Sabtu, 14 Julai 2012

Sebrenica Gamit Tragedi Kemanusiaan Bosnia


Oleh: Mohd Azlan Bin Mohd Sharif

Terpilih mengikuti ekspedisi pendidikan peringkat antarabangsa ibarat mimpi menjadi nyata. Seakan-akan tidak percaya apabila ditawarkan penjelajahan ke dua bumi tinggalan Sultan Muhammad Al-Fatih atau Sultan Mehmet II; Bosnia Herzegovina dan Kota Istanbul. Sebagai aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), saya bersyukur mendapat peluang ini ketika usia masih muda.

Secara jujurnya, saya hanya mengenali Al-Fatih melalui kisah ketokohannya yang sering diceritakan kepada umum. Tidak pernah terdetik untuk mengaguminya, apatah lagi untuk menelusuri tinggalan yang tersimpan kukuh dalam lipatan sejarah dua negara ini. Barangkali inilah pemberian Allah SWT supaya saya mentelaah sirah pemimpin hebat ini dengan penghayatan yang dalam.

Dalam tempoh tiga bulan sebelum berlepas, saya berusaha mendapatkan tajaan demi merealisasikan impian untuk menjejakkan kaki ke Eropah. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya juga mengikuti program anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia(WADAH) dengan kerjasama Hayrat Foundation ini. Tanggal 20 Mei 2012, saya terbang secara solo menuju ke Istanbul kerana rakan-rakan ekspedisi yang lain telah tiba lebih awal.  Bayangkan bagaimana terujanya saya kali pertama menaiki kapal terbang ke Eropah seorang diri. Saya tiba di Ataturk International Airport, Istanbul dan bertemu dengan 24 peserta lagi yang menanti.

Gugup juga rasa apabila melihat hanya 3 peserta yang agak muda. Sedangkan selebihnya berumur lingkungan 40-an. Peserta rombongan ini diketuai oleh Ahmad Azam Bin Ab Rahman, naib Presiden WADAH merangkap exco UNIW(union of NGO in Islamic World).

Persahabatan Malaysia-Bosnia

Sejurus tiba, kami bergerak ke Sarajevo kerana ia menjadi medan pertama penjelajahan rombongan. Destinasi pertama yang dituju ialah Kedutaan Malaysia ke Bosnia Herzegovina. Kami disambut mesra oleh 3 orang pegawai kedutaan diketuai oleh Encik Abu Bakar Bin Hussein, Pemangku duta Malaysia ke Bosnia Herzegovina dan beberapa staf warga Bosnia. Perbincangan dua hala ini sungguh menarik. Pihak kedutaan memberikan gambaran sebenar berkenaan senario politik, ekonomi, sosial, budaya dan keselamatan di Bosnia Herzegovina pasca perjanjian Dayton pada 1995 akibat Perang Balkan (1992-1995).

Selaku ketua rombongan, Ahmad Azam berkongsi pengalaman ABIM yang menghantar bantuan kemanusiaan semasa perang Balkan. Di antara peristiwa yang kekal dalam kenangan beliau, saat Tun Mahathir Bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia waktu itu mengarahkan kapal terbang Malaysia yang sarat membawa bantuan kemanusiaan mendarat di Sarajevo International Airport di kala tiada mana-mana Negara Islam membantu Bosnia pada saat genting perang pada 1992. Peristiwa itu telah menjadi pemangkin pelbagai bantuan antarabangsa tiba di Bosnia.

Sungguh, saya terharu. Hari ini, baru saya mengerti akan nilai persaudaraan Islam yang terjalin antara benua ini. Melalui sesi perbincangan ini, kami juga mendapat persepsi awal berkenaan situasi terkini di Bosnia terutama di Sarajevo daripada perspektif Kedutaan Malaysia. Hari-hari seterusnya lebih mengujakan saya dan peserta rombangan. Kunjungan kami ke Pejabat Grand Mufti of Bosnia di Sarajevo membawa kami lebih mengenali dan memahami Bosnia Herzegovina itu sendiri.

Meskipun tidak dapat bertemu muftinya, Dr Mustafa Ceric kerana beliau berada di luar kawasan, wakilnya, Mirnes Kovac melayan kami dengan cukup baik. Beliau yang merupakan editor Preporod Islamic Magazine (edisi bahasa Inggeris) yang diterbit oleh Supreme Council of Islamic Community in Bosnia and Herzegovina (ICBH) menceritakan sejarah perkembangan Islam di Bosnia dengan penuh semangat.
Menurut beliau, Islam telah dibawa melalui penaklukan Bosnia oleh Sultan Muhammad Al-Fatih, Khalifah Kerajaan Uthmaniyah yang terkenal pada 28 Mei 1463 iaitu 10 tahun selepas baginda menakluk Istanbul. Beliau tidak lokek menyampaikan maklumat berkaitan hal ehwal umat Islam Bosnia yang bermazhab Hanafi daripada perspektif tempatan dan Pejabat Grand Mufti of Bosnia yang bertanggungjawab mengembangkan syiar dan syariat Islam di Bosnia. Kami beruntung kerana beliau sudi berkongsi dua kertas kerja penting berkenaan status umat Islam di Bosnia iaitu “BOSNIA AND HERZEGOVINA” dan Genocide di Srebrenica untuk memantapkan pemahaman kami berkenaan dilema umat islam yang berada di Benua Eropah ini.


Tragedi Hitam
1463... Bertitik tolak dari tahun ini, umat Islam Bosnia telah melalui berbagai-bagai detik. Kegemilangan pemerintahan Al-Fatih juga Genocide di Srebrenica menjadi antara episod penting dalam pembentukan wilayah yang terdiri daripada dua entiti ini; Serbia dikenali sebagai Republika Srpska dan Bosnia-Croat dikenali sebagai Federation of Bosnia and Herzegovina.

Berkunjung ke Srebrenica-Potocari Memorial Centre and Cemetery(SPMCC) menggetarkan hati saya. Inilah bumi yang menyaksikan peristiwa genocide; peristiwa hitam penghapusan eknik yang berlaku pada 11 Julai 1995. Dianggarkan 8372 mangsa terdiri daripada lelaki dewasa dan remaja dibunuh kejam oleh Bosnian Serb Army(BSA).
Di tanah ini, kami sempat mendengar kisah dari dua ibu tunggal iaitu balu dan ibu kepada mangsa genocide. Dengan semangat yang kental mereka bertekad akan memperjuangkan tragedi kemanusiaan ini dan memastikan dunia melihat apa yang Bosnian Serbia Army(BSA) telah lakukan kepada umat Islam yang tidak berdosa.

Sebelum meninggalkan Srebrenica, saya berteleku lagi di kubur-kubur mangsa kekejaman tangan-tangan kuffar ini. Meneladani, betapa kita terlupa untuk selalu bersyukur atas keamanan yang Allah SWT kurniakan di bumi Malaysia hari ini. Jauh disudut hati, terlafaz doa agar mereka hidup di sisi Allah sebagaimana para syuhada. Al-Fatihah...

Bosnia Herzegovina banyak mengajar erti dan nilai pengorbanan dalam menyelamatkan iman. Musafir kali ini benar-benar menarik diri untuk menelusuri bukan sahaja legasi tinggalan Al-Fatih. Ia juga memanggil jiwa menyelami nilai ukhuwwah yang terjalin antara umat Islam seluruh dunia. Pengembaraan saya belum tamat. Masih ada Istanbul untuk ditelusuri pada hari-hari mendatang. Namun, negeri di semenanjung Balkan ini benar-benar akan menggamit ingatan saya...


Penulis merupakan Exco majlis Belia Daerah Batu Pahat. Menjadi aktivis ABIM dan pernah tercalon dalam Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Johor 2011 dan 2012 Kategori Aktivis Belia Melayu.