Selasa, 27 September 2011

POLEMIK HUDUD: RAMAI GENERASI MUDA POSITIF


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius polemik perundangan Hudud yang berlaku pada ketika ini. Menilai respon-respon yang dikemukakan oleh pelbagai pihak semenjak kebelakangan ini, ABIM menggesa perundangan hudud tidak dijadikan sebagai polemik  oleh mana-mana parti serta pihak yang mendulang populariti politik semata-mata. Jika keadaan ini berterusan, ABIM khuatir akan tercetus persepsi negatif terhadap keluhuran dan integriti masa depan perundangan jenayah Islam di negara ini. ABIM berpandangan bahawa usaha ke arah undang-undang hudud boleh dan harus dilaksanakan melalui kehendak politik yang kuat  dengan mengambil kita penafsiran dan pindaan semula terhadap sistem perundangan yang sedia ada. Persoalannya ialah bila ia akan mula dilakukan secara sistematik dan serius?
Justeru, alasan dan persepsi yang mengatakan perundangan Hudud tidak sesuai diamalkan tidak seharusnya diketengahkan secara semberono tanpa mengambil realiti dan arus perubahan yang berlaku di kalangan umat Islam. Banyak kajian ahli akademik dan perundangan yang telah menggariskan mekanisme ke arah pelaksanaan sistem perundangan jenayah Islam termasuklah pendidikan dan perundangan dan bagaimana sistem  sedia ada boleh dimanfaatkan serta diperkasakan ke arah pelaksanaannya.

Dalam konteks ini, ABIM ingin merujuk kepada hasil kajian (turut disertakan sekali) bertajuk Values Dreams Ideals Muslim Youth In Southeast Asia: Surveys in Indonesia and Malaysia (terbitan 2011) yang dilakukan Merdeka Centre, Goethe  Institute dan Yayasan Fredrich Naumann baru-baru ini. Dalam temuramah yang dijalankan ke atas 1060 orang responden belia Islam, kajian itu mendapati majoriti  belia Islam mahukan perundangan jenayah Islam diamalkan secara meluas di negara ini termasuklah pelaksanaan hukuman sebat untuk kesalahan minum arak (92.4%), hukuman mati untuk kesalahan membunuh atau Qisas (92.5%) dan 71.5% bersetuju untuk hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri.

Walaupun tidak konklusif tetapi kajian ini memberi indikasi jelas bahawa generasi muda dan belia Islam di negara ini mempunyai persepsi yang positif terhadap pelaksanaan perundangan jenayah Islam. ABIM yakin melalui pelaksanaan program pendidikan dan penerangan yang lebih sistematik serta road map yang jelas ke arah pelaksanaan hukum hudud, masyarakat akan lebih jelas dan tentang hakikat sebenar pelaksanaan hukuman hudud yang menekankan keadilan dan menolak syubhah atau keraguan.
Pengalaman telah membuktikan bahawa sistem Islam seperti sistem perbankan dan muamalat Islam yang suatu ketika dulu dilihat dengan kacamata negatif telahpun berjaya menawarkan alternatif kepada sistem kewangan dan perbankan konvensional di Malaysia. Perkara yang sama juga dilihat tidak mustahil, bahkan harus dilihat dalam aspek positif apabila merujuk kepada konteks pelaksanaan sistem perundangan jenayah Islam. Justeru ABIM berpandangan adalah tidak wajar jika ahli politik Islam  bersikap apologetik terhadap sebarang kritikan serta penentangan yang diketengahkan oleh pihak-pihak tertentu baik bukan Islam mahupun di kalangan umat Islam sendiri.

Dalam erti kata lain, perlaksanaan perundangan Islam pada ketika ini serta masa depan tidak hanya bergantung kepada kehendak politik (political will)  para pemimpin politik semata-mata. Sebaliknya, kehendak umat Islam perlulah dihormati serta diterjemahkan menerusi mekanisme politik yang ditetapkan. Merujuk kepada konteks perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan, kebebasan seharusnya diberikan kepada kerajaan serta rakyat negeri terbabit untuk melaksanakan tatacara perundangan yang ingin diamalkan menerusi lunas-lunas demokrasi seperti pungutan pendapat serta referendum.Ini merupakan praktis dan amalan normal dalam masyarakat yang matang demokrasinya. Jika itu kehendak rakyat, tuntutan perundangan jenayah Islam dilaksanakan di negara ini harus dihormati. Walaupun begitu, masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa khuatir dan takut kerana undang-undang ini hanya membabitkan mereka ya ng beragama Islam sahaja.  Di samping itu, perundangan Islam juga menjamin serta memelihara hak serta kebebasan orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya hidup masing-masing.
 

Dalam hal ini, ABIM semenjak penubuhannya pada 1971 telah menyatakan komitmen serta sokongannya terhadap perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Justeru sudah tiba masanya ia dijunjung serta diletakkan di tempat yang sewajarnya bersesuaian dengan status Islam sebagai agama Persekutuan.


MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar