NGO selayaknya diiktiraf sebagai kuasa ketiga!” begitulah ujar Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab.Rahim sewaktu wawancara slot ‘Dalam Radar’ di radio Bernama 24 baru-baru ini.
Menurut beliau, pengiktirafan terhadap peranan dan fungsi NGO di Malaysia dalam konteks pembangunan dan kesejahteraan negara sejajar dengan tren peringkat global di mana pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) atau civil society organizations (CSO) sememangnya diiktiraf sebagai sektor atau kuasa ketiga. Sektor atau kuasa ketiga dalam konteks sosio-politik merujuk NGO dan gerakan lain dalam masyarakat sivil seperti, kumpulan pemikir, pergerakan sosial, yayasan antarabangsa dan kesatuan sekerja. Sejak penghujung abad ke-20 dan semakin rancak pada abad 21 ini, sektor ketiga ini semakin berpengaruh dan dirumuskan oleh penganalisis sebagai aktor ketiga selain (i) negara-bangsa (nation state) dan (ii) pasaran ekonomi (market) yang diterajui oleh syarikat-syarikat multinasional (MNCs).
NGO sebagai teraju penting dalam pergerakan masyarakat sivil sejagat telah membuktikan bahawa mereka boleh melakukan apa yang nampaknya tidak boleh dilakukan oleh negara bangsa seperti yang dibuktikan dalam kesungguhan luar biasa menjayakan misi kemanusiaan ke zon krisis seperti di Gaza. Tatkala Israel-Palestin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), EU, OIC dan Liga Arab buntu mencari penyelesaian pertikaian di Palestin, rangkaian NGO seluruh dunia telah melangkaui batas geografi, ras dan ideologi telah dengan beraninya memecahkan sekatan dan embargo untuk menyampaikan bantuan atas nama keamanan dan kemanusiaan.
Di Malaysia sendiri, pihak kerajaan, pembangkang serta sektor korporat sendiri telah membuka ruang yang luas untuk bekerjasama dengan NGO yang terdiri merentas pelbagai bidang sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara. Perubahan dinamik landskap sosio-politik juga semakin menyerlahkan peranan NGO sebagai kuasa ketiga yang berpengaruh.
Beliau yang diundang bersama-sama Ahli Jawatankuasa Peace, Conscience and Rationale (PCORE), Dr. Asma Abdullah dan Prof.Dr Maketab Mohamad, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk membicarakan tajuk ‘Peranan NGO dalam Pembangunan Negara’ turut diminta mengulas tentang perkembangan NGO yang begitu rancak di Malaysia.
“Kajian akademik dan sumber rasmi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya selepas PRU ke-12 pada tahun 2008 menunjukkan petumbuhan NGO yang sangat rancak di Malaysia. Pada tahun 2011, Pendaftar Pertubuhan merekodkan sejumlah hampir 47,147 persatuan yang berdaftar dengan persatuan berasaskan agama merekodkan jumlah tertinggi 8,565 (18%)”.
“Pendaftar Pertubuhan Belia pula misalnya telah mendaftar tidak kurang daripada 8000 persatuan belia dengan keahlian melebihi 2.75 juta belia. Ini belum termasuk NGO yang berdaftar sebagai syarikat atau yayasan dan sebagainya. Dari segi pertambahan kuantiti NGO di Malaysia, ini merupakan satu perkembangan yang amat memberansangkan.”
Dalam sesi soal-jawab bersama pendengar, Sdr Mohamad Raimi telah mengupas isu-isu yang diutarakan kepada ABIM secara khusus termasuklah isu LGBT, orientasi politik NGO, kelesuan persatuan, kebanjiran NGO yang mengelirukan rakyat serta kaedah terbaik mendidik rakyat memahami dan menilai peranan serta fungsi NGO. Merumuskan bualbicara tersebut, beliau menyarankan agar rakyat bijak dan sentiasa meletakkan neraca yang objektif dalam menilai sesebuah NGO. ”Janganlah menilai keberkesanan sesebuah NGO hanya berdasarkan kekerapan kenyataan yang dikeluarkan berhubung sesuatu isu. Ukurlah kejayaannya berdasarkan visi dan misi penubuhannya serta gerak kerja kemasyarakatan dan inisiatif pembangunan yang dilaksanakan oleh NGO tersebut di lapangan. – MediaABIM.
- Posted using BlogPress from my iPad