Rabu, 12 Oktober 2011

ANTARA BELANJAWAN NEGARA DAN BELANJAWAN ALTERNATIF 2012


Belanjawan merupakan dokumen yang amat penting bagi merencana perbelanjaan dan perancangan negara.  Secara umumnya belanjawan mengandungi dua aspek utama iaitu perbelanjaan (expenditure) dan hasil (revenues) negara. Perbelanjaan merujuk kepada perancangan dalam perlaksanaan dasar dan program negara dan ini termasuk pelaburan dan belanja mengurus dalam bentuk perkhidmatan ataupun bekalan. Manakala hasil negara diperlukan untuk menangggung segala perbelanjaan negara yang dijana melalui cukai, pengeluaran hasil minyak dan lain-lain. Belanjawan juga merupakan dokumen undang-undang yang penting dan memerlukan kelulusan Parlimen.
Belanjawan 2012 telah mencatatkan sejarah baru di Malaysia apabila rakyat disajikan dengan dua tawaran iaitu belanjawan kerajaan Barisan Nasional dan belanjawan alternatif Pakatan Rakyat. Ini merupakan satu perkembangan yang sangat baik di arena politik tanahair. Adalah lebih baik persaingan yang sihat begini menjadi budaya politik tanahair. Dengan adanya dua belanjawan ini, penulis ingin mengambil kesempatan untuk membuat analisis ringkas dan pemerhatian peribadi terhadap pendekatan dan kandungan kedua-dua belanjawan.

Analisis ini hanya berdasarkan isi kandungan dan perancangan yang terkandung dalam belanjawan Pakatan Rakyat dan Belanjawan Negara. Perlu diingatkan, analisis ini tidak membincangkan perbandingan prestasi atau potensi kebolehlaksanaan belanjawan kerana adalah tidak adil sekiranya perbincangan dibuat dalam aspek ini. Ketiadaan fakta dan data akibat tidak pernah bertukar kerajaan pemerintah untuk dijadikan analisis perbandingan dari aspek perlaksanaan belanjawan merupakan faktor yang menghalang analisis sedemikian dibuat.
Ketiadaan fakta untuk dibuat perbandingan terhadap keberkesanan belanjawan dan perlaksanaannya menjadi satu halangan yang agak signifikan bagi maksud penyediaan analisa yang lebih jelas dan adil. Dengan itu, artikel ringkas ini hanya akan membuat perbandingan belanjawan dari aspek isi kandungannya. Berguna juga untuk diingatkan bahawa perbincangan di dalam artikel ini adalah bersifat umum dan tidak meneliti secara terperinci setiap perkara yang terkandung dalam kedua-dua belanjawan.

2.0. Pemerhatian Ringkas Belanjawan Negara dan Belanjawan Alternatif

2.1. Pendekatan Belanjawan

Belanjawan Alternatif meletakkan “Kesejahteraan Untuk Semua” sebagai tema belanjawan 2012 yang menyediakan peruntukan sebanyak RM220 bilion dengan matlamat untuk kurangkan defisit 4.4 peratus. Manakala belanjawan Negara memperuntukkan RM232.8 bilion dengan bertemakan ‘Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara”. Ini bermakna Belanjawan Negara memperuntukkan RM12.8 bilion lebih berbanding Belanjawan Alternatif iaitu peningkatan yang agak ketara sekiranya dirujuk kepada peruntukan Belanjawan 2011 iaitu kira-kira 9.4 peratus peningkatan perbelanjaan dan defisit 4.7 peratus. Defisit ini merupakan antara yang tertinggi dalam belanjawan negara.

Antara persoalan menarik untuk diketengahkan juga mengenai belanjawan Negara ialah sasaran peningkatan ekonomi (economic growth) 5-6 peratus yang dianggap agak mengaburkan. Ini berfaktorkan kepada jangkaan peningkatan ekonomi dunia adalah negatif atau maksima 3 peratus sahaja. Hanya dengan peningkatan tahap tertinggi ekonomi negara atau dalam erti kata lain sedikit keajaiban boleh mencapai sasaran 5-6 peratus yang dianggap kurang realistik. Ini ditambah pula dengan hutang negara yang kini mencecah lebih kurang RM455 bilion.

Buat pertama kalinya, terdapat persamaan dari aspek pendekatan memulakan belanjawan. Kedua-dua belanjawan dimulakan dengan petikan ayat al Quran. Malahan Belanjawan Alternatif menyelitkan petikan yang terkandung di dalam karya agung Ibnu Khaldun, Al Muqaddimah. Pendekatan ini membuktikan bahawa Islam adalah menjadi antara faktor yang diambil perhatian dalam merangka belanjawan kali ini. Ini juga menunjukkan bahawa Islam juga merupakan faktor penting sokongan rakyat. Dalam yang demikian, sedikit kekesalan kerana kedua-dua belanjawan tidak menyediakan apa-apa peruntukan khas bagi mana-mana institusi agama termasuk JAKIM atau badan bukan kerajaan untuk meningkatkan syiar Islam di Malaysia.

Dari aspek yang lain, Belanjawan Alternatif dirangka dengan bersandarkan kepada kegagalan atau kelemahan tadbir urus kerajaan. Belanjawan Alternatif menyertakan fakta dan data kelemahan kerajaan dan seterusnya menawarkan program khusus bagi menangani perkara ini dengan berkomitmenkan Buku Jingga yang dilancarkan sebelum itu. Bertentangan dengan pendekatan Pakatan Rakyat, Belanjawan Negara tidak menyebut secara khusus kelemahan mahupun kegagalan program kerajaan. Belanjawan Negara secara jelas hanya melaporkan pencapaian kerajaan dan kesemuanya bersifat positif. Dalam erti kata lain, pendekatan Pakatan Rakyat adalah berdasarkan kepada analisa dari aspek kelemahan kerajaan manakala Belanjawan Negara bersandarkan kepada kesinambungan dari program yang telah dilaksanakan sebelumnya.

2.2. Kerangka Belanjawan

Mahu tidak mahu, tidak dapat dinafikan bahawa Belanjawan Negara adalah bersifat lebih komprehensif berbanding Belanjawan Alternatif. Ianya dirangka dengan mengambil kira program kerajaan terdahulu dan sedang dilaksanakan seperti Model Baru Ekonomi dan lain-lain. Perancangan juga adalah terfokus kepada hampir kesemua aspek pelaburan, pembangunan modal insan dan luar bandar, perkhidmatan awam, mengawal inflasi dan kebajikan rakyat. Dalam keghairahan untuk mencapai semua ini,peruntukan untuk membasmi masalah sosial yang semakin membarah tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Walaupun Belanjawan Alternatif tidak sekomprehensif Belanjawan Negara, kredit juga patut diberikan kepada Pakatan Rakyat kerana sangat memberikan penekanan kepada kebajikan rakyat dan juga perhatian kepada menambah nilai perbelanjaan negara. Bahkan berbanding Belanjawan Alternatif, Belanjawan Negara tidak membicarakan secara khusus aspek reformasi politik. Pakatan Rakyat secara serius menjadikan agenda reformasi politik sebagai salah satu fokus utama dalam belanjawan mereka.

2.3.Kebajikan Rakyat

Kedua-dua belanjawan dianggap belanjawan yang mesra rakyat. Cuma pendekatan dan program yang dirancang berbeza. Umpamanya program subsidi, elaun dan pelbagai insentif demi kesejahteraan rakyat. Kedua-dua belanjawan juga memfokuskan hampir segenap lapisan rakyat hatta hingga suri rumah, orang kurang upaya dan warga emas juga mendapat perhatian. Dalam hal ini secara tidak langsung ianya menunjukkan persaingan politik yang sihat akan memberikan rahmat yang lebih kepada rakyat.

Bermanfaat juga untuk dinyatakan bahawa salah satu aspek yang tidak dibincangkan oleh Pakatan Rakyat ialah pembangunan Sukan dan Wanita serta inisiatif pemeliharaan alam sekitar. Belanjawan Negara memperuntukkan sejumlah peruntukan yang agak besar bagi program pembangunan Wanita dan Sukan serta program pemeliharaan alam sekitar di mana aspek ini tiada dalam Belanjawan Alternatif. Walaupun begitu, di samping Belanjawan Negara menawarkan pelbagai inisiatif dan insentif untuk rakyat umum, ianya tidak menyatakan apa-apa perancangan untuk menghapuskan subsidi korporat yang dianggap membebankan negara sebagaimana yang terkandung dalam Belanjawan Alternatif. Hingga kini beban subsidi korporat merupakan antara kos yang sangat tinggi terpaksa ditanggung kerajaan.

2.4. Perkhidmatan Awam

Bagi memenangi hati rakyat Belanjawan Alternatif secara keseluruhannya memfokuskan kepada kebajikan rakyat dan ini termasuk perkhidmatan awam. Perancangan untuk menaikkan gaji kakitangan awam dan pelan gaji minima merupakan salah satu perkara utama dalam Belanjawan Alternatif. Belanjawan Negara juga mengambil perhatian aspek ini dengan insentif kenaikan dan skim yang lebih menarik.

Dari aspek ini, setiap inisiatif untuk menaikkan gaji perkhidmatan awam dan insentif lain harus juga diberikan perhatian sewajarnya. Dalam mengejar sokongan rakyat, implikasinya juga perlu difahami. Inflasi dan kenaikan harga barang bakal ditempuhi sekiranya inisiatif perkhidmatan awam ini tidak dikaji sepenuhnya. Umpamanya, di Greece yang dikenali sebelum ini sebagai kerajaan mesra perkhidmatan awam dengan pelbagai imbuhan dan insentif akhirnya kini terpaksa memberhentikan lebih kurang 30,000 kakitangan awamnya dan memotong hampir 40% pendapatan kakitanga awam yang lain. Pendekatan Belanjawan Negara yang mengambil kira faktor ini perlu difahami oleh setiap rakyat terutamanya kakitangan awam.

2.5. Penambahbaikan Tadbir Urus

Dalam usaha meningkatkan keberkesanan pentadbiran kerajaan, Belanjawan Negara merancang melaksanakan program Penambahbaikan Kewangan Sektor Awam dengan memberi penekanan pada sistem informasi teknologi. Pakatan Rakyat juga mempunyai perancangan penambahbaikan tadbir urus kerajaan dengan mengambil kira pendekatan pro-aktif program peningkatan perkhidmatan awam dan juga langkah pengurangan kos kerajaan.

Berbanding Belanjawan Alternatif, Belanjawan Negara tidak menyebut secara jelas perancangan untuk mengurangkan kos kerajaan. Malahan di kala keperluan penjimatan dan tiada kenaikan yang signifikan gaji kakitangan awam, sesuatu perkara yang agak sukar diterima ialah kenaikan elaun wakil rakyat dan ahli parlimen. Sepatutnya dalam keadaan ekonomi yang sebegini keutamaan harus diberikan pada perkara yang lebih aula seperti bantuan sekolah agama rakyat dan sebagainya. Dari aspek ini Belanjawan Alternatif telah merangka penjimatan kerajaan antaranya melalui melalui pemotongan belanjawan Perdana Menteri dan pemberhentian serta-merta kecenderongan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan. Hal ini sepatutnya menjadi antara fokus utama Belanjawan Negara kerana jelas telah dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara tentang ketirisan pentadbiran Negara yang menelan kerugian berbilion ringgit. Di antara perkara yang perlu juga diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan ialah usaha pemerkasaan institusi pembanteras rasuah negara. Sewajarnya peruntukan yang setimpal sebagaimana bakal dinikmati anggota PDRM dan angkatan tentera diberikan kepada pihak SPRM bagi memastikan gejala rasuah dapat dibanteras semaksimanya.

2.6. Keluhuran Undang-undang

Belanjawan Negara ada memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan pemberian hak undang-undang kepada rakyat antaranya melalui penubuhan Yayasan Bantuan Guaman. Walaupun tiada janji khusus untuk memansuhkan undang-undang yang dianggap lapuk dan tidak relevan dalam Belanjawan Negara, perisytiharan pemansuhan beberapa akta seumpamanya boleh dijadikan sebagai bukti komitmen kerajaan dalam hal ini. Menyentuh aspek ini, Belanjawan Alternatif secara jelas menyatakan komitmen Pakatan Rakyat untuk memansuhkan semua peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik. Ini merupakan antara aspirasi utama Buku Jingga yang menjamin amalan demokrasi yang lebih luhur dan terbuka.

2.7. Sistem Ekonomi Islam

Belanjawan Alternatif tidak menyentuh inisiatif untuk memperkukuhkan sistem kewangan Islam sebagai salah satu cabang ekonomi Islam. Malahan tiada spesifik inisiatif dalam sektor ini dinyatakan dalam Belanjawan Alternatif sedangkan hingga hari ini Malaysia merupakan peneraju industri kewangan Islam dari segenap aspek. Seiring dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kerajaan yang memerintah seharusnya menjadikan sistem ekonomi Islam sebagai malamat dan kerangka dalam membangunkan Negara. Berbanding Belanjawan Alternatif, Belanjawan Negara memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi maksud ini dengan memperuntukkan insentif cukai yang menarik serta rangsangan ekonomi untuk menjana pertumbuhan yang lebih baik. Dalam hal ini, Belanjawan Negara dengan jelas mendahului Belanjawan Alternatif.

3.0. Kesimpulan

Keupayaan Pakatan Rakyat merangka perbelanjaan menunjukkan potensi parti pembangkang bersaing dengan kerajaan Barisan Nasional. Lebih-lebih lagi dengan faktor kekurangan sumber manusia tanpa bantuan jentera kerajaan mahupun khidmat perunding tempatan ataupun antarabangsa membuktikan kualiti dan keupayaan parti pembangkang. Hal ini sepatutnya tidak menjadi kegusaran kepada kerajaan pemerintah, malahan sepatutnya diterima secara positif. Umpamanya, Belanjawan Alternatif yang menyenaraikan setiap kelemahan perlaksanaan dan tadbir urus Negara seharusnya dimanipulasikan oleh kerajaan Barisan Nasional bagi tujuan penambahbaikan dan peningkatan keberkesanan pentadbiran kerajaan.

Secara umumnya, kedua-dua belanjawan mempunyai kekurangan dan kelebihan. Namun tidak dinafikan Belanjawan Negara adalah bersifat lebih komprehensif berbanding Belanjawan Alternatif. Ini bukanlah suatu perkara yang memeranjatkan, memandangkan Belanjawan Negara kali ini adalah Belanjawan ke-54 yang dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Malahan ianya dirangka dan digubal dengan menggunakan setiap jentera kerajaan dari semua kementerian berserta khidmat perunding. Atas faktor ini, sudah pasti Belanjawan Negara bersifat menyeluruh, komprehensif dan lebih lengkap jika dibandingkan dengan Belanjawan Alternatif.

Walaupun Belanjawan Alternatif dianggap tidak sekomprehensif Belanjawan Negara, ada beberapa aspek yang terkandung dalamnya mendahului perancangan kerajaan Barisan Nasional. Bahkan Belanjawan Alternatif juga melaporkan fakta dan data kelemahan serta kecacatan perlaksanaan program Belanjawan Negara terdahulu. Setiap fakta ini secara jelas memperlihatkan beberapa aspek kegagalan dan ketidakberkesanan program kerajaan. Sekiranya tiada laporan sebegini yang terkandung dalam Belanjawan Alternatif di mana ianya secara jelas tidak dinyatakan dalam Belanjawan Negara, sudah pasti ramai rakyat tidak mengetahui pencapaian dan kedudukan sebenar perlaksanaan Belanjawan Negara terdahulu. Inisiatif Belanjawan Alternatif ini walaupun ada kekurangan, merupakan satu usaha yang baik ke arah mewujudkan persaingan politik yang sihat di antara kerajaan dan pembangkang.

Berdasarkan kepada pemerhatian ringkas di atas, melalui Belanjawan Alternatif dan Belanjawan Negara, dapatlah disimpulkan bahawa Malaysia kini sudah mencapai satu tahap politik yang berdaya saing. Persaingan dari sudut memenangi hati rakyat melalui penawaran program Negara di dalam belanjawan merupakan satu usaha yang sangat dialu-alukan. Sememangnya tidak dapat dinafikan, peranan pembangkang yang aktif dari sudut polisi, dasar, idea, program dan perancangan untuk rakyat akan dapat memperkuatkan serta memperkukuhkan kerajaan sedia ada. Perkara ini seharusnya tidak menjadi satu permasalahan besar kepada kerajaan malahan ia sepatutnya diterjemahkan sebagai peluang untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan menjadi pemangkin kepercayaan rakyat.


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar