Jumaat, 8 Jun 2012

Mantan Presiden ABIM Dipilih Ahli Majlis NGO Islam Antarabangsa



4 Jun 2012:-ABIM telah menyertai persidangan tahunan Union of Ngos of the Islamic World (UNIW) yang berlansung di Istanbul baru-baru ini. Turut menyertai persidangan adalah wakil Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia. ABIM diwakili saudara Jufitri Joha, Naib Presiden Antarabangsanya. Tahun ini merupakan tahun pemilihan dan UNIW telah mendapat Setiausaha Agung yang baru iaitu Ali Kurt. Beliau menggantikan Necmi Sadikoglu yang telah tamat tempoh berkhidmat selama dua penggal.

Dalam pada itu, Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman (mantan presiden ABIM) telah dipilih semula sebagai salah seorang ahli majlis UNIW selaku wakil dari Malaysia.  Delegasi juga turut menyertai majlis makan malam khas yang dianjurkan untuk menghargai jasa Necmi Sadikoglu dan meraikan delegasi NGO Islam turut diserikan dengan kehadiran Sheikh Ra’id Salah, Ketua Gerakan Islam Palestin (1948)  yang memberikan nasihat dan peringatan tentang hampirnya pembebasan Al-Quds apabila Qahirah dibebaskan dan Damsyik yang bakal dibebaskan.
Beliau turut meniupkan semangat agar pimpinan gerakan dan Ngo Islam agar jangan berdukacita kerana Allah Taala sentiasa bersama perjuangan Islam. Beliau menyarankan agar kita mengumpulkan segala kekuatan sumber yang ada berada di tangan kita untuk memperkukuhkan Islam dan melemahkan kejahatan.

ABIM khususnya akan terus memberikan komitmen dan sokongan kepada UNIW memandangkan pertubuhan ini merupakan satu platform yang penting dalam menyatukan umat Islam dan mengembalikan kegemilangan Islam pada masa sekarang dan masa hadapan