Kempen ‘Save Syria’ diteruskan lagi dengan para sukarelawan Save Syria mengadakan ‘flashmob’ di depan Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selepas Solat Jumaat 3 Februari / 10 Rabiulawwal. Tujuan ‘flashmob’ ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat awam khususnya warga UIA tentang pergolakan dan keganasan yang berlaku di Syria terhadap orang awam. Selain itu ia bertujuan untuk mendesak pihak regim untuk menghentikan keganasan terhadap rakyatnya sendiri.
‘Flashmob’ kaedah pendekatan bagi menarik perhatian orang awam di mana sekumpulan sukarelawan berkumpul secara tiba-tiba dan melakonkan tanpa suara memaparkan penindasan rakyat Syria selama 10 minit menggunakan alat-alat bantuan dan kemudian bersurai. Flashmob digunakan untuk tujuan mengekpsresi sesuatu mesej, hiburan, satira dan artistik.
ABIM juga akan meneruskan usaha-usaha advokasi dengan cuba mengangkat isu ini agar menjadi isu nasional dan antarabangsa dengan mengatur pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Y.Bhg, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga merupakan Presiden Perdana Global Peace Foundation. ABIM juga telah bertemu dengan Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), saudara Mohd Zaidi Aziz bagi memperkuatkan kempen di segenap lapisan pergerakan belia negara.