Jumaat, 15 Mac 2013

Persefakatan Melayu, Asasnya Hanya Islam!


Oleh: Amidi Abd Manan

Perjuangan bangsa bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah tamadun manusia. Sejarah moden hari ini pun telah mencatatkan beberapa peristiwa diluar batasan rasional. Holocaust, pengeboman Sabra-Shatila, pembersihan etnik Bosnia oleh bangsa Serbia dan Croat dan yang terbaru pengusiran bangsa Rohingya dari Myanmar. Tidak dinafikan juga perang dunia kedua turut dilatari oleh sikap fanatik kebangsaan yang melampau. Adakah ini yang dinamakan perjuangan bangsa? Adakah perjuangan bangsa ditandai hanya dengan perluasan tanah jajahan, penguasaan hasil ekonomi atau majoriti kerusi yang dimenangi di Parlimen?

Kepesatan dakwah Islamiah di rantau ini pada kurun yang ke 15 membawa satu perubahan yang begitu signifikan kepada masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu didedahkan mengenai konsep kepimpinan yang berteraskan khidmat dan bakti bukan lagi keramat dan sakti. Kepimpinan adalah satu amanah bagi menegakkan kebenaran dan keadilan, dilatari misi khalifatullah fil ardh. Kepimpinan perlu berlangsung dengan terma pendaulatan syariat dan pendaulatan rakyat.

Banyak kisah yang sengaja dinukilkan dalam pelbagai catatan sejarah dan kesusasteraan Melayu yang diangkat oleh Yg Berbahagia Dato Dr Siddiq Fadhil dalam bukunya Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Kisah al-Wa’ad yang menekankan perihal maruah rakyat yang perlu dipelihara, kisah Putera Mahkota Tengku Muhamad yang terbuang ke Pahang lantaran kesalahan membunuh rakyat biasa serta banyak lagi coretan pesanan menerusi gurindam, puisi dan bidalan yang dimuatkan.

Kita perlu akur paksi kekuatan umat adalah penghayatan yang tulen dan total terhadap nilai-nilai sejagat yang dibawa oleh Islam. Melayu perlu kembali ke akar kekuatannya iaitu Islam. Kepimpinan Melayu perlu memperbaharui tekadnya untuk melaksanakan, menghayati dan memperjuangkan ajaran Islam.Kesatuan dan kesepakatan bangsa Melayu mestilah terpasak pada teras nilai-nilai Islamiy bukan pada kerakusan nafsu tamak haloba membolot harta, atau kegilaan mempertahankan kuasa atau keinginan menyingkirkan bangsa lain dari persada politik negara. Kita juga berasa jengkel apabila persepakatan Melayu digandingkan secara melulu bersama pendaulatan agama.

Belum tentu Islam berdaulat dengan Melayu bersepakat. Jika sepakatnya Melayu itu berada di atas noda maksiat, menghalalkan perampasan hak dan penipuan, menyuburkan keganasan dan perlakuan terror, melindungi amalan kronisme dan nepotisme, menggalakkan fitnah dan pengaiban, maka pendaulatan Islam hanyalah ilusi semata-mata.Kelompok yang mempromosi pendaulatan Islam atas kesepakatan Melayu secara melulu adalah kelompok yang keliru. Kelompok ini gagal membezakan antara helah dan maslahah. Justeru tidak hairanlah jika hujah yang lahir adalah hujah bagi mempertahankan kelompok istimewa Melayu bukan memperjuangkan hak-hak keistimewaan Melayu.

Mereka riuh apabila isu LGBT terpapar di media tetapi bisu apabila institusi keluarga diruntuh oleh acara hiburan yang menggila, mereka riuh apabila pemakaian kalimah Allah di bible terjemahan bahasa Melayu, tetapi senyap sunyi apabila syariat Islam dicaci dan dihina. Kita menginsafi peranan, fungsi dan watak serta amanah dakwah yang terpikul di pundak setiap dari kita. Kita akan melunasi segala tanggungjawab ini walau siapa pun yang berada di Putrajaya nanti. Telah terbukti dalam lembaran sejarah kita, kita tegak berdiri atas prinsip al-amru bil maa’ruf wan ahyu a’ni munkar yang menjadi ciri utama kecemerlangan ummah. Kita berbeza pandang bukan menanggang, kita, mendebat dan bukan menjebat.

Maka tugas pencerdasan ummah dan masyarakat perlu digerakkan. Pembodohan umat adalah satu jenayah kemanusiaan yang tidak boleh diampunkan, apatah lagi memberi janji palsu yang menjerut rakyat dalam perangkap kejahilan dan kemiskinan. Rakyat perlu dimerdekakan, dibebaskan dari belenggu perhambaan moden. Ia perlu bermula dengan proses percerdasan dengan menyedari bahawa manusia diberikan hak memilih yang unik yang tidak pernah diterima oleh makhluk yang lain.

Justeru rakyat perlu tahu bagaimanakah hak tersebut mesti digunakan sewajarnya. Jangan terpengaruh dengan momok-momok atau dihantui oleh perbagai kebimbangan yang tidak berasas apatah lagi mejadi momok dan hantu. Moga-moga PRU yang bakal menjelang nanti akan menjadi mercu tanda dan gerbang perubahan ke arah politk yang lebih bermaruah dan berteraskan nilai-nilai rabbaniy yang abadi dan hakiki.