Merujuk kepada artikel yang dipaparkan menerusi ruang bicara Isnin (”Jangan Lupakan Kami” Sinar Harian, Isnin 13 Ogos 2012 ms 6-12), institusi-institusi zakat seharusnya menjadikan proses agihan serta penyampaian sumbangan zakat yang diterima kepada mereka yang memerlukan sebagai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) selain meningkatkan jumlah kutipan zakat.
Walaupun dalam kes ini (konteks yang dibicarakan akhbar Sinar Harian) secara teknikal golongan OKU tidak dikategorikan sebagai asnaf , namun adalah menjadi tanggungjawab para petugas institusi zakat untuk mengamalkan pendekatan outreach untuk menilai calon-calon asnaf yang berkelayakan.
Menerusi cara itu golongan OKU dapat dibantu secara holistik serta efektif (setelah ditentukan kategori asnafnya atau bentuk-bentuk bantuan yang boleh disalurkan). Di samping itu, prosedur serta tatacara pengagihan zakatnya juga perlu dipermudahkan agar fleksibel untuk memudahkan golongan Asnaf yang memerlukan.
Ini seharusnya dapat membantu institusi-institusi zakat melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan, memandangkan mereka sangat proaktif dari segi meningkatkan kesedaran masyarakat yang mendorong kepada peningkatan kutipan zakat menerusi saluran teknologi serta maklumat yang ada.
Fadhlina Dato' Dr Siddiq
Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (HELWA)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Isnin, 13 Ogos 2012
Institusi Zakat Perlu Tingkatkan Agihan Zakat Sebagai KPI Utama
11:10 PTG
Unknown