daripada-Nya. Dengan kesedaran inilah yang memungkinkan setiap hambanya untuk melakukan sesuatu amanah berdasarkan panduan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW serta berkeupayaan mengatur setiap tindakan agar tidak tersasar daripada kehendak yang maha pencipta. Sifat memenuhkan cita-cita nafsu dalam jiwa seorang pemimpin akan mengundang kepada meluasnya kehancuran kerana kepimpinan itu tidak lagi digalas sebagai amanah (taklif) tetapi sebagai suatu kemewahan (tashrif).

Anugerah kepimpinan daripada Allah ini bukanlah suatu kebanggaan yang harus dipuja dan diangkat sebagai satu kemuliaan namun harus diletak sebagai pertanggungjawaban besar didunia dan akhirat. Memahami akan kepentingan mengangkat pertanggungjawab dunia dan akhirat ini memungkinkan tercipta kepimpinan yang berteraskan prinsip ilahiah yang menjurus kepada kepimpinan rabbaniy sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Gesaan Allah SWT kepada Nabi Daud AS dalam ayat 26 surah as-Sad ini menggambarkan akan besarnya pertanggungjawaban seorang pemimpin dalam membuat keputusan, dan suatu amanah melaksanakan misi dan visi kerasulan mengangkat martabat insan yang tidak boleh diremehkan dengan sikap bertuhankan nafsu dan nilai kemanusiaan kosong namun harus adil dalam melaksanakan tugas berteraskan tauhid kepada Allah SWT. Keadilan yang digambarkan ini memberi satu kefahaman bahawa amanah kepimpinan tidak boleh dipisahkan daripada kefahaman ketuhanan iaitu setiap tindakan kepimpinan akan ditanya oleh Allah SWT diakhirat nanti.

Mengelak pemimpin yang ‘gila dunia’

Memilih pemimpin yang adil, bermaruah ini bukan sekadar tuntutan dunia.Ia tidak hanya sekadar memilih ketua dalam sebuah pejabat untuk mengurus urusan pejabat sehari mengikut aturan biasa. Ia juga bukan satu amalan memilih seorang ketua untuk memimpin aktiviti sukan dan kegiatan harian semata. Kepimpinan adalah suatu amanah dunia dan akhirat. Ia adalah suatu tanggunjawab dan perintah ilahi yang maha benar. Hal ini kerana, kepengikutan melulu dalam kalangan pemimpin yang zalim bukan semata dosa dunia malah akan berlaku penyesalan berkekalan sehingga hari kiamat. Allah berfirman yang bermaksud:

“ Ketika orang-orang yang diikuti (pemimpin) itu berlepas diri daripada mereka yang mengikutinya dan mereka melihat siksa dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah para pengikut : Sekiranya kami dapat kembali (ke dunia) sudah pasti kami akan berlepas diri daripada mereka (pemimpin) sebagaimana mereka (pemimpin) berlepas diri daripada kami. Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka yang menjadi kesesalan bagi mereka dan mereka tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripada api neraka.” (Surah al-Baqarah : ayat 166 – 167)

Amaran keras daripada Allah SWT ini digambarkan dalam surat al-Baqarah yang menekankan bahawa pemimpin yang zalim pastinya akan berlepas daripada masalah mereka diakhirat nanti dan sebagai pengikut mereka akan merasa satu penyesalan berterusan dan ingin kembali ke dunia memperbaiki kesilapan mereka yang lalu. Penyesalan ini yang digambarkan dalam ayat ini merupakan suatu ingatan keras daripada Allah SWT agar manusia benar-benar memahami tanggungjawab dan impak kepada kepemimpinan yang tidak berlandaskan kepada ciri-ciri islam. Kecenderungan seseorang pemimpin yang meraih sebanyak mungkin kekayaan dunia untuk kepentingan diri mereka dan mengaut keuntungan dunia bukanlah suatu perkara pelik dalam dunia moden pada hari ini.

Justeru, intipati daripada ayat diatas memberi kesedaran bahawa sebagai pengikut kita harus menyedari bahawa Allah SWT menyatakan bahawa pemimpin yang zalim ini tidak sama sekali akan mempedulikan kita pada hari akhirat bahkan Allah tidak akan mempedulikan akan kesengsaraan di dalam neraka. Pemimpin yang baik harus menilai akan amanah yang dipikul dengan baik. Hal ini kerana setiap amanah tersebut akan dinilai oleh Allah diakhirat nanti. Jika kesedaran ini wujud dalam diri maka kita akan dapat mengelakkan lahirnya pemimpin yang gila dunia atau dengan kata lain lalai dengan penipuan dunia yang bersifat sementara.

Quwwah dan Amanah: Kriteria memilih pemimpin

Menurut Ibnu Taimiyyah, ciri kepimpinan hebat menurut Allah SWT perlu dipelihara dua rukun iaitu al-Quwwah dan Amanah. Kedua-dua rukun sangat penting sebagai ciri dan persediaan utama yang mesti ada sebagai seorang pemimpin Islam yang benar. Quwwah dari segi pemahaman syarak adalah bidang kuasa yang diberikan. Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. Sebagai contoh al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Inilah ciri dan kelayakan yang mesti dipilih oleh rakyat kepada pemimpin mereka bahawa jika pemimpin mempunyai kedua-dua ciri ini akan membawa kepada kepimpinan yang benar-benar diredhai Allah SWT. Kekuatan dan Amanah inilah pra syarat utama yang disepakati oleh ijma ulama bahawa seorang pemimpin mampu dan berkeupayaan dalam mengemudi kepimpinan mereka dalam segala kekuatan.

Manurut Al-Mawardi pula menyatakan dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniyah bahawa ijma ulama bahawa antara ciri penting pemilihan pemimpin adalah mereka yang mempunyai keupayaan (quwwah) dalam menyelesaikan masalah berteraskan ilmu, kebijaksanaan dan kaedah yang sesuai dengan masalah yang dihadapinya. Pelantikan kepimpinan tanpa diberi tumpuan dari segi aspek quwwah ini adalah merupakan suatu pengkhianatan terhadap asas penting kualiti kepimpinan yang ada. Apabila pemilihan kepada mereka yang lemah, ketidakmampuan mengurus sesuatu amanah maka akan mengundang kepada kelemahan dan ketidakaturan pengurusan kepimpinan.

Manakala Amanah pula merujuk kepada tiga perkara iaitu takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dan tidak takutkan manusia. Pemimpin yang beramanah adalah mereka yang memelihara hubungan dengan yang Maha Penciptanya, mengetahui akan kedudukan mereka sebagai hamba dan wakil pemimpin didunia ini, tugas mereka adalah mengurus dan mentadbir alam ini dengan kehendak Allah SWT dan menjaga hubungan sesama manusia. Syeikh Mustafa Muhammad at-Tohhan di dalam bukunya Syakhsiah al-Muslim al-Mu’asir telah menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh para pemimpin. Antaranya ialah menegakkan syariat Allah berpandukan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seterusnya menegakkan keadilan dalam kalangan manusia tanpa mengira warna kulit dan bangsa serta mengambil tahu dan prihatin terhadap permasalahan rakyat. Allah berfirman yang bermaksud:

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Surah an-Nur : ayat 55)

Keupayaan seorang pemimpin memikul amanah kepimpinan berteraskan wahyu Allah adalah kunci kepada kejayaan. Jika mereka mampu membawa kepemimpinan ke arah kesedaran maka ia adalah seorang pemimpin yang benar-benar dijanjikan oleh Allah syurga kerana amanah mereka melaksanakan tugas ini adalah suatu sunnah kerasulan kerana mereka mentadbir alam ini kerana Allah SWT.

Contohi kepimpinan Rasulullah SAW

Justeru, kepimpinan yang baik ini, tidak lain hanya dengan kembali kepada ajaran Islam sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Yakinilah bahawa Allah mengurniakan amanah kepimpinan ini bukan suatu yang mutlak kerana kita sebagai insan adalah wakil yang diperintahkan oleh Allah untuk melaksanakan tugas mengurus dunia ini yang akhirnya akan dibawa bertemu dengan Allah SWT. Mahu tidak mahu contoh besar kepimpinan kita adalah Muhammad SAW seorang model pemimpin yang hebat dari segi akal, jiwa dan ruhaniahnya untuk memberi panduan membawa manusia kepada kebenaran kepada Allah SWT. Menurut Chowdry dalam bukunya “ The Prophet Muhammad : His Life & Eternal Message” menyatakan bahawa Rasulullah SAW bukan semata-mata seorang pemimpin spiritual yang berjaya sahaja tetapi baginda adalah seorang pemimpin masyarakat dan pemimpin negara yang berjaya.

Kepimpinan Rasulullah SAW diteladani oleh para sahabat diperingkat awal Islam sehinggalah kepada para tabi’ dan tabiin hinggalah sekarang adalah contoh besar yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana pemimpin. Pemimpin pada hari ini berdepan dengan cabaran yang tidak ada tolok bandingnya. Sememangnya sukar untuk melahirkan pemimpin sebagaimana yang kehendaki tetapi cukup untuk kita melihat bahawa pemimpin yang hebat itu adalah mereka yang benar-benar mewarisi sifat dan ciri kepimpinan Rasulullah SAW. Firman Allah yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab : ayat 21)