Rabu, 24 Oktober 2012

Ulama' Perlu Ada Integriti Moral dan Keilmuan Yang Tinggi


Sekitar Wacana Akhbar Sinar Harian, Peranan Ulama Menasihati Pemimpin
23 Oktober 2012:- Dato Dr Siddiq Fadzil mengungkapkan pentingnya umat Islam untuk membezakan antara ‘pemimpin’ dan ‘orang besar’. Beliau memetik karya Indonesia, “Orang Kecil Orang Besar,” nukilan Gus Mus (Haji Achmad Mustofa Bisri): “Orang besar boleh bicara semaunya; orang kecil paling jauh dibicarakannya saja. Orang kecil jujur dibilang tolol; orang besar tolol dibilang jujur.”
Ustaz Siddiq turut membuatkan hadirin tidak kering gusi apabila beliau memetik nukilan Buya Hamka yang menyindir golongan agamawan yang gagal berfungsi sewaktu jaman penjajahan Belanda di Indonesia sebagai “Ulamak warasatul holanda” (ulama pewaris Belanda). Selanjutnya, beliau menegaskan bahawa ulama’ perlu berperanan sebagai penasihat kerana kepimpinan itu adalah satu taklif (tanggungjawab).
Para pemimpin perlu sentiasa dinasihatkan akan tanggungjawab mereka agar kepentingan ‘orang kecil’ (rakyat biasa) dapat dipelihara. Ustaz Siddiq Fadzil yang juga merupakan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) berkata, ulama’ bertanggungjawab menegakkan kebenaran dan keadilan dan tidak boleh berkompomi atau bersekongkol. Menurutnya, ulama harus berani dan bebaskan diri mereka untuk memberikan pendapat demi kebaikan semua, tanpa mengira tempat dan masa.
Ustaz Siddiq yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, ulama’ tradisi Islam tidak merasakan mereka sebagai ulama’ tetapi diiktiraf berdasarkan ilmu, kewibawaan, intergriti moral dan penampilan dalam masyarakat. Seterusnya, Ustaz Siddiq menyeru agar ulama dapat menguasai Fiqhul Waqi’ (Fiqh Realiti -- yang berubah) dan Fiqhun Nusus (Fiqh Nas — yang tidak berubah).
Ulama’, kata beliau, perlu bijak menghitung perubahan realiti. Beliau turut menasihati pemimpin dan agamawan agar berhati-hati dengan tawaran daripada kaum pemodal atau kapitalis yang mehukan balasan atau ganjaran daripada sumbangan yang ditawarkan oleh mereka. “Dalam konteks sekarang, politik wang memang kuat. Saya khuatir, sekiranya ia tidak dikawal, pemimpin tidak akan ditentukan oleh undi tetapi kapitalis (pemberi dana) yang mengangkat mereka,” katanya.
Secara tegas, Ustaz Siddiq menyatakan bahawa ulama mesti takutkan TUHAN, dan bukannya majikan, memandangkan ulama’ adalah individu yang diiktiraf oleh umat, dan perilakunya itu menjadi tauladan. Ciri utama ulama’, menurut Ustaz Siddiq adalah ‘khasyatillah’ (takut kepada TUHAN) dan bukannya takut kepada majikan. Sebab itu ulama' adalah pewaris nabi bukan pewaris harta atau kuasa. Malah, betapa rapatnya ulama’ dengan pemimpin dalam sejarah Melayu banyak dinukilkan dalam sejarah Melayu tradisi, dengan mengangkat nama wibawa ‘Al-Imamul ‘Adil’. Sultan Melayu dahulu digambarkan sangat mendekati ulama’ yang soleh.
Mengulas peranan ulama’ menasihati pemimpin, secara ringkas beliau menyatakan bahawa ulama’ perlu berperanan sebagai penasihat kerana kepimpinan itu adalah satu taklif (tanggungjawab) selaku pewaris para nabi (mewarisi integriti moral dan keilmuan seperti para nabi). Para pemimpin perlu sentiasa dinasihatkan akan tanggungjawab mereka agar kepentingan orang kecil (rakyat biasa) dapat dipelihara. Ustaz Siddiq turut menambah bahawa bukan sekadar akhlak dan kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W. yang perlu dijadikan contoh, tetapi juga Nabi-Nabi lain seperti Nabi Musa a.s. dan Nabi Sulaiman a.s. Nabi Musa a.s., menurut Ustaz Siddiq, tidak gentar untuk menasihati Firaun, sementara Nabi Sulaiman a.s. pula begitu prihatin dalam mendengar suara rakyat; termasuklah keluhan dan teguran haiwan sekecil semut.