Khamis, 3 Januari 2013

Kontroversi Pemakaian Kalimah Allah SWT

Satu Penyataan Keprihatinan Oleh Dato' Dr Siddiq Fadzil (Presiden, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia)



Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States) ini dirujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”. Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan.



Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya. Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusik atau diganggu.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka. Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.

Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan.



Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.

Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius. Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, “Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”.



Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “…a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.