Selasa, 13 November 2012

Komitmen Membela Islam Perlu Holistik


Penyataan ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah  baru-baru ini telah menimbulkan polemik yang pelbagai. Polemik tersebut menyentuh secara langsung keprihatinan serta sensitiviti umat Islam di negara ini. Masakan tidak, kenyataan tersebut didakwa seakan-akan "membenarkan amalan murtad" di kalangan orang Melayu (baca: Melayu merupakan kelompok teras umat Islam di negara ini.)
Memandangkan polemik tersebut telah diketengahkan ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) oleh YB Nurul Izzah, adalah menjadi harapan agar para pengamal media serta masyarakat dapat memberi ruang kepada mekanisme pengadilan Syariah negara ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Amalan perundangan Syariah merupakan esensi istimewa yang menampilkan Islam sebagai teras politik dan perundangan di negara ini. Dengan membenarkan mekanisme pengadilan Syariah menimbang tara penyataan serta penafian yang dibuat YB Nurul Izzah secara adil dan objektif, ia secara langsung membuktikan komitmen kita dengan jelas terhadap amalan perundangan Islam di negara ini.

Justeru usaha untuk memartabatkannya perlu sentiasa didukung oleh pelbagai pihak secara serius dan menyeluruh. Dalam hal ini, kita seharusnya turut mencermati ke belakang beberapa kenyataan yang mempersoalkan status Islam dalam amalan sosio politik negara ini. Ini termasuklah kenyataan serta dakwaan yang dipetik daripada salah seorang panelis forum tersebut yang menafikan kedudukan istimewa Islam (di dalam perlembagaan dan perundangan negara).
Kita juga tidak seharusnya lupa dengan kenyataan Presiden MCA yang berulang kali merendahkan martabat amalan perundangan hudud dengan melabelkannya sebagai ancaman terhadap perkembangan sosio ekonomi di negara ini.  Sesungguhnya kenyataan-kenyataan tersebut tidak boleh dihanyutkan sahaja dari pemikiran kita. Sepertimana penyataan YB Nurul Izzah yang turut dirakamkan secara audio visual serta bertulis, begitu juga dengan kenyataan-kenyataan di atas (yang sayangnya hanya mendapat kecaman kecil).
Justeru, dimanakah ingin kita letakkan komitmen kita dalam memartabatkan kesucian Islam di negara ini? Adalah menjadi harapan agar aspirasi untuk menyemarakkan syiar Islam seharusnya dikembangkan melangkaui sentiment-sentimen tertentu. Sekiranya amalan “Kuman Di Lautan Nampak. Gajah Di Depan Tidak Nampak” diteruskan, dikhuatiri kedudukan Islam di dalam status qou politik dan perundangan di negara ini terus dicarik-carik di depan mata kita.