Rabu, 6 Mac 2013

ABIM Gesa Isu Keselamatan Negara Segera Diselesai di Meja Rundingan


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengikuti dengan dekat perkembangan yang berlaku dan memandang serius isu pencerobohan dan konflik di Lahad Datu Sabah yang telah memakan masa lebih dua minggu.

ABIM menganggap tindakan tegas yang diambil oleh pihak keselamatan negara semalam untuk menyerang kumpulan penceroboh bersenjata yang dikaitkan dengan Jamalul Kiram sangat wajar melihat kepada korban yang telah dialami oleh pasukan keselamatan negara dan ketakutan yang dihadapi oleh penduduk di sekitar kawasan terbabit khususnya dan di Sabah keseluruhannya. Sesungguhnya keberanian dan kesediaan pasukan keselamatan negara mempertahankan kedaulatan dan maruah negara amat disanjung tinggi oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. Penyelesaian bersenjata dilihat sebagai jalan yang terpaksa untuk menyelesaikan konflk berdarah ini untuk jangka masa pendek dan pada kadar yang segera.

Walaubagaimanapun, ABIM berpandangan bahawa penyelesaian sebenar kepada konflik yang sedang melanda dan membimbangkan seluruh negara ini hanya akan dapat dicapai melalui meja rundingan. Justeru ABIM menggesa agar semua saluran diplomatik dan perundingan yang konklusif harus dibuka dan dimulakan dengan segera. Kerumitan isu tuntutan pewaris Kesultanan Sulu terhadap Sabah melibatkan faktor sejarah yang panjang, pertikaian undang-undang antarabangsa serta latar sosio-ekonomi dan kebudayaan yang mendasar sentiasa berpotensi sebagai 'bom jangka' terhadap hubungan diplomatik antara Malaysia- Filipina serta isu keselamatan di kepulauan Borneo.

Demi keselamatan dan keamanan yang berpanjangan untuk rakyat Malaysia, ABIM juga menuntut Kerajaan Malaysia menggunakan peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Undang-undang Antarabangsa yang secara jelas memperakui kedaulatan negara kita untuk membatalkan secara muktamad mana-mana tuntutan negara dan unsur asing terhadap Sabah. ABIM yakin tindakan ini akan mengesahkan status Sabah sebagai negeri yang berdaulat di bawah Persekutuan Malaysia dan tidak boleh diceroboh atau dituntut oleh mana-mana pihak selepas ini. Inisiatif ini penting agar kemelut yang berlaku tidak berterusan dan mengelakkan kebimbangan tercetusnya ketidakstabilan berpanjangan seta akan mengancam keselamatan serta nyawa rakyat kita di kawasan perairan konflik.

Paling penting, kita tidak mahu konflik yang berlarutan ini mengundang campur tangan kuasa asing yang berkepentingan untuk melaksanakan agenda mengeluarkan Sabah dari Malaysia. Insiden yang berlaku di Lahad Datu ini seharusnya dijadikan sebagai pengajaran untuk dijadikan rujukan di masa hadapan. Ini termasuk kepentingan untuk meningkatkan kualiti pemantauan keselamatan terutama sekali di pinggir perbatasan negara serta kemampuan untuk menyelesaikan konflik yang berlaku secara tuntas dan segera.

Dalam konteks inilah ABIM menggesa semua pihak khususnya pemimpin negara merentas parti politik agar tidak mempolitikkan isu ini kerana ia melibatkan soal keselamatan negara dan secara langsung menyentuh kepentingan awam. Tindakan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu sebagai dalang dan konspirator dalam isu ini bagi meraih keuntungan politik haruslah dihentikan segera.

Sebaliknya, ABIM amat yakin bahawa harapan utama rakyat Malaysia adalah untuk kedua-dua pihak Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat agar duduk semeja bagi menyelesaikan isu ini secara bersama bagi menzahirkan keperihatinan kita dalam isu keselamatan sebegini kerana inilah mandat yang diberikan oleh rakyat kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih.Kebijaksanaan negara menangani isu ini membabitkan reputasi negara di mata dunia dan menjadi tumpuan media antarabangsa. Adalah janggal dan mendukacitakan sekiranya Parlimen Malaysia boleh sepakat dalam menyatakan bantahan terhadap isu-isu antarabangsa seperti Palestin tetapi tidak mampu untuk duduk semeja pun dalam menyatakan sikap negara dan meredakan ketakutan dan kegusaran rakyat yang berpanjangan.

Dalam perkembangan berkaitan, seluruh warga ABIM ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam tragedi ini. Doa dari seluruh rakyat Malaysia semoga ahli keluarga mereka sentiasa diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi tragedi hitam dalam sejarah negara ini. Al Fatihah.

AMIDI DATO' ABDUL MANAN
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA
6 MAC 2013/ 23 RABIUL AKHIR 1434H