Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin mengulangi pendirian tegasnya menyokong usaha pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran selari dengan usaha kerajaan memperkasa sistem pendidikan kebangsaan dan mendaulat Dasar Bahasa Kebangsaan. ABIM bersama dengan lebih seratus badan bukan kerajaan (NGO) yang lain menyambut baik komitmen kerajaan khususnya Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran dalam menangani isu PPSMI yang terkait secara langsung dengan usaha memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
ABIM menyokong penuh usaha memperkasa sistem pendidikan kebangsaan yang bertanggungjawab ke arah penerapan nilai dan semangat kebangsaan. Oleh itu, kerajaan digesa agar tidak berkompromi dengan sebarang cadangan dan usaha pihak tertentu yang membelakangi peranan bahasa Melayu sebagai pasak sistem pendidikan kebangsaan.
Oleh hal yang demikian, cadangan beberapa pihak agar diberikan autonomi kepada pihak sekolah, ibu bapa dan guru dalam memilih sama ada PPSMI atau MBMMBI adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan sama sekali bertentangan dengan misi mendaulatkan bahasa Melayu.
Selain itu, persoalan sama ada konsensus umum atau kesepakatan kumpulan berautoriti. ABIM akur sekiranya benar dakwaan terdapat suara umum yang mahukan PPSMI dikembalikan namun sejarah membuktikan bahawa suara majoriti tidak selalunya betul lebih-lebih lagi sekiranya ia adalah majoriti di kalangan minoriti. Justeru yang lebih penting adalah konsensus para cendiakiawan dan pakar yang berautoriti dan lebih arif dalam bidang ini tanpa mengkesampingkan pandangan orang ramai termasuk ibu bapa, guru serta pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO).
Oleh itu, kerajaan disaran memperkasa medium yang sedia ada bagi meningkatkan partisipasi PIBG dan pimpinan masyarakat dalam penggubalan sesuatu dasar pendidikan.
Disamping itu, pihak Kementerian Pelajaran diminta menyiasat dakwaan bahawa terdapat arahan dari pihak tertentu agar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik diteruskan dalam bahasa Inggeris meskipun teksnya dalam bahasa Melayu kelak. Jika benar, ia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan tatkala proses memartabat bahasa Melayu sedang dijayakan.
Konflik bahasa dan perlembagaan yang berlaku di Hong Kong dan Belgium serta kegagalan negara-negara peminjam akut bahasa Inggeris di Afrika wajar dijadikan sempadan agar perkara yang sama tidak terjadi di negara ini. Komitmen China membuka pengajian bahasa Melayu, keteguhan Korea dan Jepun mempertahankan bahasa ibunda mereka perlu diteladani.
Dalam perkembangan berkaitan, ABIM menyambut baik pegenalan Pelan Tindakan Bagi Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di institut pengajian tinggi awam (IPTA) seperti yang diumumkan oleh Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi pada 27 Oktober lalu.
Empat strategi utama antaranya memperkukuh bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran, memperluas penyelidikan dan penerbitan, meningkatkan pengikhtirafan akademik bahasa Melayu serta memperkasa usaha pengantarabangsaanya.
Strategi yang disokong oleh 25 inisiatif lain ini dilihat mampu mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selain memastikan proses kelangsungan sistem pendidikan kebangsaan di peringkat rendah dan menengah. Oleh itu, ABIM berharap pelan ini dapat disambut dan direalisasikan oleh pihak IPTA di seluruh negara. Pihak NGO dan persatuan pelajar disaran agar turut membantu menjayakan misi murni ini.
Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dituntut agar lebih agresif menterjemah karya-karya agung ke dalam bahasa Melayu selain penterjemahan karya tempatan ke dalam bahasa utama dunia yang lain. Usaha ini menuntut partisipasi aktif para penyelidik dan sarjana universiti dengan pihak ITNM. Kejayaan Jepun dan Korea dengan lebih 8000 penerbitan ilmiyah dalam bahasa ibunda mereka seharusnya menyuntik semangat baru kepada para sarjana kita.
Akhirnya, sempena Bulan Bahasa Kebangsaan, ABIM mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya para pemimpin untuk merenung sejenak kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Tun Abdul Razak suatu ketika dahlulu, “bahawa kedudukan sesuatu bangsa itu juga bergantung kepada himpunan ilmu dalam bahasanya iaitu kepustakaan dalam bahasanya” selain kritikan Pak Asraf “pupus bahasa, pupuslah bangsa” kerana bangsa kita, tanggungjawab kita.
ABU QASSIM NOR AZMI
Ketua Biro Penerangan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
ABU QASSIM NOR AZMI
Ketua Biro Penerangan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)