Isnin, 19 Disember 2011

KENYATAAN DATUK SERI CHUA SOI LEK ANGKUH & TIDAK BERTANGGUNGJAWAB






Serahan Memorandum Bantahan Isu Hudud kepada Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merasa kesal terhadap keangkuhan serta sikap tertutup Datuk Seri Chua Soi Lek, yang enggan memohon maaf di atas kritikan yang beliau kemukakan terhadap perlaksanaan hukum Hudud sebelum ini. Merujuk kepada kritikan beliau,  (perlaksanaan Hudud akan mengakibatkan ekeonomi merudum dan para pelabur melarikan diri), ABIM menilai kenyataan dangkal itu hanya bersifat spekulatif semata-mata tanpa merujuk serta mengemukakan fakta akademik yang kukuh.

ABIM juga merasa kecewa terhadap tindakan beliau yang cuba mengaitkan Hudud dengan parti-parti politik ataupun NGO tertentu. Ini memandangkan kritikan beliau itu (terhadap Hudud) bersifat umum tidak disasarkan pada parti politik atau NGO tertentu!


Ini secara langsung jelas menunjukkan ceteknya kefahaman beliau terhadap Hudud secara keseluruhan, meskipun pihak ABIM telah menawarkan penjelasan akademik serta membuka ruang dialog untuk beliau sepertimana yang dinyatakan dalam memorandum kepada beliau sebelum ini.  


Walaupun menjunjung tinggi kebebasan bersuara yang dianjurkan menerusi lunas-lunas demokrasi, namun ia tidak memberikan ruang yang seluas-luasnya untuk pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyinggung sensitiviti agama (dalam konteks ini, umat Islam secara keseluruhan) yang menjamin kestabilan dan keharmonian politik di negara ini.


Umat Islam adalah teras political will di negara ini serta perlu dihormati. Kuasa-kuasa berkenaan urusan hal ehwal Islam dinaungi oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung serta Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Negeri-negeri Melayu.



Justeru, sebarang perkara berkaitan Islam termasuk hudud yang dibicarakan oleh Datuk Chua Soi Lek telah secara langsung menyentuh bidang kuasa Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama di negara ini.  Berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan ini, ABIM menggesa hukum Hudud tidak dipermainkan sebagai instrumen populariti politik Datuk Seri Chua Soi Lek dan pihak-pihak yang berkepentingan!



ABIM juga kesal dengan kegagalan pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk memberi peringatan serta mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan-kenyataan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Chua Soi Lek agar insiden ini tidak diulangi.

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar