Khamis, 13 Disember 2012

Semarakkan Agenda World Without Israel


Oleh: Jufitri Joha, Naib Presiden Antarabangsa ABIM.
Serangan operasi “Pillar of Defense” selama 8 hari rejim Zionis ke atas Gaza baru-baru ini berakhir dengan gencatan senjata yang ditaja oleh Presiden Mesir Dr. Morsi. Ini merupakan kemenangan moral kepada rakyat Palestin khususnya Gaza kerana Israel tidak akan bersetuju untuk melakukan gencatan senjata melainkan secara tidak langsung mengakui pihak Hamas mempunyai kekuatan tersendiri. Penganalis politik antarabangsa seperti Ahmad Azam Abdul Rahman, Pesuruhjaya Union of Ngos in the Islamic World (UNIW) turut menyifatkan peristiwa Mesir menaja gencatan senjata menunjukkan satu lanskap potitik baru telah muncul di Asia Barat khususnya selepas peristiwa thaurah sya’ab atau kebangkitan rakyat. Serangan biadap ini berlaku ketika munculnya fajar Muharram seolah-olah rejim Zionis ingin menguji keimanan dan kesabaran umat Islam dan pecinta keamanan di seluruh dunia.
Ini merupakan sebahagian strategi tidak bertamadun rejim Zionis sebagaimana yang turut dilakukan mereka ketika umat Islam Palestin menyambut kedatangan Ramadhan. Serangan ini meragut 173 nyawa rakyat Gaza dan 6 rakyat Israel termasuk 2 askar rejim. Hamas juga turut kehilangan as Syahid Ahmed Jabari arkitek sayap militarinya beserta 6 pimpinan senior Hamas. Menurut saudara Sany Araby, aktivis MAPIM yang berada di tengah-tengah serangan di Gaza ketika bersiaran langsung dalam sidang media Malaysian Gaza Emergency Fund (MyGef) anjuran ABIM, GPM, MRA, PKPIM dan MAPIM berkongsi bagaimana Israel menggunakan taktik serangan udara roof attack.
Dalam taktik ini, tentera udara Israel melepaskan serangan udara kali pertama dengan melubangkan atap-atap rumah penduduk Palestin dan disusuli dengan serangan kedua yang melepaskan bom melalui lubang yang sudah tersedia pada serangan pertama. Ini mengakibatkan keseluruhan penghuni rumah terkorban. Saudara Sany berada di sana dalam misi menyerahkan bantuan sebanyak RM 1.5 juta duit sumbangan rakyat Malaysia. Keperluan mendesak rakyat Gaza adalah bantuan ubat-ubatan dan bekalan air bersih.

Tidak tergambar kesusahan mereka, sebelum serangan terbaru rakyat Gaza sudah merana bayangkan kesukaran itu bertambah berkali ganda selepas serangan.. Sudah tentu yang lebih menderita apabila mangsa serangan 95 peratus terdiri kanak-kanak, wanita dan orang awam yang tidak berdosa. Kita tidak akan terbayang kesusahan yang amat berlaku di Malaysia sebagai cebisan contoh apabila operasi pembedahan yang dilakukan oleh para doktor di sana dilakukan menggunakan lampu picit apabila bekalan elektrik terputus Gabungan MyGef akan meneruskan misi bantuan sebagaimana usaha-usaha NGO-NGO lain seperti Aman Palestin, Aqsa Syarif, POKB dan keseluruhan rakyat Malaysia yang semakin hari semakin amat prihatin dan cakna dengan penderitaan rakyat Palestin.
Serangan Israel mempunyai beberapa sebab selain menguji kesabaran umat Islam; menguji senjata kimia baru; dan pilihanraya Israel yang semakin hampir, ia bertujuan memerangkap Obama yang baru sahaja memenangi kerusi Presiden Amerika untuk penggal kedua supaya terus-menerus memberikan perhatian utama dan dokongan kepada rejim Zionis itu. Walaupun semua Presiden Amerika pro Israel namun darjah kekuatan sokongan berbeza khususnya di antara Obama dan Romney. Romney merupakan kawan lama Netanyahu, Perdana Menteri Israel. Sudah tentu Israel khususnya Netanyahu amat berharap rakannya yang amat pro Israel itu menang dalam Pilihanraya Presiden Amerika baru-baru ini sekaligus mengukuhkan cengkaman sokongan Amerika terhadap agenda Zionis di Asia Barat.
Obama sebaliknya menang khususnya undi Yahudi Amerika walaupun dilaporkan menyebut membenci Netanyahu sebagai si pembohong. Generasi muda Yahudi Amerika menurut Dr. Kevin Barret, pengkritik polisi ‘War on Terror’ Amerika, “…no longer fashionable among young American Jews to care about Israel”. Pengalaman penulis berbincang dengan aktivis muda Yahudi di Florida baru baru ini mengesahkan bahawa isu Israel tidak lagi menjadi kepedulian di kalangan mereka, ianya merupakan isu sentimental yang hanya bermain di benak generasi tua mereka. Generasi muda Amerika khususnya generasi muda Yahudi sudah menghantar mesej yang jelas kepada dunia dengan menjadi faktor utama kepada kemenangan Obama di samping pengundi wanita, golongan middle class dan etnik Hispanic.

Ini adalah kerana rakyat Amerika yang prihatin hubungan luar negara Amerika termasuk Kissinger dan 16 intelijen Amerika ini sendiri sudah semakin muak dengan sikap berterusan keras kepala dan degil khususnya dalam hubungan isu Israel-Palestin. Kedua, Lobi Israel yang banyak mendominasi ‘public discourse’ di Amerika khsususnya dalam melindungi kepentingan Israel. Profesor John L. Esposito, pemuka Ilmu daripada Georgetown University ketika menyampaikan syarahan di Malaysia pada Ogos 2008 menyebut..”…a strong lobby group for example AIPAC (American Israeli Public Affairs Committee), will not to see other lobbies step out in front and be strong”.

Mungkin dominasi sebegini meningkatkan lagi kebencian dan kemuakan di samping lobi-lobi mereka yang mengheret Amerika ke kancah perang Afghanistan, Iraq dan terbaru cuba mengheret Amerika untuk menyerang Iran bagi memastikan sekuriti Israel terjamin. Ketiga, seperti yang disebut penulis di atas adalah faktor generasi muda Yahudi yang sudah tidak lagi melihat entiti dan survival Israel sebagai isu yang penting dan mendasari kehidupan mereka. Faktor tambahan lain adalah pendedahan tragedi 911 bahawa ianya diorkestrakan oleh Israel dan bukan seperti tuduhan ke atas al-Qaeda.
Ini didedahkan sendiri oleh pemerhati tertinggi individu half jewish seperti Alan Sabrosky, Pengarah Pengajian Strategik di US Army War College yang yakin seratus peratus bahawa Israel dan pendokongnya yang melakukan operasi 911. Ini sudah lama didedahkan oleh inisiatif yang digerakkan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed melalui Perdana Global Peace Foundation (PGPF) dan dibugarkan kembali dalam Seminar 911 Revisited di PWTC yang dihadiri sendiri oleh penulis baru-baru ini. Sudah terang lagi bersuluh, dunia sudah jelas menunjukkan protes terhadap bencana yang dibawa oleh Israel, sudah tepat masanya wacana World without Israel atau lebih tepat World without Zionist dibincang, disebar, dimobilisasi dan direalisasikan agar punca utama permasalahan kepada ketidakamanan dunia bakal ditamatkan segera.