Rabu, 27 Februari 2013

Generasi Muda Perlu Setia Pada Perjuangan


Ramai yang terpesona dengan kata-kata Bung Karno yang mengimpikan kualiti 10 pemuda yang bakal diasuh menjadi penggoncang dunia. Kualiti golongan tua hanya berguna untuk mencabut akar rumput. Begitulah harapan yang tesemat dalam jiwa pejuang kemerdekaan Indonesia itu. Saidina Umar r.a juga mengimpikan sekelompok generasi yang berkualiti yang berupaya mengangkat perjuangan, menerus kegemilangan dakwah Islamiah. Maka kualiti generasi adalah sesuatu yang amat penting. Justeru Pak Natsir menegaskan kelahiran pemimpin bukan di bilik kuliah tetapi dari gelodak pergelutan masyarakat. Ia setingkat lebih tinggi dari kualiti pencak di gelanggang teori yang hanya berdiri jauh dari realiti. Generasi muda seharusnya berani membuka langkah di medan amali berhadapan dengan seribu satu karenah masyarakat demi mencipta kegemilangan perjuangan.

Generasi muda mesti setia dengan perjuangan. Setia dengan perjuangan mesti bermula dari ilmu dan sedar. Ilmu tanpa sedar umpama 'tikus yang mati kelaparan di kepuk padi, itik yang mati kehausan di air'. Sedar tanpa ilmu pula laksana mereka yang malu bertanya lantas sesat di perjalanan. Pendita Za'aba membangkitkan idea kemiskinan jiwa dan cita-cita. Beliau tidak menolak kemiskinan ekonomi tetapi kemiskinan jiwa dan cita-cita mesti diselesaikan dahulu. Apabila jiwa bangsa tumbuh mekar dan menyegar, ia kaya dengan segala kekuatan bagi menghadapi segala cabaran.

Begitu juga dengan kemiskinan cita-cita perlu ditangani bagi mengekang kehilangan jati diri bangsa. Bangsa tanpa cita-cita adalah bangsa yang tidak bergerak kemana-mana, statik dan membeku dan hanyut dalam persada agenda bangsa lain. Sebagai contohnya apabila kita menoleh kepada peperangan budaya sekarang yang dicorakkan oleh budaya 'Amerikanisasi' yang terlihat dimana-mana. Walaupun ia berakar dari faham kapitalisme, tapi ia mewakili cita-cita orang Amerika Syarikat. Demikian juga dengan kejayaan bangsa Jepun, Jerman dan Perancis yang tidak kunjung padam mewarnai citra masyarakat sejagat.

Maka di sinilah terletaknya keperluan generasi muda untuk memahami erti perjuangan dengan kefahaman yang mendalam. Setelah itu perlu setia dan istiqamah mempertahankannya. Setia dengan idealismenya dan setia dengan kaedah perjuangannya. Dugaan dalam mempertahankan kesetiaan terhadap perjuangan datang dalam pelbagai bentuk. Kegelojohan mengejar kedudukan misalnya. Keinginan untuk mengukuhkan kedudukan waima dengan mengunakan kaedah yang bobrok menghakis kesetiaan kepada perjuangan. Fitnah, adu domba, penipuan dan perangkap teknikal hanya menghodohkan rupa pelakunya dalam persaingan merebut jawatan.

Perlu diingat jawatan kadangkala hanya satu kedudukan. Ia terpulang kepada penjawatnya samada hendak digunakan ke arah kebaikan atau kemusnahan. Masih ramai lagi yang tidak bergelar, mempunyai pengaruh sekaligus bakti yang kaya di tengah masyarakat. Jangan kita generasi muda terkesima dengan seruan perpaduan semata-mata. Kita sekonyong-konyongnya memberikan sokongan tanpa memikirkan tujuan dan kesan yang bakal timbul. Barang diingat saling bertolongan dan berkerjasama adalah dalam perkara kebaikan dan taqwa. Bukan untuk melindungi kejelekan dan mengekalkan kefasadan. Jika perkara ini berlaku maka ia adalah perangkap dan muslihat pihak yang berkepentingan.

Maka untuk mengekalkan kesetiaan terhadap perjuangan, generasi muda seharusnya teguh menilai sesuatu perkara dengan sikap untuk mencari kebenaran. Istilah 'fatabayyanu' seperti yang digunakan dalam al-Quran dalam menapis berita dari orang-orang yang fasid mesti dihayati oleh pejuang-pejuang muda. Kita seharusnya khuatir agar tidak tergolong dalam kelompok penyebar kebohongan. Jika kita hanya menghalakan pendengaran kita pada sebelah pihak sahaja maka kesetiaan yang akan terbentuk bukan terhadap perjuangan tetapi terhadap kelompok yang kita dengari sahaja.

Kesetiaan generasi muda kepada perjuangan mestilah dibina dengan bantuan masyarakat. Tanpa bantuan daripada semua pihak kesetiaan generasi muda terhadap perjuangan akan terhakis dan akhirnya hilanglah watak kepemudaan dalam perjuangan. Kehilangan ini akan meruntuhkan peradaban dan meragut dinamika perjuangan yang amat diperlukan bagi mempertahankan maruah umat dan negara.

Semangat generasi muda terhadap perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan jangan dibunuh. Alasan keharmonian, kestabilan dan kemajuan digunakan dengan sewenang-wenangnya sehingga memesongkan generasi muda dari terus setia dengan perjuangan. Tambahan pula kejujuran dalam meluahkan fakta yang menafikan keintelektualan generasi muda adalah amat memualkan. Marilah kita dengan penuh rasa tanggungjawab membina kesetiaan generasi muda terhadap perjuangan memartabatkan ummah.

Amidi  Abdul MANAN
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)