Ahad, 23 September 2012

Reaksi Terhadap Video Innocent of Muslim?

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين

صلى الله على محمد

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 



Alhamdulillah, syabas kepada pihak yang menganjurkan demonstrasi Bantahan Terhadap Video 'Innocent of Muslim'. Dan syabas juga kepada para peserta demonstrasi berkenaan yang berdemonstrasi secara aman dan menggunakan segala cara yang baik bagi membantah video yang amat biadap itu kerana menghina serta memfitnah ‘Kekasih Hati Kita Nabi Muhammad SAW’!

KEWAJARAN DEMONSTRASI

Demonstrasi tersebut adalah amat wajar sebagai salah satu cara membantah dan menunjukkan rasa tidak puas hati umat Islam terhadap apa saja bentuk penghinaan terhadap agama 'rahmatan lil 'alamin' yang suci ini, dan agar pihak agama lain lebih sensitif dan berhati-hati. Manakala yang tidak wajar dan tidak sensitif apabila ada yang mempersoal kewajaran demonstrasi tersebut.

Jika boleh berdemonstrasi untuk isu alam sekitar dan politik, mengapa perlu dipersoal untuk demonstrasi membantah penghinaan terhadap agama kami? Berhati-hati apabila ingin mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara-perkara yang sensitif.

APA REAKSI KITA?

Isu hina Nabi ini, amat mengguris hati umat Islam di seluruh dunia. Dan ianya adalah tindakan yang melampau, biadap dan dikhuatiri mencetuskan ketegangan antara agama. Saya bersama Yang Dipertua (YDP) Abim Negeri Melaka, saudara Suhaimi Mohammed Saaid dan seluruh pimpinan membantah sekeras-kerasnya pihak yang terbabit menerbitkan serta yang memuat naik video 'Innocent of Muslim' atau apa saja provokasi agama ke dalam Youtube dan disebarkan di mana sahaja.

1. Saya menghargai tindakan berani para pemimpin politik Muslim sama ada dari pihak parti pemerintah mahu pun parti pembangkang yang membantah video 'Innocent of Muslim', serta membidas kenyataan seorang ahli politik Non-Muslim pembangkang yang mempersoalkan demonstrasi bantahan dengan menyatakan, "buang masa dan tenaga." Namun, ramai juga pemimpin politik Non-Muslim pembangkang yang turut menyokong bantahan video berkenaan.

(a). Walau bagaimana pun, saya menyeru kepada para pemimpin politik Muslim di kalangan parti pemerintah, agar berani menegur serta memberi amaran kepada parti komponen anda sendiri yang menghina Islam dengan menyatakan, "Negara akan mundur jika melaksanakan Hudud." Ini adalah suatu kenyataan yang biadap dan jelas tidak menghormati Islam sebagai agama rasmi yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Abim Pusat sebelum ini telah membantah kenyataan berkenaan dengan menghantar memorandum kepada parti terbabit yang menghina Islam itu.

PELAN TINDAKAN

Tindakan proaktif Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) menyekat video berkenaan adalah wajar. Namun, dengan teknologi ICT yang semakin maju dan pantas, saya berasa pihak SKMM tidak mampu menyekat secara sepenuhnya. Kerana pada teori saya, mereka tidak menggunakan akaun Youtube yang sama, tetapi akaun yang banyak, berbeza-beza dan dari lokasi/alamat IP yang berbeza-beza. Jadi agak mustahil SKMM untuk menyekat akses ke video tertentu secara mutlak.

Sesungguhnya di zaman dunia tanpa sempadan ini, segalanya berbalik kepada cara, matlamat dan tujuan setiap individu dalam menggunakan teknologi ICT. Ibarat pisau, sama ada digunakan untuk memotong makanan atau sebaliknya.

PENGHINAAN YANG SEBENAR

Dalam kita melawan dan membantah penghinaan oleh pihak lain terhadap agama Islam yang kita cintai, pastikan diri kita sendiri juga tidak menghina agama kita ini secara tersirat, yang bermaksud kita tidak mengikuti secara menyeluruh segala perintah Allah SWT dan juga tidak menjauhi segala laranganNya. Serta tidak mengamalkan ajaran RasulNya. Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

(Surah An-Nisa’: 59)

Oleh itu jadikan Rasulullah SAW sebagai contoh tauladan dalam kehidupan seharian kita. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

(Surah Al-Ahzab: 21)

Moga kita istiqamah dalam mengamalkan ajaran Baginda SAW.

Sekian,

Wallahu'alam.


Adli Abdullah
Exco Penerangan Abim Negeri Melaka/Exco Penerangan Abim Daerah Melaka Bandar
22hb September 2012
http://adli-abdullah.blogspot.com/