Khamis, 29 Mac 2012

ABIM Alu-alukan Kesediaan PDRM Untuk Berubah


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengalu- alukan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengubah persepsi masyarakat terhadap institusi kepolisan dengan memantapkan kualiti perkhidmatan institusi tersebut kepada masyarakat, selaras dengan tanggungjawabnya untuk melindungi keselamatan rakyat di negara ini. Walaupun tidak menafikan peningkatan KPI PDRM seperti mana yang diwar-warkan sebelum ini, namun pengamatan ABIM mendapati masyarakat rata-rata di peringkat akar umbi masih diselubungi sindrom ketakutan terhadap jenayah.

Terkini negara telah digemparkan dengan tragedi tragis ke atas Dirang (Nuradirah) di samping kisah-kisah penculikan ke atas gadis-gadis serta kanak-kanak seperti yang diimbau di lapangan-lapangan media. ABIM menilai keadaan-keadaan tersebut sedang mencetuskan sindrom ketakutan di kalangan rakyat terhadap persekitaran dan keselamatan mereka. Ini pastinya memberi kesan terhadap perjalanan struktur sosio-ekonomi negara, yang jika tidak ditangani dengan sebaiknya akan menjejaskan kestabilan serta keselamatan di dalam negara.

Dalam hal ini, ABIM serta seluruh warga Malaysia menyokong sebarang tindakan tegas yang digerakkan oleh PDRM untuk membendung jenayah daripada berleluasa serta sentiasa bersedia untuk membantu pihak PDRM dalam apa jua kapasiti yang diluangkan dalam perundangan negara. Meskipun begitu, usaha (membanteras jenayah) seharusnya menjunjung tinggi prinsip-prinsip keadilan, hak asasi manusia serta kemanusiaan.

Selaras dengan hasrat rakyat yang ingin PDRM meningkatkan mutu perkhidmatan serta memelihara kesejahteraan rakyat dengan berkesan, adalah menjadi harapan agar PDRM dapat melunaskan sebarang persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan institusi tersebut termasuklah dalam isu-isu hak asasi manusia termasuklah mematuhi semua prosedur perundangan dan tatacara jenayah dalam menerima laporan, membuat siasatan, melakukan tangkapan, reman, tahanan, ikat jamin dan sebagainya selari dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang negara.

Adalah menjadi harapan agar kesemua 125 cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PICC) akan dijadikan sebagai terma rujukan utama PDRM dalam menyahut saranan Ketua Polis Negara tersebut. Imej PDRM yang positif, telus, adil dan amanah serta mesra pelanggan akan secara langsung meningkatkan keyakinan rakyat terhadap wibawa serta integriti institusi tersebut.

Ahmad Saparudin Yusup, Naib Presiden (Kebangsaan)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


- Posted using BlogPress from my iPad



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar