Rabu, 27 Februari 2013

Sheikh Muhammad Ali as Sobuni dan Perjuangan Rakyat Syria


Oleh : Jufitri bin Joha
Naib Presiden Antarabangsa ABIM

Pada 15 Mac 2013 ini bakal genap 2 tahun perjuangan rakyat Syria yang sudah masih berhempas pulas menumbangkan Rejim Bashar yang sudah berkuasa secara autokratik dan sistem keluarga selama 43 tahun. Rakyat Syria terinspirasi dengan kebangkitan rakyat Tunisia dalam Revolusi Jasmin yang menumbangkan Zine El Abidine Ben Ali pada tarikh keramat 14 Januari 2011.

Rakyat Syria terpaksa membayar harga yang mahal dengan kebangkitan ini di mana menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga Januari 2013 angka korban mencecah 60 000 nyawa. Paling menyedihkan nyawa 3 500 kanak-kanak yang tidak berdosa turut melayang. Ini menjadikan krisis yang jauh lebih buruk daripada yang menimpa rakyat Palestin yang harus diberikan lebih perhatian dan dokongan masyarakat antarabangsa. Utusan kedua PBB – Liga Arab Lakhdar Brahimi menyifatkan konflik yang berlaku sebagai :

"The situation in Syria is bad, very, very bad. It is getting worse, and worsening more quickly. Therefore, if about 50,000 were killed in close to two years, if, God forbid, this crisis goes on for one more year, it will not be 25,000 dead, rather close to 100,000 deaths .... I can't see a solution or anything but one of the following two possibilities: Either there will be a political solution that satisfies the Syrian people and realises their ambitions and legitimate rights, or Syria will turn into an inferno."

Brahimi juga seperti Kofi Annan buntu dalam mencari titik noktah kepada konflik melainkan Bashar secara ‘gentlemen’ menyahut permintaan dan aspirasi majoriti rakyat Syria daripada terus menentang pejuang rakyat yang didakwa olehnya didalangi oleh kuasa asing yang cuba memporak-perandakan Syria.

Hujah Bashar berkenaan dalang kuasa asing ini dibuat semata-mata bagi menghalalkan tindakan ganas rejim terhadap rakyatnya sendiri khususnya Free Syrian Army (FSA). Selain menuding jari, ia bertujuan bagi menutup kelemahannya untuk terus kekal berkuasa. Joseph Bahout, Penganalisis Politik Asia Barat menyifatkan Rejim Bashar tidak mempunyai agenda negosiasi dengan pejuang rakyat tetapi berangan-angan membawa pejuang rakyat yang dilemahkan ke meja rundingan untuk manipulasi agar terus berkuasa.

Dengan hujah dalang kuasa asing ini yang kelihatan “benar tapi membawa kebatilan” (meminjam kata-kata Saidina Ali karramallahuwajhahu, ‘kalimatul haq turidubihal baatil’) menyebabkan ramai pihak khususnya segelintir rakyat Malaysia teragak-agak untuk menyokong perjuangan rakyat Syria kerana khuatir dituduh turut bersekongkol dengan kuasa asing dalam menjatuhkan rejim Bashar.

Namun dalam isu ini pandangan ulama amat didambakan dalam mencari jawapan siapakah yang berada di pihak yang benar, Bashar atau pejuang rakyat Syria? Pandangan jelas dan tajam Sheikh Muhammad Ali as Sobuni selaku Ketua Rabithah Ulama Syria telah menjawab persoalan ini dan wajar dijadikan sandaran dan panduan umat Islam seluruh dunia khususnya di Malaysia yang ragu untuk mendokong perjuangan rakyat Syria dalam menuntut perubahan daripada Bashar. Siapa lagi yang harus dijadikan rujukan umat melainkan ulama yang a’milin dan mu’tabar seperti Sheikh Ali. Panduan ulama amat penting kepada umat seumpama kata-kata Hasan al-Basri, “Jika tidak kerana ulama maka manusia akan menjadi binatang”.

Sheikh Ali yang berusia 83 tahun ini berasal dari Bandar Halab, utara Syria merupakan seorang cendikiawan yang pintar apabila mendapat ijazah setaraf PhD pada umur 24 tahun dan setakat ini sudah pun meninggalkan 45 kitab karangan yang berharga kepada khazanah dunia Islam, Antara yang terkenal dan menjadi muqarrar (silibus) ialah kitab tafsir As Sofwat at-Tafasir dan kitab Tafsir Ayat al-Ahkam.

Selaku pimpinan utama Rabithah Ulama Syria, Sheikh Ali juga merupakan tokoh yang bertanggungjawab menganjurkan persidangan masa depan Syria di Istanbul pada 1-3 Jun 2012 di Istanbul yang dihadiri para ulama dan pimpinan gerakan Islam dari seluruh dunia termasuk ABIM dan IKRAM. Persidangan ini turut didokong oleh Kesatuan Ulama Sedunia di bawah pimpinan Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Sheikh Ali ketika berbicara di Fakulti Pengajian Islam UKM menjelaskan mengapa rakyat Malaysia harus menyokong perjuangan rakyat Syria terhadap keganasan Bashar al-Assad. Beliau berhasrat menjelaskan hakikat sebenar yang berlaku di Syria dan bukan duit atau fulus yang menjadi matlamat utama kehadiran beliau di bumi Malaysia. Inilah tanda ulama al-A’milin yang hanya mengharap redho Allah dan berjihad untuk menegakkan kebenaran. Beliau menjelaskan secara perlembagaan bahawa Bashar merupakan Presiden yang naik secara tidak sah memandangkan ketika beliau dilantik sebagai Presiden, beliau hanya berusia 36 tahun sedangkan Perlembagaan Syria mensyaratkan Presiden harus berumur 40 tahun.

Di kesempatan lain, Sheikh Ali dilaporkan menjelaskan keutamaan jihad di Syria berbanding jihad di Palestin. Sekurang-kurangnya 3 sebab. Pertama, kematian di pihak rakyat Syria mencecah 40 000 jiwa sejak kebangkitan rakyat selama 2 tahun lebih tinggi daripada korban rakyat Palestin semenjak konflik Palestin-Israel semenjak 1948. Kedua, keutamaan bumi Syam yang dirakamkan dalam al-Quran dan al-Hadis termasuk tempat turunnya Nabi Isa alaihissalam dan Imam Mahdi. Ketiga dan terakhir ialah membantu jihad di Syria umpama merintis jalan kepada kemenangan jihad di Palestin. Syria diibaratkan kubu terakhir kepada sekuriti negara Israel memandangkan kebanyakkan rejim Arab autokratik yang melindungi negara Israel sudah tumbang satu persatu selepas kebangkitan Rakyat bermula Januari 2011 di Tunisia.

Selain itu beliau menyelar dokongan buta Sheikh Hasan Nasrallah pimpinan Hizbullah Lubnan terhadap Bashar. Beliau secara keras menyelar Hizbullah sebagai Hizbus as Syaitan. Sheikh Ali turut menemplak Iran dan Syiah. Beliau menyifatkan Syiah yang membantu kezaliman Bashar sebagai ‘rawafidh wa al-majus hazihi al-ummah’ iaitu golongan rawafidh dan majusi umat ini. Jika sebelum ini umat Islam masih mampu bersangka baik dengan Syiah, namun isu Syria ini menamatkan sangka baik kita terhadap golongan Syiah yang berpusat di Iran ini.

Ulama yang dilahirkan pada tahun 1930, kelihatan cukup bertenaga dan berhikmah tinggi walaupun dilaporkan uzur. Beliau juga amat optimis bahawa saat kekejaman Bashar amat hampir kepada penghujungnya dengan memetik secara ayat 214 Surah al-Baqarah yang berbicara berkenaan pertolongan Allah yang sangat hampir. Ini merupakan sunnah pejuang-pejuang kebenaran dan pembebasan yang sentiasa akan melalui ujian dan kegetiran perjuangan seperti yang dilalui oleh orang-orang terdahulu. Namun janji kemenangan daripada Allah, memberikan khabar gembira yang luar biasa kepada pejuang-pejuang ini. Sheikh Ali sekali lagi menegaskan kezaliman Bashar hampir pasti menemui titik noktahnya.

Sheikh Ali juga mengingatkan si pelaku zalim bahawa Allah tidak sekali-kali akan melupakan kezaliman mereka dengan memetik ayat 42 Surah Ibrahim. Bahkan Allah membiarkan si zalim sehingga di suatu ketika di mana mata mereka akan terbeliak ketakutan.

Sheikh Ali turut berdoa agar Allah mengeluarkan rakyat Syria daripada penjara dunia. Syria merupakan penjara terbesar ketika ini apabila sebahagian besar rakyat Syria terperangkap di dalam bumi Syria dengan pertempuran yang berlaku di antara tentera kerajaan dengan pejuang pembebasan. Jika dulu Gaza merupakan penjara terbesar namun apabila kebangkitan rakyat berlaku pada 15 Mac 2011, Syria menjadi penjara terbesar di dunia.

Di pengakhiran, Sheikh menjelaskan bahawa asas Islam ditegakkan atas prinsip keadilan dan ehsan, Islam mengeluarkan manusia daripada kegelapan-kegelapan kepada jalan yang lurus. Sheikh membuat perumpaan terhadap musuh-musuh Islam yang cuba memadamkan cahaya Islam seumpama seseorang dengan bantuan seluruh manusia yang cuba memadamkan cahaya matahari hanya dengan menggunakan mulut. Bashar tidak mampu lagi membendung apatah lagi memadam api kebangkitan rakyat bahkan rakyat Syria yang berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam pasti akan menemui kemenangan cuma masa akan menentukan kejatuhan Bashar. Justeru wajib ke atas umat Islam Malaysia dan pecinta kebenaran untuk membantu perjuangan rakyat Syria. Untuk penjelasan lebih tuntas dan meyakinkan, buku terbaru karangan Dr. Zulkifli al-Bakri bertajuk ‘Krisis Syria dan Mauqif Ulama’ wajar dibaca bagi mencerahkan lagi pandangan dan sokongan ulama terhadap perjuangan rakyat Syria. Buku ini boleh diperolehi dengan menghubungi Sekretariat Malaysia Life Line for Syria di talian 013 2226057 atau layari Facebook : Malaysia Life Line for Syria atau Savesyriamy. Sebahagian besar hasil jualan buku ini akan disalurkan kepada pelarian Syria.