Rabu, 26 Disember 2012

Keganasan Politik Ancam Kesejahteraan Rakyat Dan Negara


Menyekat penganjuran majlis yang bersifat perhimpunan seperti ceramah politik juga bukan penyelesaiannya. Ia membawa maksud menafikan hak demokrasi warga negara. Sistem demokrasi berparlimen yang dilaksanakan negara kita memerlukan warga negara memiliki kebebasan mendengar pandangan dan hujah yang dikeluarkan oleh parti-parti yang terlibat. Barulah adil bagi rakyat untuk membuat pilihan. Maka jaminan keselamatan bagi majlis yang sebegini adalah jaminan hak demokrasi rakyat. Begitulah sebaliknya, pengabaian keselamatan rakyat adalah penafian hak demokrasi rakyat.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini, yang membenarkan mahasiswa untuk turut bertanding dalam pilihanraya; diharapkan dapat menyuburkan budaya demokrasi yang sihat. Mahasiswa selaku golongan yang hidup di menara gading, gedung ilmu, seharusnya mampu menterjemahkan budaya ilmu di segenap lapangan hidup termasuklah pilihanraya nanti. Tingkah laku ganas atau samseng merupakan perlakuan yang sama sekali bertentangan dengan budaya ilmu. Ia memperlekehkan karamah insaniah atau kemuliaan insan selaku makhluk yang dibekali dengan keunggulan akal fikiran. Ia menghina adab keilmuan yang menuntut penghormatan terhadap kepelbagaian ragam pandangan dan pendirian.

Sebarang perselisihan, perbezaan fikiran dan percanggahan idea seharusnya diselesaikan dengan tertib dan sopan. Bukan dengan tindakan fizikal sehingga mencederakan pihak lain. Penghinaan terhadap karamah insaniah menerusi perlakuan samseng ini perlu dihentikan serta merta. Jangan jadikan ia satu budaya. Jika ia berterusan tidak mustahil kita akan terjerumus dalam kancah perang saudara. Sekiranya berlaku demikian kita akan menanggung kerugian yang besar. Selain itu, kita juga ingin menuntut agar pemimpin-pemimpin politik bertanggungjawab dalam memberikan penerangan kepada penyokong-penyokong mereka.

Jangan lepas tangan dengan menyatakan mereka bukan ahli parti terbabit, sedangkan pernyataan tersebut dibuat di media umum bukan di media parti. Ia sudah tentu menerobos jauh ke dalam masyarakat melewati lingkaran ahli parti masing-masing. Elakkan pernyataan yang bersifat hasutan, fanatik dan taksub melampau yang mengusik emosi lantas melontar jauh institusi rasional.

Setiap pemimpin politik perlu memikul tanggungjawab ini. Bersamalah kita menghayati adab-ul-ikhtilaf yang menjadi paksi kepada semangat kesederhanaan, wasatiah, yang mendasari budaya demokrasi yang sihat. Setiap parti perlu menghormati batasan-batasan pertuturan, yang memagari bukan sahaja unsur fitnah dan pembohongan tetapi turut membentengi emosi dan fanatisme melampau. Begitu juga dengan masyarakat dan rakyat agar dapat bertindak dengan bijaksana. Menghormati perbezaan pandangan adalah ciri masyarakat yang bertamadun. Kita perlu bijak menilai segala fakta dan pandangan yang dikeluarkan bagi disaring pada neraca kebenaran dan rasional.

Tulisan ini adalah artikel oleh Presiden ABIM, Amidi Abd Manan,yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian 20 Disember 2012 (Khamis), ms 26.