Isnin, 7 Januari 2013

Mengapa Babi Diharamkan Untuk Dimakan?


Soalan: Mengapa haram makan babi?


Jawapan: 

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين

صلى الله على محمد

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Baiklah, sebelum menjawab soalan, saya ingin memulakan dengan bacaan Surah Al-Maidah ayat 3 dengan firmanNya,


حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالْدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلاَّ مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُواْ بِالأَزْلاَمِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمْ فَلاَ تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ فَإِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ


"Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala."

Sadaqallahul 'Azim (Benarlah kata Allah)

1. Jawapan saya begini, apabila Allah mengharamkan sesuatu, ianya tidak lain adalah Allah SWT ingin menguji siapakah hamba-hambaNya yang benar-benar beriman. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini adalah pentas ujian demi menuju ke alam akhirat. Belajar di sekolah dan universiti juga ada ujian yang perlu ditempuhi. Begitu juga dengan kehidupan yang sementara ini. Sepertimana firman Allah SWT,

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedangkan mereka tidak diuji lagi?

2. Lantaran dari pengharaman dan ketentuan sesuatu perkara itu, sebagai hambaNya yang kerdil, akurlah dengan segala perintah dan segala kehendak Tuhan. Kita hanyalah hambaNya, Dia berhak melakukan apa sahaja ke atas hamba-hambaNya. Kerana Dia-lah yang mengciptakan kita, dan kita juga adalah milik Dia, siapalah kita ingin persoalkan segala kehendakNya. Sesungguhnya apa yang dilihat baik di mata insan, belum tentu baik di sisi Tuhan. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 216, telah dinyatakan,

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Maka sentiasalah bersangka baik kepada Allah Al-'Alim (Yang Maha Mengetahui). Kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.

3. Kemudian, babi tiada leher, haiwan yang tiada leher bagaimana hendak disembelih bukan? Sedangkan, daging yang halal dimakan bukan sahaja dari jenis haiwan yang dihalalkan untuk dimakan. Tetapi ianya mestilah yang disembelih terlebih dahulu, dan diperolehi dengan cara yang halal serta sumber yang halal. Maka, itu barulah makanan yang benar-benar halal mengikut syari'at. Apabila sesuatu makanan itu daripada haiwan yang tidak disembelih, maka ia adalah bangkai. Sesungguhnya, bangkai juga adalah termasuk di dalam senarai yang diharamkan untuk dimakan, rujuk kembali Surah Al-Maidah ayat 3. Di dalam Surah Al-An'am ayat 145 juga, Allah ada berfirman,

(Katakanlah) "Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi - kerana sesungguhnya semua itu kotor - atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Setakat itu sahaja jawapan dan penjelasan saya. Semoga apa yang telah saya sampaikan ini mudah difahami dan dimanfaatkan demi mengukuhkan lagi keimanan kita kepada Allah SWT. Namun segala apa telah saya perkongsikan ini, sebahagian daripadanya boleh diaplikasikan untuk hikmah terhadap hukum-hukum pengharaman yang lain. Ianya juga ada kaitan dengan persoalan takdir, iaitu hikmah di atas segala ujian yang perlu kita tempuhi di alam yang sementara ini.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
6hb Januari 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com