Khamis, 26 Januari 2012

Kebebasan Akademik Adalah Hak Rakyat: Aziz Bari


Kebebasan akademik bukan bermaksud kebebasan mutlak tanpa sebarang kawalan. Itu adalah penegasan yang dikemukakan oleh Prof Dr Abdul Aziz Bari, ketika Forum Isu Semasa Kebebasan Akademik: Sebebas Mana? 


"Kebebasan akademik yang  dimaksudkan ialah kebebasan untuk para ahli akademik meluahkan pandangan berdasarkan kepada ilmu serta kepakaran mereka. Ia bukan terhad kepada kebebasan dalam bentuk pentadbiran dan teknikal semata-mata," jelas Prof Dr Abdul Aziz Bari lagi dalam forum yang diadakan di Kolej Dar Al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam, Kajang.
Tambah beliau, kebebasan akademik sangat penting memandangkan ia akan mempengaruhi kualiti graduan yang lahir dari sesebuah institusi. "Universiti dibiayai dari wang rakyat. Secara langsung, rakyat mengharapkan sesebuah universiti mampu melahirkan graduan yang berkualiti  tinggi."

Dalam pada itu, Ketua Pengawai Eksekutif IDEAS, Saudara Wan Saiful Wan Jan menekankan kepentingan untuk mengubah persepsi masyarakat terutama sekali berkaitan dengan makna kebebasan itu sendiri. "Sudah sampai masanya kita mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebebasan yang mereka miliki!" jelas beliau yang juga merupakan mantan aktivis mahasiswa bersama Conservatives Club di UK. 


Beliau juga turut mengetengahkan konsep "wakaf" atau sumbangan daripada masyarakat awam (banyak diamalkan di barat)  untuk membolehkan universiti itu berdiri di atas kaki sendiri.



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar