19 Mei 2012:- Kegagalan mematuhi etika
kewartawanan yang luhur akan hanya menjejaskan masa depan media arus
perdana di negara ini. Begitulah antara garapan yang dikemukakan para
panelis Seminar Etika Kewartawanan dan Masa Depan Media Arus Perdana di
Kajang sebentar tadi. Para panelis Datuk Abdul Jalil Ali, Fathi Aris
Omar serta Ahmad Lutfi Othman telah mengetengahkan pelbagai sisi berbeza
berhubung etika kewartawanan di negara ini. Antara sisi tersebut ialah
hakikat bahawa para pengamal media terikat dengan situasi persaingan di
antara mereka yang dibayangi kengkangan komersial mahupun politik.
Keadaan ini natijahnya akan membelenggu
perkembangan kewartawanan serta media di negara ini yang sekaligus akan
memalingkan perhatian masyarakat yang akhirnya akan merujuk kepada
sumber-sumber maklumat lain seperti twitter dan facebook. "Para pengamal
media juga seharusnya terikat dengan komitmen untuk menghormati
kehormatan serta sensitiviti seseorang individu. Mereka perlu
mengelakkan diri dari bertindak selaku "pengintip" bagi pihak-pihak yang
tidak bertanggungjawab," jelas Fathi Aris Omar. Dalam pada itu, Ahmad
Lutfi Othman menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan para penulis
berbakat yang mampu menjadi agen perkembangan fikrah masyarakat.
"Keadaan ini berlaku akibat emosi politik yang bersifat partisan
keterlaluan. Para penulis perlu mengemukakan karya mereka secara ilmiah
tanpa dibayangi unsur-unsur emosi serta politik," jelas beliau yang
berpengalaman luas dalam bidang penulisan politik. (Untuk mengikuti
sessi penuh perbincangan, sila klik sini)
Terdahulu, Dato' Dr Siddiq Fadzil dalam
ucapan alu-aluannya menegaskan peri penting para pengamal media
memainkan peranan selaku agen untuk mengembangkan fikrah masyarakat
tanpa memenuhi tekanan untuk mewujudkan culture of fears di kalangan
masyarakat. "Kebebasan bersuara memang suatu hak kemanusiaan yang harus
dijamin dan diperjuangkan. Tetapi kebebasan memang tidak pernah
mutlak. Kebebasan selamanya dibatasi tanggungjawab. Kerana itu
persoalan kebebasan selalu terkait dengan isu freedom of what? dan
freedom for what?" Dalam konteks media, kebebasan bersuara terikat
dengan tanggungjawab berkata benar" jelas beliau (Sila baca nukilan
beliau Media Massa dan Masalah Etika).
Dalam sidang media yang dianjurkan
sejurus seminar itu berlangsung, Presiden ABIM Amidi Abdul Manan
mendesak agar pengamal media menjunjung tinggi etika kewartawanan di
samping peka terhadap sensitiviti serta kegelisahan di kalangan
masyarakat berkenaan dengan tersebarnya unsur-unsur negatif menerusi
media akibat keengganan menghayati etika kewartawanan yang ditetapkan.
Berikut adalah sebahagian daripada resolusi Seminar Etika Kewartawanan
dan Masa Depan Media Di Negara ini:
- Etika kewartawanan yang berasaskan cita-cita bagi menegakkan kebenaran, ketelusan dan keadilan dalam masyarakat dan negara hendaklah menjadi falsafah dan dasar utama industri media negara. Seluruh saluran media terutama media arus perdana digesa lebih bertanggungjawab dalam menyiarkan dan menyebarkan berita dan maklumat kepada masyarakat.
- Pengamal media dituntut untuk sentiasa berpegang teguh kepada etika kewartawanan yang mementingkan nilai-nilai moral dan akhlak dalam usaha menyampaikan berita dan mendidik masyarakat.
- Ini memastikan industri media menjadi ejen pencerdasan dan pembudayaan pemikiran dan nilai hidup bertamadun dan bukan sebagai organ yang dilihat cuba untuk merendahkan kualiti hidup dan pemikiran masyarakat menerusi sumber maklumat yang tidak tepat, berbahasa kesat, berunsur lucah menjadi punca perbalahan sesama rakyat.
- Media hendaklah meningkatkan tahap integriti sebagai organ yang berdikari dan berwibawa dan memastikan tidak terjebak sebagai penyebar ghibah dan fitnah dengan sengaja menerusi pemberitaan yang mengaibkan dan memalukan dan mencemarkan nama baik serta mencabul kesucian maruah manusia.
- Pengamal media hendaklah menghormati hak rakyat untuk memperoleh berita yang benar dan beretika. Oleh itu, media perlu bersikap sensitif dan memberikan perhatian serius terhadap kegelisahan dan penolakan masyarakat terbanyak terhadap budaya arus perdana hari ini dengan jelas melakukan pelanggaran berterusan terhadap etika dan niali-nilai murni yang dipaparkan kepada masyarakat.