Khamis, 22 Mac 2012

Al-Qur'an Penawar Krisis Semasa Ummah


Bediuzzaman Said Nursi (1877-1960) sempat menyaksikan kejatuhan dunia Islam dan kelemahan iman umat Islam akibat dijajah dan dipengaruhi sikap kebendaan, ditambah pula dengan pengabaian agama, dan menjadikan sains sebagai kayu ukur materialisme. Said Nursi amat prihatin terhadap penyakit-penyakit sosial yang menimpa manusia, khususnya ummat sezamannya.

Dalam Risale-I Nur, beliau menekankan lagi hakikat bahawasanya kebahagiaan tulen hanya boleh dicapai melalui iman dan ilmu pengetahuan mengenai Allah, di dunia dan akhirat. Sebaliknya, perbuatan mengengkari perintah Allah hanya akan menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan yang amat sangat, yang lazimnya terserlah melalui ketakpedulian dan perbuatan melarikan diri dari tanggungjawab hidup insan.

Apabila Said Nursi dijemput oleh pihak berkuasa agama Damsyik, Syria, untuk menyampaikan khutbah di Masjid Umayyad pada tahun 1911, beliau bukan hanya berkhutbah kepada hampir 10,000 jemaah (termasuk 100 orang ulama muktabar zaman tersebut) tetapi beliau juga turut meninggalkan suatu warisan bernilai, iaitu khutbah yang mendahului zamannya dan merentasi batasan masa dan tempat.

Dalam Khutbah Damsyik tersebut, Bediuzzaman Said Nursi telah mengenal pasti beberapa penyakit yang merundung dunia Islam dan menawarkan ubatnya daripada “farmasi Al-Quran”. Beliau menyenaraikan enam penyakit merbahaya dan menjelaskan ubat untuk memulihkan setiap satu penyakit yang dianggapnya sebagai iktibar dalam kehidupan masyarakat (Rujuk Jadual 1). Beliau menyeru setiap orang Islam supaya memberikan perhatian berat kepada kebenaran Al-Quran dan membina semula masyarakat berdasarkan batu asas keimanan Islam, supaya ketamadunan manusia benar-benar menjadi ketamadunan tulen.

Jadual Iktibar dalam kehidupan masyarakat

Jenis Penyakit

Penawar

Petikan daripada Khutbah Damsyik

Kecewa

Harapan

Masa depan ialah milik Islam dan Islam semata-mata. Dan pemimpinnya ialah kebenaran al-Quran dan kepercayaan . . . Islam dan kebenarannya mempunyai kemampuan sempurna untuk maju, dari segi kebendaan dan perkara-perkara berkaitan moral dan bukan kebendaan.

Penipuan

Kejujuran

(Masyarakat) hanya boleh diselamatkan melalui kebenaran dan kejujuran. “Sesungguhnya sudah nyata petunjuk daripada kesesatan” (QS 2: 256) iaitu kejujuran. . . . Sesungguhnya, semua yang kamu katakan mesti benar, tetapi (adakala) tidak boleh juga menyatakan segala-gala yang benar. Pada keadaan tertentu lebih baik diam jika (berkata-kata) itu merosakkan.

Bermusuh-musuhan

Berkasih sayang

Kasih sayang, persaudaraan dan kemesraan adalah asas kepada Islam, dan alat pemersatunya. Mereka yang gemar bermusuhan adalah ibarat anak kecil yang perengus dan mua. Dia mencari alasan, dan menggunakan sesuatu yang tidak penting seperti sayap lalat sebagai penyebab . . . Dia ketepikan sepuluh amalan baik disebabkan satu amalan buruk.

Berpecah-belah

Bersatu padu

Waktu paling tepat untuk perpaduan Islam baru bermula. Syaratnya kita jangan berikan perhatian kepada kesilapan masing-masing . . . Dengan tidak berusaha langsung dan tidak bekerja ke arah perpaduan Islam dan persaudaraan Islam yang sebenar, telah menyebabkan berlaku banyak kerosakan, dan adalah suatu ketidakadilan kepada kamu.

Kezaliman

Menjaga martabat

Kepercayaan bermakna tidak menghina orang lain menerusi penindasan serta kezaliman dan menjaga martabat serta maruah mereka, dan . . . tidak merendahkan diri sendiri di hadapan orang yang zalim.

Individualisme

Syura

Sepertimana seorang individu perlu berunding sesama sendiri, begitu juga Negara dan benua perlu mengamalkan syura. Kerana kebebasan adalah mengikut syari’ah . . . dan keteguhan serta rahmat keimanan yang akan menanggal dan menghapuskan onah dan belenggu kezaliman . . . Banyak peristiwa sejarah menunjukkan bahawa dengan keikhlasan, perpaduan dan syura, sepuluh orang boleh melakukan kerja seribu orang.

Sumber: Disusun daripada The Risale-I Nur Collection, The Damascus Sermon oleh Bediuzzaman Said Nursi, Sozler Nesriyat San.Tic.A.S., Istanbul, 2004.

Dalam Khutbah Damsyik, Bediuzzaman Said Nursi menjelaskan perihal “hijab yang telah menggerhanakan matahari Islam”, menghalangnya daripada menyinari kemanusiaan pada masa lalu. Dampak paling besar ialah harapan beliau kepada orang Islam dan keyakinan bahawa kebangkitan Islam akan disaksikan tidak lama lagi kerana wujudnya petanda-petanda berikut:

a. Kebaikan ilmu dan ketamadunan telah menghapuskan tiga halangan – kealpaan Eropah, kezaliman mereka, dan sikap tidak bertoleransi dalam agama mereka.

b. Idea kebebasan dan keinginan mencari kebenaran telah mula menghilangkan dua halangan -- dominasi dan kuasa arbitrari pemimpin agama Eropah.

c. Kebangkitan semula Islam telah menghapuskan dua halangan – kepimpinan yang zalim dan kemerosotan akhlak yang berlaku akibat menentang syari’ah.

d. Penentangan terhadap Islam oleh ahli-ahli sains dan falsafah sebaliknya telah menonjolkan mukjizat Al-Qur’an, lalu menggilapkan kebenaran dan menyebabkan mereka menyerah kepada Islam.

Lima puluh tahun selepas Khutbah Damsyik, Said Nursi telah menambahkan Lampiran kepada teks Khutbah Damsyik dalam bahasa Arab:

Manusia abad ke dua puluh ini telah beranggapan bahawa keperluannya yang paling besar ialah kekuatan moral dan kerohanian, ketenangan hati, dan kesabaran. Oleh yang demikian, untuk mereka meninggalkan Islam dan kebenaran agama pada masa ini, yang merupakan penyokong dan pengukuh kekuatan moral, ketenangan dan kebahagiaan yang diperlukan, dan sebaliknya mendapat keuntungan daripada kenegaraan Islam, dengan kegilaan ke arah kebarat-baratan, bergantung kepada salah-bimbingan, pemborosan, dan politik serta diplomasi yang membohong, yang merosakkan dan menghapuskan segala kekuatan moral, ketenangan dan kesabaran, adalah perbuatan yang jauh daripada menguntungkan manusia.

Mereka akan menyedari sejauh manakah ini dapat menguntungkan manusia, terutama sekali Negara Islam, dan kemanusiaan. Kebenaran ini akan menyedarkan mereka dari tidur, dan, sekiranya masih ada kesempatan masa di dunia ini, mereka akan kembali patuh kepada kebenaran Al-Quran Apa yang diramalkan oleh Said Nursi dalam Khutbah Damsyiknya 100 tahun dahulu telah semakin bermakna dalam dekad-dekad pertama alaf ketiga ini.

[Ini adalah petikan kertas kerja yang ditulis sempena memperingati 100 tahun Khutbah Damsyik atau Dimashq Asy-Syam (Hutbe-I Samiye’/ Damascus Sermon) oleh Bediuzzaman Said Nursi, 1911-2011. oleh AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN & RAHMAH HASHIM

- Posted using BlogPress from my iPad



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar