Isnin, 7 Mei 2012

Kaji Semula Kedudukan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR

27 April 2012: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada pendedahan mengenai keahlian dan penglibatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dalam parti politik tertentu. ABIM kesal dengan sikap tidak profesional dan tidak bertanggungjawab kedua-duanya yang membuat penafian seperti yang didakwa. Sikap ini seolah-olah menggambarkan cubaan untuk menyembunyikan fakta sebenar daripada diketahui masyrakat umum.

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman bahawa “Kumpulan kedua adalah pengurusan professional (Gred 41 ke atas) yang hanya dibenarkan menjadi ahli biasa dalam parti. Kumpulan ini sudah dipertanggungjawabkan dengan tugas rasmi dan perlu memberi komitmen terhadap jawatan mereka.

Tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan atapun aktif dalam parti. Jika ada, mereka dikira melanggar syarat pelantikan.” Dengan jelas menunjukkan bahawa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR perlu memilih sama ada untuk terus kekal sebagai ahli parti politik berkenaan dengan melepaskan jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR atau sebaliknya.

ABIM berpandangan bagi memperkukuhkan integriti SPR sebagai sebuah institusi yang menguruskan penglibatan setiap parti politik di Malaysia dalam sistem pilihan raya demokrasi, maka mereka hendaklah mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan ataupun melepaskan keahlian parti politik. Ini bagi menjaga nama baik SPR dan parti politik berkaitan. Dasar SPR adalah untuk memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demorkrasi di negara ini melalui pilihan raya yang bebas dan adil.

Abu Qassim Nor Azmi
Exco Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)