Rabu, 2 Mei 2012

ABIM Anjur Mini Karnival Gaya Hidup Sihat Bersama


29 April 2012:- Angkatan Belia Islam (ABIM) dengan kerjasama JKKK KG Selayang Indah, Kumpulan Perangsang Selangor, Pusat Aktiviti Kokorikulum UIAM dan Hospital Al-Islam telah menganjurkan Mini Karnival Gaya Hidup Sihat yang diadakan di perkarangan Surau Al-Hidayah Kg Selayang Indah. Mini Karnival Gaya Hidup Sihat ini turut memperlihatkan kerjasama erat antara pihak ABIM dan pelajar-pelajar UIAM. Mini Karnival telah dikunjugi seawall jam 8 pagi. Meja pendaftaran telah dibuka untuk pengunjung mendaftarkan diri sebagai peserta aktiviti yang telah disediakan. Antara aktiviti yang telah dirangka ialah Walkathon Amal (10,000 Langkah), Sukaneka (untuk kanak-kanak), Pertandingan Mewarna dan Pertandingan Bayi Cergas.

Bersesuaian dengan temanya iaitu “Katakan Ya kepada Gaya Hidup Sihat”, Mini Karnival Gaya Hidup Sihat telah dimulakan dengan Senamrobik yang telah melibatkan penduduk Kg Selayang Indah dan AJK yang menggerak program tersebut. Mini Karnival Gaya Hidup Sihat telah dirasmikan oleh Saudara Raimi Abd Rahim, Setiausaha Agung ABIM. Sejurus kemudian, Saudara Raimi Abd Rahim telah sudi untuk melepaskan peserta Walkathon Amal yang ditugaskan untuk mengedar risalah berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan kekeluargaan. Serentak dengan pelepasan peserta Walkathon Amal, aktiviti sukaneka yang dikawal selia oleh pelajar UIAM telah menarik minat kanak-kanak Kg Selayang Indah.

Turut diadakan pameran dari AADK bagi memberi penjelasan kepada masyarakat umum. Komuniti setempat juga telah diberi peluang untuk membuka gerai bagi menambah pendapatan mereka. Sepanjang mini carnival berlangsung, Biro Kesihatan ABIM (BKA) telah mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma. Dr Shahrizal Azwan, Ketua Biro Kesihatan ABIM telah memberikan ceramah berkenaan dengan gaya hidup sihat.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Encik Ismail, pegawai dari Kumpulan Perangsang Selangor. Beliau turut sudi menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mewarna, Sukaneka, Pertandingan Bayi Cergas dan cabutan bertuah.