Sabtu, 28 Januari 2012

Tangani Kecelaruan Gender Dengan 7P


Pada 13 Januari 2012, Bahagian Pembangunan Sosial ABIM dengan kerjasama PKPIM dan JAWI telah menganjurkan Diskusi Isu Sosial Semasa (DIKSI-Siri 1) yang telah menGangkat Isu kecelaruan gender.  DISKI-Siri 1telah diadakan di Pusat Pembangunan Belia Islam , Taman Cemerlang, Gombak, Kuala Lumpur.
Seramai 41 orang telah menghadiri DIKSI-Siri 1 yang terdiri daripada kaunselor sekolah, wakil IPT dan individu yang prihatin. DIKSI-Siri 1 kali ini yang menampilkan ahli panel seperti Dr Nasrudin Subhi (Pensyarah UKM), Ust Hanafi Abd Malek (Penasihat SIDIM) dan Saudara Raffie (Malaysian Aids Council).
Perbincangan meja bulat ini telah dikendalikan oleh Dr Haslinda Abdullah, Pensyarah UPM yang juga merupakan mantan Exco ABIM. Dr Nasrudin Subhi memulakan perbincangan dengan menyebut kembali beberapa kes kecelaruan gender yang berlaku di Malaysia antaranya Aleesya Farhana dan Natasha Farisha sambil menegaskan keperluan semua pihak untuk membantu golongan tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa krisis kecelaruan gender berlaku ketika usia remaja di mana proses coming out berlaku iaitu waktu remaja mencari identiti dan kedudukan mereka. Dr Nasrudin juga menerangkan garis panduan kepada individu sebagai ketahanan diri agar tidak terjebak ke lembah kecelaruan gender iaitu penerimaan keluarga, sokongan kawan, asas agama dan pendidikan.  Pembentangan Ustaz Hanafi lebih menfokuskan kepada kerja lapangan.

Menurut Ustaz Hanafi sebelum melakukan kerja lapangan, kita seharusnya membetulkan niat kerana Allah, ikhlas melakukan ‘ibadat untuk mengembirakan Allah, berdoa, sentiasa senyum, merendahkan diri dan memuliakan orang lain. Beliau turut berkongsi pengalaman “special project” di Oxford untuk membawa Sofia Yusuf kembali ke Islam semula.

Saudara Raffie berkongsi pengalaman hidup ketika memilih cara hidup begini. Beliau bagaimanapun menekankan bahwa kebanyakan antara mereka mempunyai pengetahuan yang baik dalam agama dan dalam masa yang sama tidak dapat menolak faktor dan daya tarik persekitaran yang menyebabkan sebahagian besar dari mereka memilih cara hidup tersebut.


Di akhir perbincangan, sebuah resolusi telah dikeluarkan iaitu 7P yang telah digagaskan oleh Ustaz Hanafi.

1.    Perhatian
2.    Puji dan Peluk
3.    Pendidikan
4.    Pukul/ Pulau
5.    Pujuk
6.    Penghargaan
7.    Periksa



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar