Rabu, 24 Ogos 2011

SINAR HARIAN – SAYA TIDAK TERGUGAT: ALEX

ULASAN: Semalam penulis sempat membaca sebuah temubual ekslusif dalam akhbar Sinar Harian, berkenaan seorang Muallaf berbangsa Cina iaitu saudara Alex Koh Kee Kiat(gambar kanan), yang telah memeluk Islam sejak 10 tahun yang lalu. Dan beliau juga adalah seorang selebriti yang merupakan anggota kumpulan Studio Muallaf, iaitu sebuah rancangan diskusi Islam berunsur muzikal terbitan Tv Al-Hijrah.

Apabila mengulas berkenaan isu murtad yang hangat diperkatakan oleh media-media cetak dan elektronik, beliau berkata “Isu ini tidak begitu berat seperti digambarkan media malah ia sengaja ditokok tambah menjadikannya sebagai isu hangat yang sedang melanda umat Islam.”(Alex Koh Kee Kiat)

Oleh itu penulis, berpendapat, ada hikmahnya apabila timbul isu murtad ini. Ia membuatkan umat Islam di Malaysia bangkit dari lamunan dan lena yang panjang. Mungkin segalanya berlaku kerana kita berada di dalam ‘comfort zone’(zon selesa) dan mengakibatkan kita terlalu individualistik, kita tidak kisah mengambil tahu susah senang jiran kita, orang kampung kita dan seluruh saudara se-Muslim kita yang lain terutamanya yang fakir miskin. Akhirnya apabila pihak agama lain membantu mereka dan memberi perhatian kepada mereka, lalu mereka semakin jauh dari Islam kerana menganggap mereka disisihkan oleh orang Islam sendiri. 

Sabda Rasulullah SAW:

"Tidak sempurna iman seorang Muslim jika ia tidak mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri."(Riwayat Bukhari)

Kebetulan pula, segelintir daripada mereka, goyah dan lemah imannya, lalu mereka keluar dari Islam kerana mereka merasakan pihak agama lain itu adalah dahan tempat mereka berpaut disaat mereka hampir lemas dengan kesempitan dan keperitan hidup mereka alami. Kemudian barulah pelbagai pihak dan individu melontarkan pelbagai pandangan dan idea untuk mengatasi permasalahan murtad. Tidak kurang juga golongan yang agak emosional dengan menuding jari ke sana sini dan mencetuskan pelbagai provokasi. Apakah menuding jari dan menyalahkan pihak lain boleh menyelesaikan masalah?

Seperti kata mantan mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, “Saya telah lama cakap isu berkaitan zakat sejak 3 tahun lalu. Akhirnya bila timbul isu berkenaan, barulah ramai pihak mempersoalkan keberkesanan pengagihan wang zakat kepada fakir miskin dan golongan asnaf(yang benar-benar layak menerima zakat).”

Dan kata beliau lagi, “Mengapa karenah birokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM 100-200 pun, begitu banyak karenahnya. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?

Manakala seorang pensyarah dari Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Dr Maszlee Malik, mengemukakan pendapat yang positif dan konstruktif. “Kutipan zakat dan pengagihan zakat perlu di'de-centralised'kan kepada NGO-NGO Islam dan Kebajikan yang diberikan tauliah oleh Majlis Agama negeri. Jika dawlah (state) gagal menjalankan peranan sehingga umat yang miskin terpaksa ke gereja untuk mendapatkan bantuan, maka biarlah sektor masyarakat sivil yang memainkan perana pula.”, katanya. Sebenarnya banyak lagi pendapat dan cadangan beliau kemukakan buat JAIS dan para da’ie, tapi tidak sempat untuk dikongsikan di sini.

Baiklah, teruskan mengikuti kisah saudara Alex Koh Kee Kiat. Mungkin boleh memberi kesedaran kepada kita masyarakat Muslim dan NGO-NGO Islam dan badan-badan kebajikan Islam di Malaysia khususnya, supaya memperbaiki sikap dan akhlak kita terhadap saudara kita terutamanya yang fakir miskin yang telah kita abaikan mereka selama ini apabila mereka memohon bantuan kita, sehingga akhirnya mereka lebih tertarik dengan akhlak dan bantuan pihak agama lain.

Akhir sekali, pesan saya, didiklah keluarga kita supaya sentiasa beriman kepada al-Quran dan as-Sunnah yang dijamin dapat memelihara aqidah daripada terpesong.

Renungi firman Allah SWT:
الم 
Alif Laam Miim.

ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ
"Kitab (Al Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya,
petunjuk bagi mereka yang bertaqwa"

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
(Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka

والَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِالآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُون
Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Qur'an) yang telah diturunkan kepadamu
dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu,
serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.

أُوْلَـئِكَ عَلَى هُدًى مِّن رَّبِّهِمْ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka,
dan merekalah orang-orang yang beruntung.

(Surah al-Baqarah: Ayat 1-5)

Sekian,
Wallahu’alam.



Khairul Adli bin Abdullah
Biro Penerangan ABIM Melaka Bandar
23 Ramadhan 1432 Hijr | 23hb Ogos 2011





ARTIKEL ASAL – (SINAR HARIAN – 22HB OGOS 2011) BICARA ISNIN – ISU MURTAD – Saya tidak tergugat - Alex:



Kuala Lumpur – Sekiranya saya dihidangkan wang ringgit semata-mata untuk menukar agama, saya tidak mungkin terpengaruh kerana kekuatan akidah Islam telah tumbuh mekar dalam hati, kata seorang pendakwah bebas, Alex Koh Kee Kiat.

Menurut Alex, setiap penganut agama Islam perlu faham, sekiranya telah menerima hidayah ALLAH SWT untuk memeluk agama ini, ia bererti tidak boleh meninggalkan atau berpaling kepada agama lain.

“Dalam kes murtad, pokok pangkalnya, kita perlu memahami keadaan seseorang yang memilih untuk murtad. Dalam kes ini, mereka yang faham mengenai Islam, lalu menafikan agamanya, barulah orang itu boleh dikategorikan sebagai murtad.

“Sebaliknya, sekiranya seseorang yang tidak faham mengenai Islam, kemudian memutuskan untuk keluar agama Islam tidak boleh katakan sebagai murtad kerana secara logiknya, dia langsung tidak faham mengenai agama Islam” katanya.

Sungguh pun begitu, beliau berkata, seseorang yang memiliki pengetahuan luas dan mengenal Islam turut berpotensi meninggalkan agama ini.

“Banyak faktor mempengaruhi seseorang untuk murtad. Tetapi pada pandangan saya, tidak mungkin seseorang itu akan meninggalkan agama setelah kenal ALLAH SWT.

“Selain faktor kecetekan ilmu yang menjadikan seseorang tidak percayakan ALLAH SWT, mungkin juga disebabkan rasa kecewa kerana gagal mendapat bantuan daripada orang Islam sendiri”, katanya.

Beliau berkata, isu ini tidak begitu berat seperti digambarkan media malah ia sengaja ditokok tambah menjadikannya sebagai isu hangat yang sedang melanda umat Islam.

“Bukan salah orang Kristian berdakwah kepada orang Islam. Saya percaya perkara ini mudah terjadi kerana orang Islam tiada tempat mengadu atau menerima mereka untuk dikaunseling serta mendapat ilmu mengenai akidah Islam.

“Kita lebih banyak bercakap soal hukum hakam, tetapi mengenai ilmu mengenal ALLAH jarang dilakukan. Jadi, kita perlu fikir bagaimana untuk memantapkan pegangan penganut Islam itu sendiri”, katanya.

Anak kedua dari empat adik beradik ini telah memeluk Islam 10 tahun lalu, namun, sehingga kini keluarganya masih belum boleh menerima keputusannya itu.

Alex yang sebelum ini beragama Kristian tidak berputus asa mengkaji agama terbaik di antara agama yang terdapat di dunia.

Hasilnya beliau telah mengucap kalimah syahadah ketika usia 29 tahun di pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

“Saya seolah-olah seperti orang Melayu yang dilahirkan dalam agama Islam tetapi tidak faham dengan agama sendiri dan pergi mencari kebenaran tanpa jemu, akhirnya kebenaran itu telah ditemui.

“Bagi mereka yang baru memeluk Islam, mereka tidak boleh lari daripada tekanan keluarga dan rakan-rakan. Perhatian perlu diberikan kepada mereka supaya tidak berpaling kepada agama asal”, katanya.

Katanya, orang Islam perlu memahami keadaan di mana orang Kristian turut dipesan supaya berbuat baik dengan jiran dan menolong siapa yang memerlukan.

“Ia bukan juga sebagai satu mekanisme dakwah untuk menguasai dunia, tetapi mereka menganggap ia sebagai satu amalan dan tanggungjawab mereka. 

Jadi, peluang ini disalahgunakan orang Islam yang mengalami kesempitan hidup.

“Orang Kristian tidak menghalau atau menolak mereka yang datang untuk meminta bantuan kerana menganggap ia adalah perutusan dari tuhan mereka dan akan menggunakan wang sebagai mekanisme dakwah yang berkesan”, katanya.

Beliau berkata, dalam kes murtad, sikap suka menuding jari menyalahkan orang lain tidak akan membuahkan hasil malah merugikan umat Islam sendiri.

Beliau yang juga anggota Persatuan Darul Fitrah Malaysia berkata, persatuan yang ditubuhkan sejak 1990 itu kini mempunyai 800 ahli dan giat menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan.

Sumber: Akhbar Sinar Harian










Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar