Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius perhimpunan membantah pembinaan Kilang Lynas di Gebeng, Kuantan Pahang Darul Makmur baru-baru ini. ABIM menilai perhimpunan ini sebagai manifestasi rakyat secara mutlak membantah keputusan untuk meneruskan projek ini. Ironinya, keadaan ini berlaku di sebalik pelbagai penjelasan yang telah dikemukakan daripada pihak berwajib yang menafikan implikasi negatif ekoran pembinaan kilang tersebut terhadap alam sekitar. Kelestarian alam sekitar merupakan esensi penting dalam membentuk kehidupan yang positif.
Justeru, kebimbangan serta kekhuatiran para penduduk sekitar kilang Lynas di Gebeng perlu diambil kira serta ditangani secara positif dan terbuka. Ia tidak seharusnya dibakul sampahkan tanpa sebarang perhatian serta tindakan yang sewajarnya. Ini memandangkan amalan demokrasi amat meraikan perbezaan pendapat sebagai mekanisme “check and balance” bagi mendapatkan impak yang terbaik.
Kelestarian alam sekitar perlu diletakkan pada tempat yang sewajarnya bukan perkiraan untung semata. Sedarlah kita sedang meminjam alam sekitar ini dari generasi masa hadapan. Dalam konteks Himpunan Hijau Lynas 2.0 ini, ABIM menanggapi sebarang pandangan serta kemusykilan yang dikemukakan oleh rakyat adalah tanda mereka mempunyai keprihatinan yang mendalam terhadap perkembangan semasa dalam isu berkaitan.
Kita tidak mahu rakyat sekali lagi menjadi mangsa kegagalan teknologi menjunjung kelestarian alam sekitar sepertimana yang pernah berlaku di Chernobyl, Bukit Merah serta Fukushima. Rakyat telah dijanjikan dengan pelbagai jaminan terhadap pemeliharaan alam sekitar tapi persekitaran kita semakin merosot secara relatifnya. Pencemaran sungai yang merupakan sumber air tawar utama negara juga semakin parah dan begitu halnya dengan kualiti udara.ABIM menuntut agar projek ini ditangguhkan dan satu pungutan suara rakyat dijalankan.
MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN
Amidi Abd Manan
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
- Posted using BlogPress from my iPad