Isnin, 19 Disember 2011

MAQASID SYAR'IAH DARI PERSPEKTIF AL QARADAWI



Al-Qaradawi menjelaskan bahawa beliau percaya kepada maqasid Syari’ah dan kepentingannya dalam membentuk akal seseorang ahli fiqah. Menurut al-Qaradawi, bahawa seorang ahli fiqah yang sebenarnya tidak hanya mengetahui  mengenai teks-teks literal sahaja tetapi juga memahami maqasid Syari’ah.
Dalam memahami maqasid Syari’ah ini, al-Qaradawi nelakukan beberapa hal seperti meneliti sebab-sebab (ta’lilat) dalam al-Quran, meneliti setiap hukum Syari’ah yang mengandungi nilai-nilai yang tinggi, membaca karya-karya ulama tentang maqasid al-Syari’ah dan bersetuju dengan para ulama yang menerima pakai kaedah maqasid Syari‘ah ini.
(al-Qaradawi, 2006: 12) Penelitian kepada hukum-hukum Islam telah menambahkan keyakinannya bahawa syariat Islam dibina atas dasar kemaslahatan, manusia di dunia dan akhirat dan syariat mengandungi keadilan, rahmah dan , kemaslahatan dan hikmat. Berdasarkan kepada fahaman maqasid ini, al-Qaradawi berfikir dan berijtihad. (al-Qaradawi, 2006: 13)


Al-Qaradawi mentakrifkan makna maqasid Syari’ah (maksud-maksud Syari’ah)  sebagai tujuan  yang menjadi tujuan teks dan hukum-hukum untuk direalisasikan dalam hubungan manusia baik berupa perintah, larangan atau harus sama ada untuk individu, keluarga, bangsa dan umat. Maksud-maksud ini juga boleh diertikan sebagai hikmah-hikmah yang menjadi tujuan ditetapkan hukum yang disyariatkan oleh Allah untuk hamba-Nya. (al-Qaradawi, 2006: 20) 
Menurut al-Qaradawi, bahawa jalan untuk mengetahui maqasid syariat tidak semestinya mengikut jalan yang dirintis oleh Imam al-Ghazali dengan kategori darurat, hajiyat dan tahsinat. Malah ia boleh diketahui dengan jalan-jalan yang lain. Antara jalan menuju maksud-maksud syariat ialah pertama : meneliti setiap illat teks al-Quran dan al-Sunnah agar kita boleh mengetahui maksud-maksud dan tujuan – tujuan Islam seperti ayat dalam surah al-Hadid ayat 25 yang menjelaskan kedatangan syariat Islam yang mengandungi nilai-nilai keadilan yang amat tinggi. 


Kedua, meneliti, mengikuti dan memikirkan hukum-hukum  dan kemudian menyatukan satu hukum dengan hukum-hukum yang lain agar dari penelitian itu kita dapat menyimpulkan maksud-maksud Syari’ah yang menjadi maksud Allah dalam membuat hukum-hukum tersebut. Bagi al-Qaradawi, maksud-maksud syariat itu bukan hanya terhad kepada al-Kulliyat al-Khams .tetapi ia lebih luas dari catatan di atas. (al-Qaradawi, 2006: 27)


Menurut al-Qaradawi terdapat tiga aliran dalam masalah memahami maqasid Syari’ah iaitu pertama aliran yang bergantung kepada teks atau nas semata-mata , memahaminya dengan pemahaman literal (harfiah) dan jauh dari maksud syariat yang ada di sebaliknya. Mereka adalah golongan literal (harfiyun) yang dikenali sebagai zahiriyyah baru yang mewarisi zahiriyyah zaman silam yang mengingkari adanya ta'lil di dalam hukum, menghubungkannya dengan hikmah dan maksud dan juga qias. (al-Qaradawi, 2006: 39)


Ketiga, aliran yang berlawanan dengan aliran di atas. Aliran ini mendakwa bahawa mereka lebih bergantung kepada maqasid  syariat dan ruh agama menggugurkan nas-nas dalam al-Quran dan al-Sunnah. Golongan ini mentakwilkan al-Quran secara berlebihan, memegang mutasyabihat dan meninggalkan muhkamat. Mereka adalah orang-orang yang menyeru selalu ke arah pembaharuan. Padahal dalam kenyataannya mereka adalah penyeru kepada pembaratan dan kerosakan. (al-Qaradawi, 2006: 40)


Keempat : aliran sederhana dan moderat yang tidak melupakan teks-teks dari al-Quran dan al-Sunnah tetapi dalam waktu yang sama tidak memisahkannya dari maksud-maksud yang global. Bahkan teks-teks tersebut difahami dalam kerangka maksud-maksud global. Aliran inilah yang diyakini untuk dijadikan sebagai manhaj bagi menjelaskan gambaran yang sebenar hakikat Islam, membantah kebatilan orang-orang yang memusuhinya dan berbaik sangka kepada Allah dan rasul-Nya. (al-Qaradawi, 2006: 41)


Aliran Zahiriyyah Baru : Manhaj Pemikiran dan hasil Fiqah


Dalam setiap kategori aliran tersebut terdapat perwatakan, manhaj pemikiran, kaedah, landasan dan  hasil fiqah yang tersendiri. Aliran Zahiriyyah baru ini yang memegang kepada teks-teks semata-mata dan melupakan maksud-maksud syariat yang global. Di antara mereka ada yang lebih dominan kepada sifat agama seperti beberapa sayap dalam  golongan salafi dan al-Ahbassy dan di antara mereka ada yang lebih dominan kepada sifat politik seperti golongan Hizbul Tahrir. Namun mereka adalah sama dalam hal pemahaman ini. Tidak diragukan lagi sikap mereka ini –kejumudan dan kekerasan mereka - meskipun banyak di antara mereka yang ikhlas dan taat beribadat, sangat membahayakan dakwah dan menjelekkan gambaran Islam yang indah. Dalam permasalahan wanita, mereka melarang wanita bekerja, melihat demokrasi sebagai satu kemungkaran dan mengharamkan pembentukan parti dan jemaah. Di dalam ibadat, mereka mengambil yang lebih susah dan lebih keras. Mereka menolak mengambil wang di dalam zakat fitrah, menolak pembaharuan dalam agama dan ijtihad dalam fiqah dan pendekatan-pendekatan baru dalam dakwah. (al-Qaradawi, 2006: 45)


Golongan zahiri adalah berlebihan dalam mengambil zahir nas (literal teks) hingga membawa mereka kepada kefahaman yang salah dan aneh. Salah satu bentuk kefahaman literal Ibn Hazm adalah pendapatnya tentang hadith permintaan izin wanita untuk dikahwinkan, "Anak perempuan diminta izin dan izinnya adalah diam." (HR al-Bukhari) Jumhur ulama memahami bahawa anak perempuan yang diam ketika diminta izin menunjukkan beliau telah redha dan bersetuju. Diam tersebut sama dengan persetujuannya kerana biasanya dia malu. Namun, jika dia berkata 'saya setuju' perkataan tersebut adalah penguat dan menunjukkan keredhaannya yang kuat. Namun bagi Ibn Hazm jika anak perempuan tersebut berkata bahawa dia bersetuju dan redha, maka pernikahan tidak boleh dilakukan kerana ia menyalahi hadith Nabi. Ibn Qayyim menyebutkan bahawa kenyataan seperti inilah nama zahiriyyah diberikan kepadanya. Beliau menolak ta'lil hukum di dalam syariat dan menghubungkannya dengan hikmah atau maslahah. (al-Qaradawi, 2006: 49)  


 Perwatakan golongan zahiri baru ini seperti berikut :


 1.Pemahaman dan Penafsiran yang literal


Literal dalam memahami dan menafsirkan nas-nas tanpa melihat hal-hal yang tersembunyi di dalamnya sama ada berupa illat dan maksud-maksud yang boleh diketahui oleh seorang peneliti yang mendalam. Mereka memahami hadith secara lieral seperti hadith bahawa Allah akan menyeksa orang yang memakai kain melebihi buku lali. 


Sabda Rasulullah SAW:


من جرثوبه الخيلاء لم ينظر الله إليه يوم القيامة


"ٍSesiapa yang melebihkan kain melebihi buku lali maka Allah tidak melihatnya di hari qiamat." (HR al-Bukhari). Golongan ini memahaminya secara literal sedangkan maksud hadith yang sebenar adalah orang-orang sombong. (al-Qaradawi, 2006: 53)


2. Keras dan Menyulitkan.


Aliran ini berlaku keras dan menyulitkan walaupun mereka tidak mengakuinya. Mereka berpendapat bahawa hal itu adalah kebenaran yang sesuai dengan dalil. Jika ada sesuatu masalah ada dua pendapat, mereka akan memilih pendapat yang  paling berat dan susah, seolah-olah dalam agama tidak ada keringanan atau rukhsah. Perkataan yang paling ringan pada mereka ialah kalimah haram sedangkan golongan salaf tidak mengeluarkan perkataan haram kecuali ia telah nyata haram. (al-Qaradawi, 2006: 55)


3. Sombong dengan pendapat mereka.


Mereka menganggap pendapat mereka sebagai kebenaran mutlak dan pendapat orang lain sebagai kesalahan. Mereka berusaha untuk menghapuskan pendapat-pendapat dan mazhab-mazhab orang lain serta menyatukan  manusia dalam pendapat mereka sahaja. Inilah yang menjadikan ulama-ulama besar menolak aliran ini kerana menghilangkan perbezaan pendapat adalah sesuatu yang tidak bermanfaat. Mereka lupa kata-kata Imam ٍٍSyafi’i yang menyebutkan : “ Pendapat saya yang benar mungkin boleh salah dan pendapat orang lain yang salah mungkin boleh benar.” Bagi mereka adalah “ pendapat saya semuanya adalah benar, tidak mungkin salah  dan pendapat orang lain semuanya salah tidak mungkin benar.” (al-Qaradawi, 2006: 55)


4. Tidak menerima orang yang berbeza pendapat


Mereka tidak menerima orang-orang yang berbeza pendapat kerana menganggap pendapat mereka yang paling betul. Mereka berlaku keras terhadap orang-orang yang berbeza pandangan dengan mereka padahal ulama telah bersepakat bahawa tidak ada pengingkaran dalam hal-hal khilafiyyah dan ijtihadiyah. (al-Qaradawi, 2006: 56)


5.Mengkafirkan orang-orang yang berbeza pendapat dan tidak peduli terhadap fitnah.


Mereka sering berburuk sangka, membidahkan, menfasikkan dan sampai mengkufurkan orang yang berbeza pendapat dengannya. Di samping itu, mereka mereka tidak peduli terhadap fitnah yang timbul akibat dari perbuatan mereka sendiri. Mereka tidak memahami perasaan orang lain dan pendapat-pendapat mereka yang menjelekkan pihak lain disebarkan secara meluas. Mereka tidak memperdulikan bahaya fitnah yang dihasilkan dari perkara tersebut. (al-Qaradawi, 2006: 57)


Ciri dan Manhaj Aliran Zahiri Baru :


Orientasi Zahiri baru ini mempunyai landasan pemikiran dan ciri tersendiri iaitu :


    Memahami teks dengan kefahaman literal  tanpa melihat 'illat, makna dan maksud-maksud yang terkandung dalam teks tersebut. Mereka memahami makna al-Quran dan Hadith secara literal dan mencela orang yang memperhatikan maksud-maksud syariat yang terkandung dalam al-Quran dan al-Hadith.
    Mengingkari ta'lil hukum yang berasal dari akal dan ijtihad. Mereka tidak percaya kepada akal manusia dalam memahami teks-teks, mengetahui maksud-maksud dan illat teks tersebut serta hikmah yang ada disebalik hukum tersebut. Kita sepakat  dengan mereka untuk tidak melakukan ta'lil dalam hukum ibadat kerana dasar dari ibadat adalah menerima dan patuh walaupun tidak mengetahui hikmah dan rahsia disebalik kewajipan tersebut. Sementara dalam perkara muamalat, dasarnya ialah mengetahui makna, rahsia dan maksud-maksudnya. Kita pun sepakat dengan mereka untuk tidak berpegang kepada akal secara mutlak dan menyisihkan agama kerana jika tidak mendapat cahaya agama, akal akan sesat. Tugas akal ialah memahami ajaran agama dalam bimbingan wahyu.
    Kurang menghargai peranan akal. Mereka berpandangan bahawa mengikuti dan mengembangkan peranan akal adalah perkara bid'ah dan tercela. Secara umum ahli Hadith dan riwayat lebih dekat kepada literalisme daripada golongan fiqah kecuali orang-orang yang mendalami masalah-masalah fiqah seperti Imam Malik, Syafi'i, al-Bukhari dan lain-lain yang mereka yang dikenali fuqaha al-Hadith.
    Menempuh jalan sulit dalam hukum. Ia lebih suka kepada hukum-hukum yang lebih sulit dan menyusahkan. Jika terdapat dua perkara yang sama, satu perkara sulit dan satu perkara lagi mudah, maka mereka akan memilih yang sulit. (al-Qaradawi, 2006: 61-64) 


Hasil-hasil fiqah aliran Zahiri baru


Antara contoh-contoh penghasilan fiqah mereka seperti berikut :


1. Menggugurkan harga wang kertas.


Mereka berpendapat wang kertas yang digunakan pada hari ini  bukanlah wang yang dinyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, wang tersebut tidak perlu dikeluarkan zakat dan tidak berlaku riba padanya kerana wang yang ada di dalam agama adalah emas dan perak sahaja. Inilah pendapat oleh sebuah jamaah di Lebanon yang dikenali sebagai al-Ahbasyh. (al-Qaradawi, 2006: 67)


2.Menggugurkan zakat harta perdagangan


Mereka menggugurkan zakat harta perdagangan. Mereka ini seperti Shaykh Nasaruddin al-Bani, Imam al-Syaukani dan Sadiq Hassan Khan al-Qanuji. (al-Qaradawi, 2006: 61-69)


3.Zakat fitrah harus dikeluarkan dari makanan asasi sahaja.


Mereka menolak dengan keras untuk mengeluarkan zakat dengan nilai wang dari bahan makanan asasi tersebut. Mereka berpendapat ia wajib dikeluarkan dengan makanan asasi seperti gandum, beras, jagung dan kurma. Mereka berpendapat bahawa sesiapa yang mengeluarkan zakat fitrah dengan wang adalah batil sedangkan perkara ini menjadi perselisihan di kalangan ulama. (al-Qaradawi, 2006: 73) Oleh demikian, permasalahan ini tidak boleh dikecam kerana ia merupakan masalah ijtihadiyah. Di samping itu juga, aliran ini mengharamkan foto dan gambar dalam TV.. (al-Qaradawi, 2006: 76)


- Minda Madani Online


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar