Rabu, 27 Jun 2012

ABIM-IKRAM-HALUAN Gesa Kerajaan Usir Segera Duta Syria Dari Malaysia


22 Jun 2012:- Kemelut politik Syria yang telah berlarutan semenjak 15 Mac 2011 ini menjadi konflik bersenjata yang menelan ramai korban di samping menyebabkan ramai rakyat Syria menjadi pelarian di negara jiran seperti Turki, Lubnan dan Jordan termasuk Internal Displaced People (IDP) di dalam Syria sendiri. Kofi Annan, utusan damai PBB ke Syria pula menyifatkan situasi terkini di Syria adalah amat genting dan hampir memasuki fasa perang saudara yang memerlukan tindakan segera daripada masyarakat dunia.

Terkini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menolak usul bagi membincangkan konflik Syria dan mengutuk keganasan yag berlaku di Parlimen atas alasan hubungan diplomatik sedangkan nyawa rakyat Syria yang tidak berdosa terus melayang. Atas keinsafan dan keprihatinan, Gabungan Selamatkan Syria yang dianggotai ABIM, IKRAM dan HALUAN bersepakat:
a.) Mendesak Kerajaan Malaysia mengusir segera Duta Syria di Kuala Lumpur sebagai tanda protes terhadap keganasan yang dilakukan oleh Regim Bashar dan kegagalan mereka menghentikan pembunuhan. Pengusiran ini harus berterusan sehingga keganasan dihentikan dan Regim Bashar berundur bagi membolehkan aspirasi rakyat Syria melakukan perubahan politik dan sosial.

b.) Memanggil pulang Duta Malaysia di Damsyik serta menutup Kedutaan Malaysia di Damsyik buat sementera waktu sehingga keadilan dan keamanan tercapai.

c.) Mendesak Kerajaan Malaysia sendiri yang membawa usul ke Parlimen mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh Regim Bashar terhadap rakyatnya. Kerajaan Malaysia tidak wajar mendiamkan diri hanya kerana semata-mata ingin menjaga hubungan diplomatik dengan Syria sedangkan ribuan nyawa rakyat Syria yang terlalu berharga melayang.
d.) Mendesak Kerajaan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam memainkan peranan proaktif mengetuai negara-negara OIC mencari mekanisme penyelesaian yang efektif dalam menamatkan konflik berdarah Syria agar mengelakkan campurtangan kuasa asing dalam isu dalaman umat Islam ini. Ini merupakan isu dalaman umat Islam (ummatic issue) yang seharusnya diselesaikan oleh negara-negara Islam sendiri tanpa terperangkap dalam konsep Negara Bangsa yang sempit. Ditambah pula konflik ini melibatkan isu kemanusiaan sejagat yang memerlukan penyelesaian yang amat mendesak. Sekian.

22 Jun 2012 / 2 Syaaban 1433 H