Antara isu yang menjadi perdebatan hangat menjelang pilihanraya adalah isu kedaulatan Islam. Islam menjadi modal yang terlaris apabila diperkatakan bersama Melayu. Ia cukup dekat dan membekas dalam hati nurani umat Melayu. Persoalan berkaitan Islam bermula dari sinar pengetahuan, lalu menjalar ke batang tubuh pendidikan sehingga ke kemuncak perlembagaan. Islam perlu didaulatkan tanpa alasan penangguhan, mahupun kesediaan. Islam perlu diangkat walau sebesar mana pun risikonya, perlu diperjuangkan walau apa pun tentangannya dan perlu ditinggikan walau berapa pun harganya.
Islam tiada galang gantinya. Perjuangan mendaulatkan Islam adalah perjuangan yang tinggi lagi mulia. Nyawa, harta, keluarga dan segalanya akan di pertaruhkan demi menjayakan perjuangan ini. Dalam nyalaan semangat ini, adakala kita terlupa dengan inti perjuangan. Kita merasakan cukup apabila kita melaungkan takbir, melilit kepala dengan kain yang bertulisan kalimah syahadah, lalu berasa halal untuk kita beraksi sesuka hati. Lebih menyedihkan apabila keceluparan kata bicara kita yang melampaui batasan akhlak dengan segala maki hamun, fitnah dan terus terjerumus ke kancah jenayah qazf.
Islam sentiasa konsisten dengan keterikatan terhadap dasar tauhid. Ia membekas hampir dalam setiap sudut kehidupan. Tauhid menguasai warna pemikiran (pandangan sarwa) lalu mengakar dalam keyakinan dan seterusnya mencorakkan tindakan. Dari sinilah nanti lahirnya penghayatan syariat, yang perlu wujud dalam setiap diri individu muslim, iaitu menerima setulus hati dan penuh kerelaan, tanzim hidup Islamiy secata total dan sempurna.
Maka untuk itu perjuangan mengangkat atau mendaulatkan syariat semestinya bermula dari pendaulatan individu yang bernama muslim terlebih dahulu. Akar kedaulatan tersimpul kukuh dalam kalimah tauhid yang mengisyaratkan pembebasan seutuhnya dari sebarang kesyirikan. Syirik merupakan perosak dalam usaha membebaskan manusia. Untuk tujuan itu usaha-usaha pencerdasan dan pencerahan perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Pencerdasan rakyat mengarahkan kita membina upaya rakyat dalam memilih, berpendirian dan bersikap. Justeru keupayaan memilih ini perlu segar dalam ruang lingkup pencerahan yang tulen. Kekaburan pandangan yang disebabkan kotoran atau debu-debu kepalsuan maklumat perlu dibersihkan. Kita tidak mahu kekaburan ini bertukar menjadi kegelapan yang membutakan. Pencerdasan rakyat akhirnyalah akan menjayakan gagasan rakyat sebagai masdar al-sultah seperti yang dinyatakan oleh Dr Wahbah al-Zuhayliy, bagi memastikan wujud peranserta umat dalam memastikan kedaulatan syariat terpelihara.
Dalam hal yang sama Hamka seorang tokoh ulama nusantara telah dipetik menyatakan”Kemerdekaan suatu negara dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa”. Sebarang pembelengguan yang berertikan pembodohan bakal meruntuhkan kemerdekaan negara dari dalam (Hamka, 1957).
Ini adalah pra syarat pendaulatan syariat. Kedaulatan syariat perlu dibina dalam batasan dakwah yang sihat. Dalam hal ini para ulama perlu melaksanakan jihad al-kalimah, iaitu pernyataan kebenaran atas pundak ilmu tanpa takutkan ancaman dan ugutan.
Kedaulatan syariat seperti yang ertikan oleh masyarakat kita yakni dalam capaian penegakkan hukum Allah perlu didahului dengan pendaulatan umat. Kedaulatan syarak bukan semata-mata perlaksanaan hukum Allah di mahkamah, tetapi mesti mencakupi pemartabatan karamah insaniah secara tuntas. Ia akan membawa kita kepada debat-debat intelektual bagi menyingkirkan segala hama sekularisasi yang memudaratkan.
Jejak penjajah yang mengasingkan urusan pentadbiran negara dengan ruh tauhid perlu dipadamkan segera. Ulama perlu mampu menampilkan jawapan terhadap segala persoalan kehidupan secara bijaksana dan berhikmah. Maka akan lahirlah satu pendaulatan syariat yang berupaya menterjemahkan rahmah dan maghfirah, kasih sayang dan keampunan dari Allah s.w.t, yang menjadi inti dakwah Rasulullah s.a.w.
Tiada ertinya perjuangan menegakkan syariat jika tiada usaha pencerdasan rakyat. Kedaulatan Islam berada jauh dari api panggangan jika persepakatan rakyat berada di atas tapak pembelengguan yang merimaskan.
Disediakan oleh Amidi Abd Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)