KUALA LUMPUR, 30 Nov: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sekali lagi mengulangi bantahannya terhadap penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman 2011 di parlimen, semalam.
Presidennya, Amidi Abd Rahman berkata, Abim menilai penggubalan undang-undang itu seakan tidak menghiraukan sensitiviti serta pandangan yang diketengahkan oleh pelbagai pihak berhubung implikasi negatif yang bakal dicorakkan menerusi kelulusan undang-undang itu.
“Dalam hal ini, Abim amat menyesali sikap tertutup kerajaan yang enggan membicarakan penggubalan rang undang-undang ini secara terbuka dan meluas sambil membabitkan konsultasi awam dan suara masyarakat sivil di negara ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, Abim memandang keengganan tersebut bertentangan sama sekali dengan komitmen keterbukaan yang menjadi intipati agenda perubahan yang dilaungkan oleh pihak kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, Abim menanggapi pendekatan tersebut tidak lain dan tidak bukan, seakan menzahirkan wujudnya agenda ‘pembebalan’ ke atas masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi, dengan menutup serta menafikan sama sekali ruang ekspresi bersuara di kalangan rakyat.
Beliau menambah, adalah amat menyedihkan kerana ia hanya akan menghalang kepada perkembangan wacana demokrasi dan kenegaraan yang sihat serta progresif di negara ini.
Tegasnya, demokrasi merupakan intipati penting kepada perkembangan sesebuah negara maju.
Katanya lagi, lunas-lunas demokrasi meraikan sebarang perbezaan pendapat dengan menjamin kebebasan bersuara di peringkat akar rumput.
Demokrasi juga, jelasnya merupakan wahana penting yang merapatkan jurang di antara rakyat dan pemerintah menerusi komunikasi dua hala rakyat-pemerintah dan rakyat-pemerintah.
“Kelulusan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 sekaligus menafikan fungsi serta potensi demokrasi itu sendiri sebagai agen perkembangan ekonomi dan politik di negara ini,” katanya lagi.
Baginya, adalah amat malang amalan demokrasi dinafikan di atas nama prerogatif menjaga ketenteraman awam, walhal ia (demokrasi) merupakan wahana paling berpengaruh dalam menjamin keamanan serta kestabilan politik di sesebuah negara.
“Menilai implikasi-implikasi tersebut, Abim ingin mengulangi gesaan agar rang undang-undang ini ditarik balik,” ujarnya.
Abim juga, katanya menggesa pihak kerajaan agar bersikap terbuka terhadap sebarang teguran serta mengadakan konsultasi awam sebelum menggubal sebarang undang-undang di masa akan datang.