Rabu, 24 Oktober 2012

Ulama Perlu Berani Kerana Benar: Dr Siddiq Fadzil


23 Oktober 2012:- Ulama perlu berani menegakkan kebenaran dalam apa jua keadaan tanpa mengira tempat dan masa. Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Datuk Dr. Siddiq Fadzil berkata, ulama bertanggungjawab menegakkan kebenaran dan keadilan dan tidak boleh berkompomi atau bersekongkol. Menurutnya, ulama harus berani dan bebaskan diri mereka untuk memberikan pendapat demi kebaikan semua. “Dalam konteks sekarang, politik wang memang kuat. Saya khuatir, sekiranya ia tidak dikawal, pemimpin tidak ditentukan oleh undi tetapi kapitalis (mendanai) yang mengangkat mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Harian ke- 15 bertajuk “Peranan Ulama, Menasihati Pemimpin” di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
Siddiq yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia berkata, ulama tradisi Islam tidak merasakan mereka sebagai ulama tetapi diiktiraf berdasarkan ilmu, kewibawaan, intergriti moral dan penampilan dalam masyarakat.

“Di samping mendidik, perilaku mereka juga dicontohi. Ulama juga harus menguasai nas (tidak berubah) dan realiti ( berubah). “Kita mementingkan perubahan-perubahan yang berlaku dalam realiti. Ulama mengundur diri kerana maruah tetapi masih diperkudakan,” katanya. Beliau berkata, dalam politik, pendapat tidak penting kerana pendapatan lebih utama.

“Sekarang, politik wang kuat. Saya khuatir, sekiranya ia tidak dikawal, pemimpin tidak akan ditentukan oleh undi tetapi kapitalis (pemberi dana) yang mengangkat mereka,” katanya. Beliau berkata, ramai pemimpin lupa erti kepimpinan tetapi ‘sedap’ menjadi orang besar.