Selasa, 6 September 2011

ALLAHYARHAM NORAMFAIZUL MOHD NOR: GLOBAL PEACE MISSION BERKONGSI KESEDIHAN


3 September 2011: Berita pemergian jurukamera Bernama, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, 41, yang telah meninggal dunia pada 11.07 malam semalam waktu Malaysia amat mengejutkan rakyat Malaysia. Global Peace Mission (GPM) turut berasa simpati atas pemergiannya dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya.
Seluruh warga kerja GPM mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Ilahi serta ingin melahirkan penghargaan kepada keluarga beliau di atas usaha beliau dalam menjayakan misi kemanusiaan ke Somalia.

GPM berharap berita sedih ini tidak melemahkan semangat masyarakat Malaysia untuk terus menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Somalia anjuran GPM atau selainnya.
Dalam konteks perlaksanaan misi kemanusiaan ke Somalia pada kali ini, GPM telah menjalin kerjasama erat dengan Yayasan Zam Zam Somalia untuk serahan sumbangan bagi melaksanakan proses pengagihan yang lebih teratur dan efektif di negara tersebut.
Pada pandangan kami, keberadaan para sukarelawan GPM di kawasan terjejas termasuk Mogadishu belum lagi sesuai memandangkan tahap keselamatan yang tidak terjamin boleh menjejaskan misi kemanusiaan Somalia.
Berdasarkan kepada track record dan pengalaman Yayasan Zam Zam sebelum ini, GPM yakin segala sumbangan akan dapat diagihkan kepada mangsa kebuluran di Mogadishu terutama sekali memandangkan mereka mempunyai rangkaian akar umbi yang kukuh di kalangan masyarakat Somalia.

Di kesempatan ini, GPM merayu lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban 3.7 juta mangsa kebuluran ini. Dijangkakan 2.5 juta berhadapan risiko kematian apabila bantuan makanan tidak mencukupi.
Sumbangan boleh dibuat melalui Global Peace Mission (GPM) di akaun Bank Islam Malaysia Berhad (14-023-01-002922-4) atau Maybank ( 5642-2161-1602 ). Sila hubungi 03-61883230 atau 019-3165970 untuk maklumat lanjut.

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Presiden, Global Peace Mission (GPM)


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar