Ahad, 19 Februari 2012

ABIM Bantu Masyarakat Islam Kemboja

Menyusuri perjalanan seawal jam 4 pagi menuju lapangan terbang LCCT meningkatkan rasa syukur atas kesempatan yang dikurnia Allah untuk rombongan seramai 47 orang mendokong misi dakwah dan program khidmat masyarakat ke Kemboja. Tarikh 4 hingga 6 Febuari lalu mencatat sejarah tersendiri ketika semua peserta bertungkus-lumus dan bersungguh-sungguh bagi menjayakan lagi misi lawatan Ziarah Ukhuwwah Fil ‘Amal Kemboja (ZULFA) yang dianjurkan.

Mendarat awal pagi di Kemboja dengan disambut mesra oleh Sdr Mohd Farid Hosen (Pengarah Eksekutif Cambodian Muslim Intellectual Alliance (CMIA) selaku penganjur bersama misi ziarah mengusir rasa ngantuk dan lesu dalam perjalanan. Sedikit catatan, CMIA ditubuhkan sejak 2005, memfokuskan gerakkerja kepada isu-isu pembangunan pendidikan dan dakwah serta membantu menangani isu-isu kemiskinan di dalam kalangan masyarakat Islam di Kemboja. Sepanjang 6 tahun usianya, CMIA berjaya menubuhkan pusat pendidikan pra-sekolah, pusat tahfiz serta koperasi. Bekerjasama dengan erat dengan GPM (penganjur utama ziarah) yang tidak putus memberikan tunjuk ajar agar CMIA mampu mengangkat martabat masyarakat Islam di bumi  Kemboja.

Bermulalah misi ziarah, yang bakal menguji keupayaan peserta berkongsi tenaga dan keupayaan bersama dalam menjayakan program yang dirancang walaupun kebanyakan baru pertama kali bersua muka. CMIA International School, Phnom Penh  menjadi destinasi pertama ziarah. Menempatkan hampir 400 pelajar pra-sekolah dan kelas bagi remaja dan dewasa, CMIA bekerjasama dengan erat bersama Yayasan Takmir Pendidikan bagi program latihan guru selain mengguna pakai kurikulum TASKI ABIM. Bersebelahan CMIAIS, destinasi wajib dikunjungi adalah rumah anak yatim Ummu Aiman, Phnom Penh.
Menempatkan 21 kanak-kanak di bawah 15 tahun yang menerima penajaan sebanyak RM100 setiap seorang daripada 29 penaja dari kalangan rakyat Malaysia. Jelas kelihatan raut wajah terharu dan gembira apabila sebahagian ibu dan bapa angkat kanak-kanak tersebut adalah dalam kalangan peserta ziarah sendiri. Walaupun bahasa penghalang utama, senyuman dan tanda hormat yang ditunjukkan tidak membataskan emosi dan rasa.
Ziarah diteruskan ke Kampung Daun Pein, Wilayah Kampung Thom. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 3 jam diisi dengan perkenalan sesama peserta selain mengisi pandangan mata dengan keindahan lanskap pertanian bumi Kemboja. Dalam perjalanan, rombongan berhenti seketika di sekolah tahfiz yang mempunyai lebih 800 pelajar berusi 12-18 tahun dalam majlis penyerahan Al-Quran terjemahan bahasa Khmer yang dicetak hasil sumbangan rakyat Malaysia Ramadhan tahun lalu. Menerusi GPM juga, dana sedang dikumpulkan dalam usaha mencetak Al-Quran terjemahan bahasa Cham bagi memudahkan masyarakat Islam berbangsa Cham memahami isi kandungan Al- Quran.

Sedikit catatan, antara agenda besar kali ini tentunya sesi-sesi penyerahan Muqaddam dan Al-Quran yang dana sumbangan dibantu urus oleh GPM. Tahun lalu, GPM berjaya merealisasikan penyeraham Muqaddam untuk bacaan anak-anak Islam Kemboja, dan tahun ini dengan rahmat dan kasih sayang Allah, membantu mempermudah GPM menguruskan penerimaan Al-Quran dan terjemahannya. Ini merupakan usaha yang dilakukan bagi menyemarak rasa pengabdian dan kecintaan kepada Allah melalui ayat-ayatnya dan keinginan memahami, mendalamai dan menghayati Islam bukan hanya sebagai agama malah cara hidup yang syumul.
Kampung Daun Pein yang mempunyai lebih 350 keluarga ini menerima bantuan berterusan menerusi GPM berbentuk beras dan elaun guru-guru, selain mengurus penajaan pembinaan bantuan sekolah agama daripada Hayrat Vakfi, Turki. Ziarah kali ini menyaksikan Sambutan Maulidur Rasul secara bersama serta penyampaian bantuan pelbagai.
Kanak-kanak di sini turut dibekalkan dengan Muqaddam dengan doa agar mereka bakal menjadi abdi yang soleh pada Tuhannya. Kesempatan yang ada, rombongan dijamu dengan makanan harian penduduk yang tidak jauh beza rupanya dari makanan di Malaysia walau berbeza rasa. Masih terasa manisnya air kelapa yang disediakan sebiji seorang khusus buat peserta ziarah.
Seawal jam 7:00 pagi hari kedua menyaksikan semua peserta ziarah bersiap sedia menjayakan antara agenda besar ziarah; Majlis Khatam Quran Perdana Anak-anak Kemboja di Masjid Nurul Naim, Phnom Penh. Kehadiran peserta ziarah disambut dengan alunan selawat oleh lebih 600 anak-anak Kemboja yang beragama Islam dari seluruh institusi pendidikan dan masjid di bawah seliaan CMIA. Muqaddam sekali lagi turut diagihkan sebagai panduan dan bekal untuk anak-anak tersebut. Dalam masa yang sama, slot motivasi guru-guru CIS dan KAFA turut diadakan dan dikendalikan oleh Prof. Madya  Dr. Mohd Yusuf Ahmad (OUM).

Usai majlis tersebut, peserta ziarah dibawa melawat ke Muzium Toul Sleng- yang mencatat dengan jelas kekejaman pemerintahan pemimpin rejim Khmer Rouge, Pol Pot. Asas muzium hanyalah bekas sekolah tinggi yang diubah fungsinya menjadi pusat penyeksaan selama lebih 5 tahun. Berjalan menusuri catatan sejarah seolah-seolah menempatkan diri semua peserta dalam zaman penuh kekejaman tersebut hingga hilang rasa kasih terhadap sesama manusia. Jauh di sudut hati, berdoa mudah-mudahan kita tidak diuji lagi dengan kisah-kisah yang menghambat rasa benci dan amarah sesama manusia selain mengangkat rasa syukur yang tinggi dengan kurniaan keamanan dan kesejahteraan yang kita rasa.
Mengisi malam kedua adalah Sesi Dialog “Charting the Economic Future of the Ummah” bertempat di Hotel Stadium- tempat menginap peserta ziarah. Bengkel selama 2 jam setengah ini dihadiri oleh generasi muda Islam Kemboja dan peserta ziarah terutama wakil dari Koperasi Belia Islam (M) Bhd dan Open Universiti Malaysia (OUM) bagi bertukar dan berkongsi pandangan berkaitan usaha membangunkan taraf sosio-ekonomi masyarakat Islam Kemboja yang telah jauh ketinggalan.

Hari ketiga menuntut peserta untuk bersedia lebih awal seawal jam 6 pagi. Ziarah khidmat masyarakat ke Kampung Barayn, Wilayah Kendal ini merupakan ziarah penutup untuk misi kali ini. Menuju ke Kampung Barayn menaiki bot mengusik rasa kebanyakan peserta yang kali pertama menaiki bot menghulur bantuan kemanusiaan. Kehadiran semua peserta disambut dengan sapaan dan lambaian tangan serta senyuman penduduk kampung. Sungguh bahasa badan begitu difahami sepanjang 3 hari bermusafir di bumi Kemboja ini. Tempat tujuan adalah bangunan sekolah KAFA yang dalam proses dibaikpulih. Kos dana baikpulih dan beras disumbangankan melalui misi ziarah ini, dan bekal Muqaddam kepada kanak-kanak Islam kampung ini sekali lagi menjadi agenda.

Jadual padat terutama tenaga yang diberikan oleh semua peserta dalam memastikan misi utama ziarah dapat dijayakan tidak menghalang khidmat kemanusiaan dan kemasyarakatan ini diteruskan pada masa akan datang. Keindahan matahari terbenam dapat disaksikan sepanjang menulusuri Sungai Tonle Sap- sebuah tasik air tawar terbesat di Asia Tenggara yang menghubung ke Sungai Mekong, selain penggunaan bahasa badan dan bahasa pelbagai ketika tawar-menawar di Central Market (Psah Thmay), Phnom Penh menjadi antara catatan terindah dalam kenangan ke Kemboja.

Tidak dapat tidak, usaha-usaha menyemai didik dan dakwah Islam sebagai agama yang sempurna perlu terus dilakukan melalui sekecil-kecil usaha sehingga sebesar-besar peranan yang boleh dimainkan. Usaha sebegini seharusnya menuntut komitmen dan kerjasama yang baik dari semua pihak dalam segala segi; tenaga, buah fikiran dan juga dana. Setinggi tahniah kepada penganjur utama program, Global Peace Mission Malaysia (GPM), CMIA, Future Global Network (FGN) dan Open University Malaysia (OUM) yang sedaya mungkin memastikan program khidmat kali ini dalam usaha menyemarakkan cinta kepada Allah dan RasulNya dapat dilaksanakan dengan baik. Semoga usaha semua secara langsung mahupun tidak diberkati Allah.



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar