Khamis, 22 Mac 2012

ABIM Tubuh Skuad Active-S


22 Mac 2012, Gombak –ABIM telah menganjurkan Diskusi Isu Sosial (DIKSI) buat kali ke-3 bertempat di Dewan Taman Cemerlang, Sekretariat ABIM Pusat, yang membincangkan tajuk Belia Muda dan Barah Sosial: Di Mana Penghujungnya?.

Panel pakar undangan bengkel kali ini terdiri dari Insp. Fairus Che Adnan (IPD Gombak), Prof. Dr. Turiman Suandi (Professor UPM), dan Ustaz Sharom Maarof (JAIS) dengan kehadiran seramai lebih 50 orang peserta yang hadir yang terdiri dalam kalangan guru-guru, pelajar sekolah menengah, mahasiswa universiti, serta aktivis NGO.

Antara lain, pembentang-pembentang berkongsi kadar statistik jenayah yang berlaku di sekitar Gombak selain kadar jenayah Syariat dalam Negeri Selangor. Persoalan keterlibatan masyarakat sangat berkait rapat dengan mentaliti dan kepekaan masyarakat terhadap perubahan yang berlaku di persekitaran. Hal ini menuntut masyarakat sebenarnya untuk lebih prihatin terhadap perubahan persekitaran dan perlunya mempunyai kemahiran mengendalikan.

Panel pembentang sepakat dan bersetuju bahawa pengaruh sosial dalam kalangan belia muda ini boleh ditangani dengan kerjasama semua pihak. Setiap invidu dalam masyarakat perlu memain dan memperkasakan peranan masing-masing. Dan semua ini perlu berbalik kepada peningkatan kendiri dan peranan ibu bapa serta guru yang sebenar perlu disuburkan kembali.

Secara keseluruhannya, diskusi kali ini memberi gambaran tentang perubahan suasana sosial semasa yang melibatkan kelompok belia muda. Dalam hal ini, selain pelbagai perancangan yang disusun di semua peringkat bagi mengisi kekosongan belia, kemahiran pendekatan juga perlu dilatih sama agar jarak antara generasi tidak menjadi alas an besar bagi mendekati generasi belia muda. Semua ini menuntut untuk masyarakat berganding bahu memikul tanggungjawab bersama-sama dalam melahirkan generasi muda yang berketrampilan dan bersakhsiah murni.

Pada akhir program juga, Exco Pembangunan Sosial ABIM, Sdri. Maria Kamel, menerangkan peranan ABIM dalam Agenda Sosial sepanjang tahun memfokuskan pembangunan Kumpulan Berkeperluan dengan mengkhususkan terhadap isu masalah sosial dan kemiskinan. Beliau yang juga Pengerusi Diskusi Isu Sosial Semasa (DIKSI) bersiri yang dijalankan mengumumkan penubuhan Skuad Sukarelawan Active-S yang telah dimulakan sejak Program Jejak Belia Metropolitan pada awal tahun baru 2012. Bagi yang berminat untuk mendaftar, sila emel butir peribadi ke maria@abim.org.my atau sms ke 019-383 6700.



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Melaka Bandar


- Posted using BlogPress from my iPad