Selasa, 8 Mei 2012

KENYATAAN ABIM PUSAT: Kesal J-Qaf Di Sekolah Menengah Ditangguhkan

8 Mei:- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merasa kesal terhadap keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk menangguhkan perlaksanaan pengajaran asas  Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain (J-Qaf) untuk pelajar-pelajar sekolah menengah pada tahun depan. ABIM menilai kenyataan yang merujuk kepada kekurangan guru sebagai faktor utama kepada penangguhan perlaksanaam J-Qaf di sekolah menengah, hanyalah justifikasi bersifat “melepas batuk di tangga” serta mencerminkan sikap acuh tidak acuh pihak berkenaan dalam memartabatkan pendidikan Islam di negara ini.

Seharusnya perkara ini tidak berlaku sekiranya pihak yang berkenaan membuat perancangan yang teliti untuk membolehkannya dilaksanakan dengan efisyen serta menyeluruh. Tambahan pula masalah ini tidak pernah ditimbulkan membabitkan guru-guru subjek lain seperti sains dan matematik. Jika keputusan menerapkan perlaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris) boleh diketengahkan dalam masa yang singkat, masakan pula polisi ini (perlaksanaan J-Qaf di sekolah menengah) yang memakan masa (setahun) sepertimana yang diumumkan pada Disember lalu.

Tambahan pula sistem pendidikan agama sedia ada menawarkan ramai lulusan agama baik lulusan menengah mahupun graduan universiti yang boleh dimanfaatkan menerusi pelbagai skim latihan perguruan yang diamalkan di negara ini. Seharusnya pihak yang berkenaan bertindak lebih awal sesuai dengan komitmen yang dikemukakan semenjak Disember lalu.

Dalam hal ini ABIM ingin mengimbau pendedahan mengejutkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedikit masa lalu, yang mendapati ada di kalangan pelajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang tidak mempunyai pengetahuan agama, termasuk tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah.
Kajian yang dilakukan pada tahun 2011 itu, melibatkan lima kelas di sekolah tersebut mendapati hanya pelajar di tiga kelas yang mempunyai pengetahuan agama sementara pelajar dalam dua kelas lagi tidak mempunyai pengetahuan mengenai agama Islam, malah segelintirnya gagal mengucap dua kalimah syahadah.

Seharusnya kajian kes ini perlu dijadikan sebagai peringatan di kalangan penggubal serta pelaksana dasar pendidikan Islam di negara ini. Pendidikan Islam merupakan instrument penting dalam merealisasikan keabsahan falsafah pendidikan negara. Penghayatan serta pengamalan secara tuntas terhadap Falsafah Pendidikan negara merupakan kunci ke arah pembinaan generasi muda yang berketerampilan akhlak dan sahsiah keperibadiannya. Sikap acuh dan tidak acuh ini hanya akan merugikan umat Islam di negara ini.

Muhamad Faisal Abd Aziz, Penolong Setiausaha Agung,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)