Kemenangan Dr Mohammed Morsi sebagai Presiden Mesir yang baru memberi banyak erti terutama sekali terhadap masa depan gerakan beraliran Islam di dunia moden hari ini. Sepanjang lebih seratus tahun yang lalu, perkembangan berfikir di dunia Islam bersifat rencam. Ia bersifat demikian kerana dalam tempoh tersebut, masyarakat Islam secara umum boleh dikatakan berada dalam persimpangan dilema.
Antara dilemanya ialah ketidaktentuan dalam membuat pilihan jalan terbaik yang harus diikuti bagi menangani realiti semasa peradaban umat Islam itu sendiri yang ditakdirkan berada pada tahap terendah dari segi pencapaian ketamadunannya. Kemerosotan tamadun kesan kelemahan rohani, ilmu dan institusi masyarakat Islam telah membawa kepada kejatuhan dunia Islam kepada penguasaan ketamadunan Eropah secara berleluasa disegenap penjuru daerahnya.
Masyarakat Islam dalam dilema di antara pasrah menerima model kebangunan semula peradabannya yang ditawarkan Eropah atau protes terhadap model tersebut dengan mengemukakan langkah dan program sendiri bagi pembangunan semula peradaban Islam. Di tengah persimpangan dilema ini, masyarakatIslam terbahagi kepada dua kumpulan dan aliran utama. Bagi yang pasrah, model perubahan Eropah ditanggap jalan terbaik kerana ia ternyata sudah terbukti sebagaimana tergambar dalam kemilau kemajuan fizikal masyarakatnya di sebelah Barat.
Bagi yang protes pula, mereka memilih untuk membangunkan model sendiri dan menolak model Eropah yang dinilai pada kebanyakan aspeknya tidak menepati inspirasi sebenar sebuah masyarakat yang didambakan oleh sebuah ketamadunanyang diasaskan pada prinsip dan nilai kerohanian dan keagamaan. Sepanjang sejarah, dua arus dan aliran ini terus memilih jalan sendiri dan keduanya saling berusaha membuktikan bahawa pilihan mereka adalah terbaik. Kedua-duanya juga saling bersaing dari sudut pemikiran dandalam keadaan lain juga mereka bertembung dalam bentuk fizikal sehingga membabitkan kerugian harta dan pengorbanan darah.Perbincangan ini ingin memberi perhatian kepada aliran protes terhadap model ketamadunan Eropah sebagai jalan keluar kepada kemelut ketamadunan di dunia Islam. Aliran ini muncul dalam sejarah pemikiran Islam sebagai satu bentuk tindak balas terhadap penguasaan penjajahanEropah dan sekutu-sekutu mereka di dunia Islam. Atas kesedaran bahawa Islam mempunyai model sendiri tentang idea berkenaan masyarakat, negara dan tamadun, aliran ini menumpu usaha mereka dalam pelbagai bidang kehidupan membabitkan pendidikan, kebajikan dan politik berpandukan kerangka ajaran keagamaan Islam.