Jumaat, 30 Mac 2012

Global March For Jerusalem


Kota suci tiga agama Baitulmaqdis terus menjadi mangsa kepada kerakusan dan keganasan Yahudi Zionis. Agenda Yahudi Zionis tidak berhenti setakat penubuhan Negara Haram Israel namun mereka terus menerus menganiaya rakyat Palestin. Jika suatu masa dahulu penganut agama Islam, Kristian dan Yahudi hidup aman damai dan bebas mengamalkan ajaran masing-masing tanpa sebarang ancaman tetapi tidak lagi kini dan beberapa tahun yang lepas.

Penganut Islam, Kristian dan Yahudi dicengkam ketakutan dan trauma kerana tindakan liar di luar batas kemanusiaan Yahudi Zionis laknatullah. Malah telah ramai rakyat Palestin diusir dari negara mereka sendiri dan menjadi pelarian di negara-negara sekitar seperti Lubnan, Mesir dan Jordan. Keangkuhan regim Yahudi Zionis tanpa mempedulikan Resolusi PBB agar mengembalikan hak rakyat Palestin tidak dipedulikan bahkan makin banyak malapetaka yang terhasil daripada tangan-tangan mereka.

Pada Mac 1976, sekali lagi penduduk Palestin mendapat musibah apabila pihak berkuasa Israel merampas tanah rakyat Palestin terutama di Galilee. Rentetan daripada peristiwa yang berlaku pada 30 Mac ini, tarikh keramat ini dijadikan simbolik sebagai ‘Palestine Land Day’ oleh rakyat Palestin. Justeru, ‘Global March to Jerusalem’ (GMJ) diilhamkan dan digerakkan oleh sekumpulan pertubuhan masyarakat madani (NGO) bermatlamat untuk menyatakan kepedulian dan solidariti bersama rakyat Palestin dalam membebaskan Baitulmaqdis.

Selain itu, GMJ merupakan sebuah usaha bersepadu dan mapan bertujuan untuk menuntut kebebasan bagi Baitulmaqdis dan masyarakat Palestin disamping bertekad untuk mengakhiri dasar Aparteid dan polisi pembersihan etnik yang memberi kesan mendalam terhadap rakyat, tanah jajahan dan kesucian Kota Baitulmaqdis yang mana merupakan satu jenayah bukan sahaja terhadap rakyat Palestin, bahkan terhadap semua masyarakat di seluruh dunia.

Sekumpulan masyarakat madani Malaysia prihatin yang diterajui oleh beberapa Ngo seperti Viva Palestine, IKRAM, HALUAN, Aqsa Syarif dan tidak terkecuali ABIM telah sama-sama bersepakat menggerakkan MyGMJ di peringkat Malaysia bagi menjayakan hasrat murni inisitif GMJ menamatkan penindasan dan menyirnakan kedamaian sejagat. Acara kemuncak MyGMJ akan dianjurkan di Stadium Melawati pada 30 Mac ini bakal menghimpunkan 20 000 rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyampaikan mesej jelas kepada dunia rakyat Malaysia mahukan keadilan untuk rakyat Palestin.

Masih ramai yang tidak menyedari kepentingan untuk kita memelihara dan memperjuangkan kesucian Baitulmaqdis dan hak rakyat Palestin. Oleh itu, mudah-mudahan penganjuran MyGMJ ini mampu menanam kesedaran dalam diri seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan pendidikan. Seharusnya kempen menyedarkan rakyat berkaitan isu ini tidak bermusim dan segenap lapisan masyarakat perlu memahami isu dengan sebaiknya. Amatlah rugi jika isu ini hanya diperjuangkan atas dasar semangat semata-mata.

Sebagai sebuah pertubuhan belia Islam yang komited memperjuangkan isu Palestin semenjak penubuhannya, ABIM akan terus menyokong dan mendokong usaha seumpama GMJ dan MyGMJ bagi memastikan keadilan bagi rakyat Palestin dan ABIM menyeru agar masyarakat Malaysia sama-sama memenuhkan Stadium Melawati, Shah Alam 30 Mac ini bermula 5 petang sehingga 10.30 malam bagi menyatakan sokongan dan solidariti anda pada perjuangan rakyat Palestin. Maklumat lanjut sila layari http://www.mygmj.org/.

- Posted using BlogPress from my iPad



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar