Sabtu, 27 Oktober 2012

Pengorbanan Perkukuh Keimanan Kita

Oleh: Hasri Harun (Ketua Biro Dakwah ABIM)

Eidul-Adha menjadi saksi kepada beberapa ibadah istimewa yang dikhususkan di dalam bulan yang mulia ini. Di antara ibadah yang istimewa ini adalah ibadah korban. Ibadah yang melambangkan pengorbanan umat manusia bagi Tuhan Maha Pencipta. Pada Eidul-Adha ini juga, umat Islam seluruh dunia berhimpun di tanah suci untuk menegakkan rukun Islam kelima, iaitu ibadah haji. Di samping mendidik umat Islam untuk sanggup berkorban dengan meninggalkan keluarga dan harta demi Allah S.W.T dan Rasul-Nya, ibadah haji juga bertujuan mendidik umat Islam untuk bersatu demi mencapai kebaikan bersama dan matlamat yang mulia. Ibadah haji merupakan lambang puncak kesatuan umat Islam, sesuai dengan firman Allah di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 92:
“Sesungguhnya umatmu ini adalah ummat yang satu dan aku adalah Tuhanmu maka sembahlah aku.”

Begitulah kehidupan kita di dunia ini, kita dituntut oleh Allah S.W.T. untuk menyembah-Nya dan mengagungkan-Nya. Dan kewujudan kita dimuka bumi ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengabdikan dan menyerahkan diri pada-Nya. Pastinya segala amal ibadah yang dilakukan tidak kira apa jua rupa dan bentuknya adalah untuk kita mendapat keredhaan dan pahala dari Allah S.W.T.
Di musim haji ini, saudara-saudara kita mengorbankan masa, tenaga dan keselesaan hidup bersama keluarga, untuk menunaikan kewajipan haji. Semoga tercapai cita-cita mereka untuk mendapat haji yang mabrur, yang mana tiada ganjarannya melainkan dikurniakan syurga. Bagi sebahagian dari kita yang sebentar lagi akan mengerjakan ibadah korban, pastinya kita juga ingin mendapatkan pahala dari ibadah ini dan dihapuskan segala dosa. Tujuan untuk mendapat pahala dalam mengamalkan ibadah adalah satu tujuan yang murni.
Tetapi selain dari mencari pahala, ada tujuan yang lebih besar disebalik melakukan amal ibadah. Tujuan ini ialah untuk kita mengukuhkan lagi keimanan pada Allah S.W.T. dan menambahkan lagi kecintaan pada Baginda Rasulullah S.A.W. Inilah yang dimaksudkan dengan kemanisan iman. Iman yang tidak dapat digugat walau apapun dugaan dan cabaran yang dihadapi.
Untuk kita mencapai kemuncak keimanan ini, tidak cukup dengan kita melakukan amal ibadah lahiriah sahaja. Tetapi amal ibadah yang dilakukan perlu memberi kesan pada diri dan kehidupan kita. Amal ibadah yang kita lakukan perlu melahirkan nilai-nilai yang mulia dalam diri kita. Di antara nilai-nilai ini yang dapat kita pelajari dari Eidul-Adha adalah pengorbanan dan perpaduan. Bersempena hari yang mulia ini sama-samalah kita pelajari kepentingan nilai-nilai ini serta menerapkannya di dalam kehidupan kita
Di dalam sejarah ibadah korban, kita lihat bagaimana Nabi Ibrahim A.S. bersedia mengorbankan anak kesayangannya demi mentaati perintah Allah. Pengorbanan pertama yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S. ialah apabila Baginda meninggalkan anaknya Nabi Ismail A.S. yang masih kecil bersama ibunya di sebuah lembah yang gersang dan kering kuntang.

Pengorbanan yang kedua pula, kita lihat bagaimana Nabi Ibrahim A.S. sanggup menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail A.S., yang sudah meningkat dewasa. Nabi Ismail A.S. pula sanggup dikorbankan kerana mentaati perintah Allah S.W.T. Cerita ini diabadikan oleh Allah S.W.T. untuk pelajaran kita semua melalui firmannya di dalam surah As-Saffat ayat 102-105:
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi(sebagai satu perintah) bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari orang-orang yang sabar. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah (untuk disembelih) serta kami menyerunya: Wahai Ibrahim, “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu,” demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan”.
Peristiwa-peristiwa ini bukanlah hanya untuk kita kembalikan syiarnya sahaja. Tetapi yang lebih utama dan yang perlu dihayati, ialah nilai pengorbanan di dalam kehidupan. Untuk menjadi seorang yang berjaya di dunia dan di akhirat, kita perlu ada pengorbanan. Kita perlu sanggup berkorban sesuatu perkara yang kita sayangi dan cintai demi untuk mencapai matlamat yang lebih penting dan utama.
Sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S., apabila Baginda meninggalkan anaknya di tanah yang gersang, tujuan Baginda, di samping menuruti perintah Allah S.W.T. ialah kerana di lembah itulah Allah S.W.T. telah menetapkan tapak bagi Baitullah al-Haram yang menjadi qiblat bagi orang yang beriman. Sepertimana firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 37:
Bermaksud "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah suci Makkah) yang tidak subur dengan tanaman, di sisi rumahmu yang suci yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami! (Mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”

Cuba kita lihat dalam kehidupan seharian kita pula. Untuk mencapai sesuatu kejayaan, sudah pasti memerlukan pengorbanan. Sebagai contoh, kita inginkan anak-anak Islam kita berjaya. Impian ini pasti memerlukan pengorbanan. Pengorbanan kewangan, pengorbanan masa, pengorbanan memberi kasih sayang dan sokongan.

Dewasa kini, Alhamdulillah kita dapat lihat hasil pengorbanan masyarakat Islam Singapura. Kita dapati semakin ramai masyarakat Islam yang berjaya khususnya dalam bidang pelajaran. Dan pastinya kejayaan-kejayaan mereka antara sebabnya adalah pengorbanan dan usahasama masyarakat Islam Singapura. Pada hari ini juga, umat Islam seluruh dunia berhimpun di tanah suci untuk menunaikan ibadah haji. Selain dari nilai pengorbanan yang terpancar dalam ibadah haji, ia juga mengajar akan nilai kesatuan, perpaduan dan kasih sayang dalam kehidupan.

Pada saat inilah, saudara mara kita di Tanah Suci sedang bersama umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Pada saat ini juga, umat Islam di merata dunia sedang melaungkan takbir, tahmid dan tasbih mengagungkan Allah S.W.T. Inilah keistimewaan yang ada pada umat Islam. Umat Islam adalah umat yang satu, umat Islam adalah ummah persaudaraan dan umat Islam adalah umat yang berkasih sayang.

Baginda Rasulullah S.A.W. telah banyak mengajar kita tentang perpaduan. Marilah kita renungkan nasihat-nasihat Baginda Rasulullah S.A.W (Riwayat Imam muslim)
Maksudnya: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam keadaan mereka berkasih-sayang, rahmat-merahmati dan bersikap lemah lembut sesama mereka, adalah seperti sebuah jasad, jika salah satu anggota merasakan kesakitan, anggota lain juga akan mengadu kesakitan.

Baginda bersabda lagi:
(Riwayat Imam Al-Bukhari)
Maksudnya: Seorang muslim adalah saudara kepada orang muslim lain. Janganlah ia menzaliminya, dan janganlah ia menolak dari memberi pertolongan kepadanya. Barangsiapa yang membantu saudaranya, Allah akan membantunya. Barangsiapa yang melepaskan dari saudaranya kesusahan, Allah s.w.t akan melepaskannya satu kesusahan dari banyak kesusahan pada hari Kiamat. Dan barangsiapa yang sembunyikan aib saudaranya, Allah akan sembunyikan aibnya pada Hari Kiamat.

Sabda Nabi s.a.w. lagi:
(Riwayat Imam Ahmad)
Maksudnya: “Hubungkan (ikatan persaudaraan) dengan sesiapa yang memutuskannya dan berilah bantuan pada sesiapa yang enggan memberi bantuan kepadamu, dan ma’afkanlah sesiapa jua yang telah menzalimimu.”

Begitulah pengajaran Baginda Rasulullah S.A.W. mengenai persaudaraan dan perpaduan. Hubungan di antara manusia adalah berlandaskan rahmat, kesejahteraan dan kasih sayang. Dalam kehidupan seharian kita, nilai perpaduan dan persaudaraan amat penting demi untuk memastikan kerukunan, kejayaan dan kesejahteraan terus kekal.

Kita tidak mampu bergerak sendiri sebagai individu, di dalam menangani cabaran-cabaran besar di dalam masyarakat. Seharusnya kita saling memperlengkap kekurangan yang terdapat pada saudara dan masyarakat kita.

Kita kini mengalami pelbagai cabaran sosial seperti keluarga pincang dan berpendapatan rendah dan gejala sosial yang semakin meruncing. Di samping itu, dengan saluran maklumat yang tidak terbatas, kita juga terdedah kepada pelbagai pola fikir samada yang baik ataupun yang tidak sihat. Bukan sahaja emosi bahkan minda kita turut tercabar untuk terus kekal relevan dan selesa beragama di dalam konteks global hari ini.
Untuk menghadapi cabaran demikian, selain pembangunan daya tahan individu, masyarakat perlu menggembling tenaga bersatu dan bekerjasama untuk mengatasinya dengan berkesan.

Kita tidak boleh berhenti setakat mengetahui masalah dan cabaran atau memberikan komen kosong semata, kerana semua ini tidak akan mendatangkan perubahan. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan memikirkan untuk diri kita sahaja. Sebagai salah seorang anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita harus bergerak sebagai satu badan, jika satu bahagian dari badan itu sakit pastinya kesakitan itu akan dirasai oleh seluruh tubuh badan kita. Begitulah dua nilai yang dapat kita pelajari dari dua ibadah penting yang dilakukan dalam kita menyambut Eidul-Adha.

Semoga dengan menghayati semangat pengorbanan dan kesatuan di hari yang mulia ini, masyarakat Islamdapat menjadi contoh yang baik buat masyarakat lain. Dengan penghayatan nilai pengorbanan dan perpaduan, kita akan mencapai kemuncak keimanan dan kemanisannya. Sabda Baginda Rasulullah S.A.W.

(Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Maksudnya: “Tiga perkara jika terdapat dalam diri seseorang, maka dia akan dapat merasa kemanisan iman: (Pertama) Apabila dia mencintai Allah dan Rasulnya lebih dari semua perkara yang lain, (Kedua) Apabila dia mencintai orang lain semata-mata kerana Allah, (dan yang Ketiga) Apabila dia benci dan tidak ingin saudaranya kembali ke dalam kekufuran, sebagaimana dia benci untuk dilemparkan di dalam api neraka."