Dalam perbincangannya tentang pemikiran maqasidi (al-fikr al-maqasidiy) al-Raysuniy mengangkat isu faham, semangat dan amalan demokrasi dalam hubungannya dengan maslahah dan maqasid al-shari`ah. Beliau mengatakan andainya demokrasi diamalkan secara benar sebagai wasilah yang murni, tentunya membawa maslahah kepada umat manusia, dan dengan demikian ia termasuk dalam maqasid syari`at Islam. Esensi demokrasi tidak lain adalah pernyataan komitmen terhadap keadilan dan persamaan. Al-Raysuniy menyebutnya sebagai al-musawah al-`adilah atau persamaan yang adil.
Dengan definisi tersebut beliau menyimpulkan bahawa idea demokrasi adalah sejati Islami (min samim al-Islam…min samim al-shari`at al-Islamiyyati wa wa maqasidiha) bersandarkan ayat al-Hadid:25. (Al-Raysuniy, Ahmad, 2009: 146-148). Dandal Jabr dalam perbincangannya tentang isu plurality politik (al-ta`addudiyyah al-siyasiyyah) dari perspektif al-siyasah al-shar`iyyah menyebut bahawa matlamat utama plurality dan peranan parti pembangkang dalam hubungannya dengan pemerintah pada asasnya adalah untuk merealisasikan al-maslahat al-`amah kenegaraan.
Dengan demikian pada dasarnya parti-parti politik berperanan merealisasikan al-maqasid al-shar`iyyah al-mursalah dalam pengertian memperjuang dan mengaktualisasikan pelbagai maslahah ummah -- daruriyyah, hajiyah dan tahsiniyahnya. Andainya dipraktikkan secara benar, jujur dan besih sistem ini dapat menjamin berlakunya peralihan kuasa secara aman, tanpa mendedahkan rakyat kepada bahaya pertumpahan darah. Selain itu pengamalan sistem ini juga dapat memberikan pendidikan politik kepada rakyat, membangkitkan kesedaran politik di kalangan massa masyarakat, dan seterusnya dapat menampilkan pemimpin-pemimpin berkualiti pilihan rakyat. (Jabr, Dandal, 2006: 86).
Maslahah: Catatan Kewaspadaan
Kedudukan maslahah yang begitu sentral, menjadikan sebilangan cendekiawan Muslim sering terobsesi, lalu terlanjur menempatkannya lebih tinggi daripada nass, mengenepikan nass ketika dirasakan bertentangan dengan maslahah. Kecenderungan seperti itulah yang diprihatinkan oleh Dr.Yusuf al-Qaradawiy dengan menegaskan bahawa nass syaraklah yang menentukan sama ada ia benar-benar maslahah atau bukan. Tuhan sendirilah yang lebih tahu mana maslahah dan mana mafsadah.
Pendirian al-Qaradawiy terumus pada ungkapan: Di mana terdapatnya hukum (syarak) Allah, di situlah adanya maslahah. Dalam sejarah pemikiran fiqh memang pernah terjadi kesilapan mengutamakan perkiraan "maslahah" dengan mengenepikan nass. Sebenarnya apa yang diperkirakan sebagai maslahah itu hanyalah dugaan semata-mata. Kerana itu ijtihad sedemikian tidak sah. Ramai kalangan ahli usul al-fiqh ketika membicarakan isu maslahah yang dibatalkan oleh nass merujuk fatwa Qadi Yahya ibn Yahya al-Laythiy yang memutuskan hukuman puasa dua bulan berturut-turut ke atas seorang Amir Andalus atas kesalahan menyetubuhi isterinya pada siang Ramadhan. Hukuman kesalahan tersebut seharusnya pembebasan seorang hamba sebagaimana yang ditetapkan oleh al-Hadith.
Tetapi Qadi tersebut membuat perkiraan bahawa hukuman pembebasan hamba tidak mendatangkan kesan pendidikan kepada orang sekaya Amir Andalus itu. Beliau mungkin akan mengulangai kesalahan yang sama setiap hari kerana hukumannya terlalu ringan baginya. Hukuman yang diperkirakan sesuai, dapat mendidik adalah puasa dua bulan berturut-turut. Demikianlah faqih tersebut melihat maslahah dari segi pendidikan Amir, tetapi gagal melihat maslahah yang lebih besar pada hukuman pembebasan hamba.
Betapa berertinya pembebasan bagi seorang hamba yang seolah-olah mati hidup kembali. (al-Qaradawiy, Yusuf, 1994:68-70). Pada hukuman inilah terdapatnya maslahah yang hakiki, maslahah pembebasan manusia yang menjadi objektif syari`at, agama Allah yang sememangnya dan selamanya bersemangat emansipatif-liberatif. (Ini merupakan petikan daripada artikel berjudul Wacana Islam Dan Masyarakat Majmuk. Untuk artikel penuh sila klik sini)
- Posted using BlogPress from my iPad